suria

Beli motor cash, nenek usia 74 tahun puas dapat ride jauh-jauh! Cucu kongsi rahsia sihat dan kuat - “Tiba-tiba terpacak depan rumah”

Ramai netizen berasa kagum dengan keberanian nenek Ain 'ride' secara bersendirian.

USIA bukan penghalang untuk seseorang individu itu melakukan sesuatu yang diminati.

Begitu juga dengan Nobibah Aziz, 74, yang masih kuat menunggang motosikal yang baru sahaja dibeli tahun lalu.

Kisah ini dikongsikan oleh cucunya, Nurul Ain Jariah, yang menceritakan tentang neneknya yang sudah berusia tetapi berani untuk menunggang motosikal sendirian dari Ampang, Selangor ke rumahnya yang terletak di Senawang, Negeri Sembilan dengan jarak melebihi 70 kilometer.

ARTIKEL BERKAITAN: Pramugara ‘muda tapi beruban’ lebih yakin selepas dipuji tampan berambut putih, hilang sudah beban warnakan rambut setiap 2 minggu

ARTIKEL BERKAITAN: Opah lagi best! Nenek rela batal temu janji selepas ‘tewas’ dengan video cucu, cubaan ibu ‘umpan’ anak gagal - “Dia seret beg sampai tengah malam”

"Nenek saya memang ada beli motor Honda Wave baharu secara cash harga RM4,500 untuk buat ronda-ronda. Kalau ikutkan umur memang dah tak 'lepas', tapi sebab tak berhutang dapatlah dia beli motor idamannya tu.



Ain (kiri) bersama neneknya.

"Dia ada kereta tapi lebih suka naik motor sebab lebih senang nak pergi mana-mana. Nak lalu jalan sesak dekat bandar pun senang.

"Baru-baru ni nenek naik motor dari rumah dekat PPR (Program Perumahan Rakyat) Hiliran Ampang, tahu-tahu dah terpacak depan rumah saya. Masa saya rakam video untuk post dekat TikTok, nenek tak tahu pun, saya buat senyap-senyap je," ujarnya.

Menurut wanita yang mesra disapa Ain ini, neneknya memang suka keluar menaiki motosikal meskipun jarak perjalanan jauh dan mengambil masa berjam-jam.

Namun di sebalik rasa kagum netizen terhadap keupayaan warga emas ini, timbul kerisauan apabila memikirkan keselamatan nenek Ain kerana kenderaan banyak dan trafik sesak terutama di bandar.

"Kadang-kadang ada je yang offer nak hantar nenek tapi dia memang tak nak. Biasanya dia akan naik motor dari rumah dekat Ampang, singgah rumah saya dekat Senawang sebelum ke Melaka.

"Dia suka jalan-jalan sebab dia tinggal seorang sejak atuk meninggal. Dulu mak saya duduk dengan nenek tapi sejak suami saya kena slip disc, dia terpaksa datang sini teman dan tolong saya uruskan baby yang usianya enam bulan.



Nenek bersama motosikal yang barunya dibelinya.

"Nenek saya mengajar mengaji sekarang setiap Isnin sampai Jumaat. Petang Jumaat biasanya dia akan gerak ke rumah saya atau adik dekat kawasan sini juga.

"Saya pun risau juga tapi biasanya nenek akan gerak pagi atau petang sebab panas kalau nak jalan tengah hari. Masa tu pun tak ada banyak lori atau jalan tak sibuk sangat," katanya.

Ain menjelaskan bahawa tahap penglihatan nenek masih baik untuk melihat signboard dengan jarak jauh malah tahap ingatan nenek juga masih kuat untuk menghafal setiap jalan yang dilalui tanpa menggunakan aplikasi Waze.

Mengenai kesihatan neneknya, ibu kepada empat cahaya mata ini menceritakan bahawa warga emas itu sememangnya masih sihat.

Antara petua dan amalan nenek sejak dahulu adalah makan ulam-ulaman dan mengelakkan daripada makan makanan segera.

"Nenek susah dapat penyakit. Kalau demam pun sekejap je dah lega. Saya rasa sebab dia suka makan ulam. Sepahit pahit ulam dia boleh telan.

"Saya perasan juga nenek memang tanam pokok jenis sayur je untuk makan. Pokok-pokok jenis bunga memang tak ada pun ditanam. Kadang tu dia siap offer dekat jiran lagi suruh datang petik.



Nenek Ain suka menanam pokok mengisi masa lapangnya.

"Nenek suka balik Melaka sebab dia suka bercucuk tanam dekat rumah tu. Rumah dekat Ampang tu pun penuh dengan pokok-pokok dia tanam. Rumah saya yang ada laman sikit tu pun dia tanam pokok serai," katanya.

Susulan video yang tular, ramai netizen yang tidak percaya bahawa neneknya boleh menunggang motor sejauh itu tetapi bagi yang mengenali Ain dan jiran-jiran, mereka sudah mengetahui kemampuan warga emas itu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain