suria

Gigih jaga 2 biji telur misteri sampai menetas, video dikongsi wanita ini raih hampir 14 juta views - “Saya jumpa atas sofa”

Telur misteri yang dijumpai Bonya.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu!

Video menarik perkongsian seorang wanita yang cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan serta menjaga dua biji telur misteri yang ditemuinya tular sehingga mendapat hampir 14 juta tontonan!

ARTIKEL BERKAITAN : “Ayah tinggalkan duit, saya guna berniaga” - Anak buka 3 bisnes selepas lebih setahun bapa meninggal, lupakan hasrat jadi doktor

ARTIKEL BERKAITAN : Dua kali frust tak jadi kahwin, gadis ini nikah lelaki kenal di IG... rupa-rupanya jarak rumah seminit je! - “Saya fikir dah tiada jodoh tahun ni”

Bercakap kepada mStar, Farizabonu Kadirova yang lahir di Uzbekistan berkata dia tidak menyangka orang ramai berminat untuk mengikuti perkembangan telur yang ditemui pada 27 Mac lalu.

"Ramai yang bagi sokongan dan idea macam mana nak jaga," katanya ketika dihubungi.

Malah, gara-gara video tersebut dia kini dikenali warga maya sebagai 'egg girl' (gadis telur).

Wanita berusia 31 tahun yang mesra dipanggil Bonya ini berkata dia menemui telur tersebut yang ditinggalkan di atas sofa di dalam biliknya.

Dilahirkan dalam keluarga yang sangat menyayangi haiwan, Bonya yang kini menetap di Selangor tidak teragak agak membuat keputusan untuk menjaga dua telur itu.

"Saya rasa, sifat sayangkan haiwan yang ada dalam diri saya ini datangnya dari ayah saya... sewaktu kecil dia selalu bawa pulang haiwan dan menjaganya.

"Masa kecil saya ada banyak kucing, anjing, burung merak, burung kakak tua, hamster, kambing gurun dan seekor helang.

"Helang tu patah sayapnya, ayah saya jumpa masa dia mendaki gunung jadi dia bawa balik untuk jaga, lepas je helang tu pulih, ayah saya bebaskannya," katanya yang membesar di Rusia.

Menurut Bonya, ibu dan bapanya turut membantu dengan memberi makan dan minum kepada anjing terbiar serta membina pondok kayu agar haiwan tersebut dapat berlindung dari kedinginan semasa musim sejuk.



Bonya bersama anak perempuannya yang berusia sembilan tahun dan dua tahun.

Menceritakan mengenai telur-telur misteri berkenaan, Bonya yang juga seorang suri rumah berkata, dia membuat sebuah sarang kecil yang dilengkapi dengan cahaya hangat untuk meletakkan telur-telur itu.

"Bila jumpa telur tu saya tunjuk pada anak perempuan saya, dia pun teruja jadi kami buat keputusan untuk beri telur-telur tu 'peluang kedua'.

"Malangnya kami tak ada incubator untuk telur jadi saya buat sarang kecil dengan lampu, lepas beberapa hari saya tertanya-tanya jadi saya nak periksa sama ada, ada perkembangan atau pun tidak cuma saya tak tahu macam mana.

"Tapi anak saya tunjuk video cara untuk periksa dalam telur dengan menggunakan lampu suluh," katanya, sambil menambah anaknya yang berusia sembilan tahun itu sememangnya sukakan binatang malah dia bercita-cita untuk menjadi doktor haiwan apabila dewasa nanti.

FotoJet (2)

Sarang kecil tempat telur tersebut disimpan.

Teruja untuk mencuba, Bonya berkata mereka mencuba teknik tersebut.

"Kami teruja sangat bila nampak dua-dua embrio tersebut bergerak, tapi salah satu telur tu warnanya semakin gelap dan kabur manakala yang satu lagi agak cerah.

"Kami menunggu dengan sabar seminggu lagi dan kami nyalakan telur tersebut lagi sekali, malangnya salah satu daripadanya dah tak bergerak.

"Tapi satu lagi masih aktif, boleh nampak ekor bergerak gembira," katanya, sambil menambah dia sedih tidak dapat menyelamatkan telur pertama tetapi berazam untuk memastikan telur kedua tersebut selamat.



Bonya cuba untuk melihat pergerakan dalam telur terbabit.

Menurut Bonya telur misteri terbabit akhirnya menetas selepas tiga minggu dalam jagaannya.

"Saya ada baca buku yang telur macam ni biasannya akan menetas selepas lapan minggu, jadi kami menunggu dengan sabar, tapi ternyata dia menetas lebih awal!

"Setiap hari saya akan periksa telur tu empat atau lima kali sehari jadi bayangkan betapa terkejutnya saya bila nampak telur menetas tapi tak ada apa-apa.

"Tapi lepas tu saya menjumpainya dekat rak," katanya, mendedahkan bahawa telur tersebut adalah telur mengkarung.



Mengkarung yang menetas dari telur tersebut.

Menurut Bonya, dia menjaga mengkarung tersebut selama beberapa minggu sehingga dia cukup matang untuk dilepaskan.

"Saya tak boleh nak jaga dia sebab saya ada kucing dan kucing saya selalu cari cicak, saya takut satu hari nanti dia akan buka terrarium (bekas simpan haiwan) tersebut untuk tangkap 'cicak' saya," kata ibu kepada dua orang anak ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain