suria

‘Nasi lemak kren’ dijual pemuda ini nampak sedap, sesedap suaranya nyanyi live di TikTok setiap malam

Foto kiri Luqman menggunakan 'kren' untuk membawa turun nasi lemak, kanan Luqman (kiri) bersama ibu di gerai.

RAMAI yang bangun awal pagi demi mencari rezeki.

Begitulah yang dilakukan oleh seorang pemuda bersama ibunya yang bangun seawal pukul 3 pagi untuk berniaga nasi lemak.

Menariknya, mereka menggunakan 'kren' buatan sendiri yang dipasang di tingkat tiga sebuah blok flat empat tingkat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang berfungsi membawa turun barang-barang niaga.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda belajar sesuatu daripada penjual nasi lemak selepas lalu kawasan perkuburan jam 5 pagi - "Selalu saya sanggup guna jalan jauh"

ARTIKEL BERKAITAN: Akui frust berjualan di zon merah, peniaga nasi lemak tak jangka 'pelanggan bertambah' selepas bantu kerja kebajikan - "Jangan berhenti walau kecewa"

Pemuda berkenaan, Luqman Azizan berkata, ibunya Norma Ahmad berusia 50 tahun mula mengusahakan bisnes nasi lemak di gerai dekat flat itu di Bandar Baru Perda sejak 2010.

Dia sebelum ini berniaga di gerai burger sebelum membantu ibunya sepenuh masa sejak setahun lalu.

"Seawal pukul 4.45 pagi lagi barang-barang dibawa turun menggunakan kren, manakala barang yang lebih berat dibawa turun melalui tangga. Flat ni tak ada lif.

"Gerai dah mula didatangi pelanggan seawal pukul 5 pagi kerana kebanyakan mereka merupakan pekerja kilang yang nak ke tempat kerja,” katanya kepada mStar.

kren nasi lemak 4

Luqman (kanan) membantu ibu menjual nasi lemak.

Lebih mesra disapa Luqman, anak muda berusia 24 tahun itu tidak menyangka perkongsian video mengenai kren buatan sendiri di laman sosial menjadi perhatian ramai.

"Kren tu sebenarnya dibuat ayah menggunakan bahan-bahan terpakai termasuk rim motosikal terpakai. Ayah memang jenis suka bertukang.

"Dah lapan tahun guna kren ni dan banyak memudahkan urusan operasi nasi lemak mak. Kebanyakan barang yang dibawa turun menggunakan kabel pada kren adalah jenis ringan," ujarnya sambil menambah bapanya yang berusia 55 tahun bekerja di sebuah kilang.

kren nasi lemak 5

'Kren' yang digunakan Luqman untuk membawa naik turun barang.

Bukan sekadar untuk melancarkan bisnes nasi lemak, kren buatan bapanya turut banyak berjasa kepada jiran tetangga bagi membawa turun dan naik serta memindahkan barang.

"Kren tu dipasang di tepi tangga depan rumah. Jadi kalau ada jiran-jiran nak guna untuk bawa naik turun barang termasuk toto atau tilam okay je," katanya yang berasal dari Bukit Mertajam.

Saya menyanyi live di TikTok untuk jana pendapatan. Biasanya saya akan menyanyi lagu-lagu yang saya tahu dan kadang-kadang mengikut request followers

LUQMAN AZIZAN

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, rutinnya selain menjaga gerai dan membuat persiapan nasi lemak adalah menjadi runner untuk membeli bahan-bahan masakan.

"Mak yang masak, saya pula tukang beli barang. Siang dan cuci ayam hingga membungkus dan jual adalah kerja saya.

"Secara purata kira-kira 150 bungkus nasi lemak dijual sehari dan pernah mencecah 200 bungkus," katanya yang menjual nasi lemak dengan pelbagai jenis lauk seperti ayam masak merah, ayam masak kicap, ayam madu, ayam goreng, sambal sotong, sambal ikan dan telur.

kren nasi lemak 3

Nasi lemak ayam mendapat sambutan pelanggan.

Tidak sekadar mencari rezeki di gerai nasi lemak, Luqman yang berkebolehan bermain gitar juga menyanyi secara live menerusi aplikasi TikTok hampir setiap malam.

"Saya menyanyi live di TikTok untuk jana pendapatan. Biasanya saya akan menyanyi lagu-lagu yang saya tahu dan kadang-kadang mengikut request followers.

"Menyanyi dari pukul 9 malam hingga 12 tengah malam. Ada followers minta saya sambung nyanyi tapi saya kena tidur sebab nak bangun awal untuk berniaga nasi lemak," tambahnya.

kren nasi lemak 1

Luqman turut menjana pendapatan dengan menyanyi live di TikTok.

Luqman yang sering menyanyikan lagu berentak perlahan dan bertemakan sedih serta putus cinta mengakui dirinya pemalu untuk menyanyi di khayalak ramai.

"Dengan menyanyi secara live di TikTok sedikit-sebanyak membantu membina keyakinan saya. Insya-Allah akan datang saya cuba untuk menyanyi live di tempat awam pula," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain