suria

Guru rasa ‘syok sendiri’ tak ada seorang pun pelajarnya masuk kelas online, terkesan kata-kata penyampai radio JFK

Foto kiri Bazlina ketika sesi PdPR, gambar kecil luahan Bazlina. Foto kanan JFK mengulas mengenai kisah Bazlina menerusi segmen yang dikendalikannya. foto JFK (instagram jfkjohan)

GURU mana yang tidak terkilan apabila kelas dalam talian yang diadakannya dengan penuh bersemangat tidak mendapat sambutan para pelajar.

"Kasihan. Selalu kalau buat kelas pun berapa kerat je masuk, tak sampai separuh. Hari ni tak ada terus," tulis seorang anak menerusi satu ciapan di akaun Twitter @shameelsalleh.

Lebih menyedihkan apabila perkongsian yang diulang kicau lebih 10,000 kali itu, turut dimuat naik mesej luahan sedih ibunya - 'Momy syok sendiri'.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru Sejarah berdebar setiap kali PdPR, ibarat tunggu jodoh... apa dah jadi sampai kena pasang lagu Korea?

ARTIKEL BERKAITAN: Sedih! Tak sampai separuh masuk exam online, apa yang guru Geografi ini fikir sampai gigih call setiap pelajar? - "Ini bukan kejadian pertama"

Anak kepada guru berkenaan, Muhammad Shameel Salleh Othman Salleh berkata, luahan ibunya itu dikongsikan menerusi aplikasi grup Telegram keluarganya pada Jumaat.

Pemuda berusia 24 tahun itu memberitahu, ibunya merupakan seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah menengah di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

"Sebelum ini cuma tak ramai, tapi hari tu seorang pelajar pun tak masuk dalam aplikasi Google Meet. Mak saya pula jenis pendam perasaan, jarang dia nak luahkan.

"Mak juga seorang yang hati kental, susah dia nak menangis. Tapi pertama kali tengok dia mengadu, jadi memang begitu terkesan pada diri mak," katanya kepada mStar.

kelas kosong mainpic 3

Perkongsian Shameel di laman Twitter.

Sementara itu, ibu Shameel, Bazlina Baharum berkata, kelas dalam taliannya kurang mendapat sambutan sejak pelaksanaan PdPR bukanlah satu perkara baharu.

Menurut wanita berusia 55 tahun itu, luahannya itu sekadar berkongsi kekecewaannya bersama keluarga dan tidak menyangka anak lelakinya membuat perkongsian di Twitter.

"Hari tu kelas dari 10 pagi hingga 11.15 pagi, saya menghadap laptop tunggu. Tapi tak ada seorang pun join kelas, macam krik-krik (bunyi cengkerik sebagai gambaran tiada respons).

"Malam sebelumnya (Khamis malam), saya ambil masa kira-kira dua jam buat persediaan untuk modul pengajaran bagi kelas tersebut.

"Sebelum kelas bermula, saya masuk lebih awal untuk get ready. Bila dah krik krik, memang frust," ujarnya yang berpengalaman dalam bidang perguruan selama 33 tahun.

kelas kosong mainpic 6

Bazlina ketika kelas dalam talian.

Bagaimanapun kata ibu tiga anak itu, dia amat terharu apabila perkongsian anak bongsunya mengenai luahannya itu mendapat respons positif yang berpihak kepadanya.

"Banyak komen netizen yang memihak kepada cikgu. Biasanya kita mendengar kritikan yang cikgu ni makan gaji buta atau cikgu tak buat apa-apa.

Jika dia (JFK) boleh perform dengan baik di studio, kenapa saya tidak boleh melakukan perkara sama dalam kelas online?

BAZLINA BAHARUM

"Tetapi sebenarnya banyak perkara yang cikgu lakukan selain mengajar dalam kelas. Sebelum mengajar pun guru-guru kena buat persediaan dulu," tambahnya.

Namun siapa sangka guru yang peramah itu paling terkesan dengan kata-kata seorang penyampai radio Traxx FM, Johan Farid Khairuddin atau lebih dikenali sebagai JFK.

kelas kosong mainpic 4

Shameel (kanan) bersama ibu.

Bazlina berkata, ciapan anaknya di Twitter itu mendapat perhatian penyampai radio berkenaan yang mengupas mengenainya dalam segmen yang dikendalikan, pada hujung minggu.

"Dia (JFK) beritahu dirinya perform seorang diri di studio. Dia perform tanpa kisah berapa ramai pendengarnya, tapi apa yang penting adalah tanggungjawab dan jati diri sebagai penyampai.

"Kata-kata itu menjadi inspirasi kepada saya untuk memberi yang terbaik kepada para pelajar. Buat pertama kali dalam kerjaya sebagai pendidik, saya mendapat inspirasi daripada seorang influencer.

"Jika dia boleh perform dengan baik di studio, kenapa saya tidak boleh melakukan perkara sama dalam kelas online? Dan hari ini, saya kembali bersemangat untuk mengajar," katanya.

kelas kosong mainpic 5

Bazlina bersemangat untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar-pelajarnya.

Sehubungan itu, guru berkenaan mahu meneruskan usaha menerusi pelbagai idea dan kreativiti bagi menarik perhatian para pelajarnya mengikuti kelasnya pada masa akan datang.

"Ada pelajar saya yang dahulunya sering bermasalah di sekolah akhirnya menyambung pengajian di peringkat matrikulasi. Ada pelajar saya yang tak reti cakap bahasa Inggeris, tapi kemudian bekerja dengan syarikat penerbangan dan speaking dengan ramai orang dari luar negara.

"Jadi, saya berharap pelajar-pelajar saya yang mengikuti kelas sama ada secara fizikal atau online akan menjadi seorang yang berjaya dari zero ke hero, insyaAllah," ujar Bazlina.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain