suria

Video potong rumput biasa-biasa je tapi raih hampir sejuta tontonan... bapa 4 anak buat servis di Bangi dapat ‘job’ hingga ke Sabah, siap terima mesej cari kerja

Wan mula aktif melakukan kerja memotong rumput sejak PKP tahun lalu.

SIAPA sangka video seorang pemuda melakukan kerja memotong rumput di laman sebuah rumah meraih hampir sejuta tontonan di aplikasi TikTok.

Tanpa diselitkan babak lucu atau aksi lincah menari, video tersebut sudah cukup membuatkan ramai kagum dengan hasil kerja tangannya yang begitu kemas dan rapi.

Satu lagi video lelaki itu tekun memotong rumput menggunakan lagu Tiada Kepastian nyanyian penyanyi Ziana Zain sebagai latar belakang, turut menjadi perhatian dengan setengah juta tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Semak mata tengok sudu, garfu tak cuci... sekali muncul gah 'burung besi', harga paling kurang 4 angka - "Kalau ratus-ratus simpan dulu"

ARTIKEL BERKAITAN: Orang lain buang selimut buruk, tuala koyak... lelaki ini kutip buat pasu bunga! Dapat idea ketika 'kering' job

Pemuda berkenaan, Wan Azila Ali Ghaffar berkata, dia tidak menyangka videonya melakukan kerja-kerja memotong rumput mendapat sambutan yang luar biasa.

Tukang potong rumput berusia 35 tahun itu memberitahu, dia menyediakan khidmat memotong rumput sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), awal tahun lalu.

"Saya sebenarnya kerja dengan syarikat yang membekalkan barang-barang untuk sekolah. Tapi memandangkan sekolah tidak dibuka, jadi saya bercuti tanpa gaji.

"Bukan setakat kerja potong rumput, macam-macam kerja part time saya buat seperti wiring, welding termasuk jadi runner hantar makanan," katanya kepada mStar.

tukang potong rumput 3

Wan (kiri) memotong rumput sambil dibantu isteri.

Lebih mesra disapa Wan, dia menyedari lagu yang dipopularkan oleh Ziana Zain itu seakan tidak sesuai dengan videonya memotong rumput.

"Ada yang kata lagu tu tak kena dengan video saya. Tapi bagi saya, lagu tu sedap didengar dan sesuai dengan durasi video yang saya kongsikan.

"Saya suka dengar lagu-lagu Rock, tapi saya layan juga lagu-lagu Ziana Zain. Macam lagu Tiada Kepastian, saya suka rentaknya," ujarnya yang berasal dari Jempol. Negeri Sembilan.

tukang potong rumput 4

Kadang-kadang anak-anak turut membantu.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, permintaan untuk servis potong rumputnya bertambah sejak aktif di aplikasi TikTok, kira-kira dua bulan lalu.

"Saya buat servis potong rumput di Bangi, Selangor dan kawasan sekitar seperti Kajang dan Nilai. Tapi saya dapat offer sejauh Sabah untuk potong rumput di rumah mereka.

Saya dapat banyak job potong rumput di luar kawasan. Jadi saya tawarkan job tu kepada mereka yang berminat, cuma kena keluar modal sikit untuk beli mesin potong rumput

WAN AZILA ALI GHAFFAR

"Ada juga yang mesej saya tanya nak bekerja dengan saya. Tapi saya tak cari pekerja buat masa ini kerana saya buat sendiri secara part time sambil dibantu isteri dan anak-anak.

"Pada masa sama, saya dapat banyak job potong rumput di luar kawasan. Jadi saya tawarkan job tu kepada mereka yang berminat, cuma kena keluar modal sikit untuk beli mesin potong rumput," katanya sambil menambah mesin berkenaan boleh didapati pada harga berpatutan.

tukang potong rumput 2

Wan (belakang, kiri) bersama isteri dan anak-anak.

Wan berkata, dia mengenakan caj servis memotong rumput serendah RM20, dan pernah memperoleh lebih RM400 untuk satu tugasan.

"Alhamdulillah, saya anggap kerja potong rumput ni sebagai satu rezeki. Nampak mudah, tapi memerlukan kesabaran yang tinggi.

"Jumpa ular dan lipan di sebalik lalang tu perkara biasa. Tapi paling saya tak dapat lupakan bila masa tengah potong rumput tiba-tiba bunyi meletup yang sangat kuat.

"Rupa-rupanya pelampung mandi kanak-kanak yang meletup. Memang saya terkejut, sampaikan isteri saya yang sedang mengemas rumput yang telah dipotong di hadapan rumah pelanggan pun terkejut," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain