suria

Mak nak handbag besar boleh isi telekung, anak tak berkira terus beli beg jenama mahal... handphone pun tukar baharu - “Murah rezeki kita kerana doanya”

Syira membuat kejutan dengan memberikan hadiah beg tangan berjenama kepada ibunya.

TIADA apa yang membahagiakan hati seorang anak apabila melihat wajah ibu kesayangan mengukir senyuman saat mendapat kejutan yang diidam-idamkan.

Menerusi satu video di aplikasi TikTok, seorang wanita berkongsi momen memaparkan dirinya memberi kejutan buat si ibu dengan menghadiahkan beg tangan berjenama Gucci berharga hampir RM6,000 dan telefon bimbit.

"Bahagiakanlah keramat hidup kita dengan sehabis daya," demikian kapsyen pada video tersebut yang sehingga kini meraih lebih daripada lebih 108,000 jumlah tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Birthday anak, tapi bapa dapat hadiah! Suri rumah tak sangka mampu hadiahkan kereta Honda walau tak sampai setahun jual ubat kurus

ARTIKEL BERKAITAN: Dah boleh rentas negeri, anak pulang bawa kejutan hadiah untuk ‘seisi keluarga’ dalam kotak KFC... ayah sebak! - “Dua bulan saya simpan duit”

Hanya mahu dikenali sebagai Syira Hussin, wanita ini berkata video tersebut sama sekali tidak berniat untuk tujuan lain melainkan hanya mahu berkongsi momen istimewa dengan insan yang melahirkannya.

"Jujurnya tiada niat untuk viral tapi sebab rakam video momen bersama ibu. Bukan selalu dapat rakam muka mak happy. Bila ulang-ulang video itu, saya sendiri yang menangis.

"Sebenarnya selalu saja beli keperluan atau hadiah untuk mak tapi kali ini terdetik nak beli sebagai kejutan kerana mak beritahu beg dia terkoyak. Kalau boleh dia nak beg besar yang muat isi telekung.

"Dalam masa yang sama, telefon dia pun dah teruk sangat tambahan pula ia bukan telefon pintar. Nak imbas MySejahtera pun tak boleh. Dia kata nak handphone elok sikit, boleh join kelas mengaji.

"Mak ayah kita ni sebenarnya tak kisah brand apa pun tapi kita mesti nak yang terbaik. Alhamdulillah ada rezeki lebih, kita tunaikan. Lagipun apa yang kita kecapi kini adalah atas doa dan restu mereka," katanya yang juga pengasas produk kecantikan dan kosmetik.

mak baru 3

Kenangan Syira ketika membawa ibunya mengerjakan umrah.

Tambah wanita berusia 30-an ini, dia tidak pernah berkira atau berfikir dua kali sekiranya melibatkan ibu kesayangannya, Fadzilah yang kini berusia 65 tahun.

"Mak jaga saya dari kecil sampailah sekarang dah berkahwin pun. Disebabkan rumah kami berdepan saja, dia selalu masakkan untuk keluarga saya. Saya memang bina rumah dekat dengan mak supaya senang nak tengok-tengok dia.

mak baru 2

Syira (belakang) tidak pernah berkira untuk memberikan yang terbaik buat ibunya (kiri).

"Saya sedaya upaya jalankan tanggungjawab sebagai anak. Sebelum ini masa saya berpantang selepas bersalin anak kedua, mak masuk hospital kerana masalah usus. Tiga bulan saya ulang alik ke hospital.

"Saya jaga mak macam mana saya jaga nyawa sendiri. Selepas mak pulih, barulah saya pula berurut dan mula pantang betul-betul," ujarnya yang menetap di Sungai Buloh, Selangor.

Tidak menyangka video yang dimuat naik menjadi tular di TikTok, ibu kepada empat cahaya mata ini berkata dia bersyukur apabila rata-rata netizen memujinya malah menjadikan ia sebagai inspirasi untuk melakukan yang terbaik buat ibu bapa.

Sebelum ini masa saya berpantang selepas bersalin anak kedua, mak masuk hospital kerana masalah usus. Tiga bulan saya ulang alik ke hospital.

SYIRA HUSSIN

"Ada yang komen, mohon doakan mereka juga dapat jadi macam saya. Apa yang saya boleh kongsikan, kunci rezeki adalah apabila kita bahagiakan orang lain especially mak ayah dan keluarga. Saya pegang benda tu.

"Saya akan selalu minta doa daripada mak contohnya kalau ada pelancaran dan sebagainya kerana doa ibu ini tiada hijab. Murah rezeki kita adalah kerana doanya.

mak baru 1

Tidak pernah lupa membawa ibu bercuti bersama keluarganya.

"Kalau ikutkan, jasa mak ni tak terbalas walau dengan segunung emas pun. Jadi, bahagiankanlah mereka selagi ada nafas dan ikut cara masing-masing.

"Bagi saya, saya sentiasa berdoa agar dipinjamkan nikmat sihat dan masa. Selagi dipinjamkan dua nikmat ini, buat dan berusaha bersungguh-sungguh. Ini yang orang selalu abaikan. Esok kalau tak sihat, dah tak dapat bahagiakan mak ayah serta orang sekeliling," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain