suria

“Makcik ingat nak naik Grab je” - Lokasi PPV ditukar, warga emas terkejut ‘pemuda baik hati’ muncul sekali lagi tepat pada masa hulur bantuan

Mustaqim (hadapan, kiri) dan Fatimah (hadapan, kanan) membawa Makcik Indah (belakang, kanan) dan cucunya ke PPV.

SEORANG peniaga warga emas yang sebelum ini sedih kerana masih belum menerima vaksin Covid-19 akhirnya menerima suntikan dos pertama awal bulan ini.

Kisah peniaga kuih itu, Andi Indah Muhd Bakri, 69, menjadi tular selepas luahannya didengari seorang pelanggannya yang berusaha membantu bagi mendapatkan janji temu vaksin.

Bermula dengan inisitatifnya itu, menerusi kerjasama pelbagai pihak, Makcik Indah turut dibantu dari segi pengangkutan dari rumah ke pusat pemberian vaksin (PPV) pada hari janji temu.

ARTIKEL BERKAITAN: Di sebalik kuih yang tak banyak terjual, pemuda ini tak sangka rupa-rupanya makcik ni sedang sedih fikir tentang vaksin

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat! Usia 105 tahun, sikit pun tak 'termakan' cakap kawan anti vaksin di kedai kopi... selamat dapat suntikan pertama - "AyahPa kata dia okay"

Setelah tiga minggu, pemuda yang pernah membantu Makcik Indah sekali lagi tampil menghulurkan bantuan kepada warga emas itu untuk menerima suntikan dos kedua vaksin.

Pemuda berkenaan, Mustaqim Hud memberitahu, janji temu dos kedua vaksin bagi warga emas yang berniaga dekat Kapar di Klang, Selangor, itu adalah pada Rabu.

Rakannya, Siti Fatimah Samsuri, 23, yang merupakan petugas di PPV dan turut membantu Makcik Indah mendapatkan dos pertama telah bertindak memaklumkannya mengenai tarikh janji temu bagi dos kedua.

"Bagaimanapun, lokasi janji temu dos kedua untuk Makcik Indah telah bertukar disebabkan PPV yang dihadirinya untuk dos pertama sebelum ini telah menamatkan operasi.

"Saya difahamkan sukarelawan NGO bagi urusan pengangkutan tidak lagi bertugas di PPV tersebut," katanya kepada mStar.

makcik indah dos kedua vaksin 1

Kisah Makcik Indah, warga emas yang akhirnya menerima vaksin Covid-19 dilaporkan mStar.

Susulan itu, pemuda berusia 22 tahun itu menyuarakan kebimbangannya mengenai kemudahan pengangkutan untuk warga emas tersebut ke lokasi baharu di PPV KPJ Klang di Bandar Baru Klang.

"Kebetulan saya free, jadi saya maklumkan kepada Fatimah untuk memberitahu Makcik Indah yang kemudahan pengangkutan pergi dan balik ke PPV disediakan," ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Menurut peniaga kambing itu, hatinya terdetik untuk membantu warga emas itu sekali lagi atas rasa tanggungjawab.

makcik indah dos kedua vaksin 5

Makcik Indah (kiri) bersama cucu di PPV selepas menerima dos pertama vaksin.

"Dulu saya tolong dapatkan tarikh janji temu dos pertama makcik tu. Saya rasa bertanggungjawab untuk bantu selesaikan urusan dos kedua, rasa bersalah kalau tak bantu selesaikan.

"Saya percaya kita perlu memudahkan urusan orang lain dalam apa jua keadaan, dan suatu hari nanti insyaAllah urusan kita juga akan dipermudahkan.

Saya percaya kita perlu memudahkan urusan orang lain dalam apa jua keadaan, dan suatu hari nanti insyaAllah urusan kita juga akan dipermudahkan.

MUSTAQIM

"Terima kasih kepada Makcik Indah dan cucu dia, Izwan yang banyak memberikan kerjasama yang mempermudahkan usaha saya untuk membantu.

"Saya kagum dengan makcik sebagai warga emas masih tahu kepentingan mengambil vaksin ketika pandemik. Terima kasih juga kepada Fatimah dan sesiapa saja yang turut membantu Makcik Indah," katanya.

makcik indah dos kedua vaksin 6

Mustaqim membantu atas rasa tanggungjawab.

Sementara itu, warga emas yang turut menjual nasi lemak itu mengucapkan kesyukurannya kerana menerima dos kedua vaksin.

"Alhamdulillah, sebelum ini makcik tunggu tarikh (janji temu) vaksin dan dah dapat (dos pertama). Sekarang makcik sudah dapat dos kedua, syukur," katanya yang berniaga di seberang jalan berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Sementa di Klang.

makcik indah dos kedua vaksin 8

Foto kiri Indah di PPV KPJ Klang, foto kanan Indah selepas menerima dos kedua.

Indah yang menghidap penyakit lutut dan pedih ulu hati itu juga tidak menyangka urusan pengangkutannya ke PPV bersama seorang cucu lelaki berusia 15 tahun dipermudahkan.

"Makcik ingat nak naik Grab je dengan cucu ambil vaksin. Tapi ada pihak yang sudi bantu hantar makcik pergi dan balik.

"Terkejut bila dia (Mustaqim) tolong hantarkan... makcik berterima kasih kepada semua yang membantu. Alhamdulillah, makcik gembira sangat," katanya dengan nada teruja.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain