suria

Rileks berdepan 2 anjing, remaja despatch siap kongsi tip... tapi dalam hati siapa tahu! - “Tak pernah kena gigit, minta simpanglah”

Adam bekerja sebagai pekerja penghantaran sejak tujuh bulan lalu.

BAGI mereka yang bergelar pekerja penghantaran (delivery) sama ada dari syarikat kurier atau makanan tentunya tidak terlepas daripada risiko dikejar oleh anjing.

Banyak perkongsian di media sosial memaparkan situasi di mana pekerja penghantaran lintang pukang menyelamatkan diri, malah ada yang mengalami kecederaan parah angkara dikejar haiwan berkenaan.

Namun lain pula halnya dengan video yang dikongsikan di aplikasi TikTok, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Flat 15 tingkat kecoh! Keluarga pengerusi surau dikejar anjing, siap berhimpit nak tumpang kereta - “Anjing tu tekan hon guna punggung”

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia kejar saya tu, dia nampak saya” - Anjing coklat punya hal, jiran cerita detik cemas budak lelaki bolos tingkap, peluk seat kereta!

Menerusi video berdurasi 39 saat itu, kelihatan seorang pekerja penghantaran dari sebuah syarikat kurier begitu selamba dan tenang tatkala berdepan dengan dua ekor anjing ketika menghantar barang.

Sehingga kini video berkenaan meraih melebihi 184,000 jumlah tontonan.

Berkongsi cerita dengan mStar, pekerja bernama Muhammad Harieth Hamirul, 19, berkata dia sebenarnya sudah agak biasa dengan kawasan berkenaan kerana ia merupakan sebahagian daripada 'route' yang ditugaskan kepadanya.

"Saya dah agak biasa di kawasan tersebut dan selalu hantar barangan dekat rumah tu. Memang dua ekor anjing tersebut adalah anjing peliharaan tuan rumah.

"Sebenarnya anjing-anjing tu jinak. Kalau kebetulan ada makanan, saya akan bagi padanya. Alhamdulillah tak ada lagi kena gigit... harap-harap minta simpanglah.

"Kalau nak ikutkan, masa tu saya 'libang-libu' juga tapi bukan pasal bimbang digigit tapi risau ia gesel-gesel dekat kaki. Jadi satu hal pula nak kena tukar pakaian," ujarnya yang baru berusia 19 tahun.

DESPATCH 3

Adam (tiga, kiri) bersama rakan sekerja.

Menurutnya yang senang disapa sebagai Adam, dia juga tidak terkecuali pernah berdepan dengan insiden dikejar oleh anjing ketika mula-mula bekerja sebagai pekerja penghantaran.

"Ada lah beberapa kali masa awal-awal dulu. Ada satu rumah ni, anjing dia pantang orang datang memang menyalak. Kadang-kadang saya terpaksa tunggu kejap dalam kereta nak pastikan keadaan selamat.

"Bukan setakat menyalak-nyalak dekat orang asing, tuan dia sendiri pun kalau tak kena gaya, dia marah. Memang selalulah kawan-kawan cerita juga pengalaman mereka dengan anjing.

"Senang cerita, budak-budak despatch atau delivery memang kena lalui benda ni," ujarnya.

DESPATCH 2

Selain bekerja sebagai pekerja penghantaran, Adam turut membuka bisnes kecil-kecilan bersama teman wanitanya.

Menurut Adam yang merupakan anak jati Kuala Kangsar, Perak, dia baru tujuh bulan bekerja sebagai pekerja penghantaran.

"Sebelum ini saya bantu ibu di kedai makan. Kemudian saya cuba mohon kerja baru dekat syarikat kurier ni. Nak cakap soal cabaran, setiap pekerjaan ada cabaran tersendiri.

"Macam kami yang bergelar pekerja penghantaran, selain dikejar anjing, risiko besar adalah keselamatan ketika berada di atas jalan raya. Sebab setiap masa, waktu kita banyak berada atas jalan raya saja.

Kalau nak ikutkan, masa tu saya 'libang-libu' juga tapi bukan pasal bimbang digigit tapi risau ia gesel-gesel dekat kaki.

MUHAMMAD HARIETH HAMIRUL

"Jadi pesanan saya kepada mereka yang dalam bidang sama, apa-apapun kena utamakan keselamatan. Jangan sambil lewa, jangan ambil mudah... kecelakaan ni kalau nak jadi, sekelip mata saja," ujar anak ketiga daripada empat beradik ini.

Dalam pada itu, Adam berkata dia sama sekali tidak menyangka video tersebut menjadi tular di media sosial.

"Masa itu teman wanita saya ada dalam kereta. Kadang-kadang dia teman saya hantar barang... kami juga partner buat bisnes jual brownies dan cheesekut secara kecil-kecilan sebab dia cuti semester. Jadi selalu juga kami hantar order pelanggan sama-sama.

DESPATCH 4

Sebelum bekerja sebagai pekerja penghantaran, Adam (kiri, depan) membantu ibunya di kedai makan.

"Saya tak tahu pun dia rakam video tu dan muat naik di TikTok. Tahu-tahu dah viral. Ramai komen positif dan lucu. Tapi ada juga kata saya pura-pura tunjuk berani sebab depan perempuan.

"Benda macam ni tak boleh sembarangan nak pura-pura, silap hari bulan naya jadi mangsa. Tapi saya tak kisah pun komen macam tu. Apapun tip saya mudah saja, jangan lari atau kelam kabut kalau nampak anjing.

"Bertenang dan cuba tengok situasi dulu. Kalau lari, memang akan menarik perhatian dia," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain