suria

‘Hantu Cina’ datang PPV terlompat-lompat nak cucuk vaksin, akur masa balik terpaksa berjalan macam biasa - “Dah meninggal pun takut Covid-19”

Video kehadiran 'hantu Cina' di PPV Jalan Genuang yang dimuat naik oleh Zahril (kiri) menjadi tular di media sosial.

PELBAGAI gelagat lucu dan kreatif orang ramai yang hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk menerima suntikan sebagaimana yang dikongsikan di media sosial.

Jika sebelum ini kita menyaksikan kemunculan karakter Spiderman, Iron Man, Joker, langsuir dan macam-macam lagi, terbaharu muncul pula kelibat 'hantu Cina' di sebuah PPV di Johor.

Menerusi perkongsian seorang pemuda di aplikasi TikTok, kelihatan 'hantu Cina' itu mendepakan kedua-dua tangannya ke hadapan sambil melompat-lompat di dalam dewan PPV berkenaan sekali gus mengundang perhatian dan gelak tawa ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak vaksin, lepas tu terus kahwin! Pengantin muncul di PPV tak hirau diri jadi perhatian, disangka pakai kostum - “Macam mana nak cucuk pakai baju nikah?”

ARTIKEL BERKAITAN: Suara mengilai di PPV bikin meremang bulu roma, ‘langsuir’ mengaku pakai kostum buat sendiri... tapi pakai mask tak?

Sehingga kini video berkenaan meraih melebihi 528,000 jumlah tontonan.

Menurut Zahril Ajmal yang memuat naik video berkenaan, kemunculan penerima vaksin yang mengenakan kostum hantu Cina itu pada Isnin baru-baru ini sememangnya menggamatkan suasana di PPV Jalan Genuang, Segamat.

"Pada hari itu, ramai sangat orang yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin... dan tak dinafikan saya dan petugas lain agak kepenatan. Saya ketika itu ditugaskan di 'verify counter' iaitu stesen akhir.

"Saya memang tak perasan sebab sibuk uruskan perkara penting, tiba-tiba terdengar suara ramai orang ketawa. Bila saya jengah, nampak kelibat 'hantu Cina' lengkap dengan kostum, siap tampal kertas kuning dekat dahi tengah mendepakan tangan sambil melompat.

"Memang semua petugas dekat situ termasuk Rela, jururawat, doktor dan sukarelawan terhibur sekejap tengok gelagat hantu Cina yang tiba-tiba muncul di PPV kami," ujar Zahir kepada mStar.

hantu cina baru 1

Zahril (kiri) bertugas sebagai sukarelawan di PPV Jalan Genuang, sejak lebih sebulan yang lalu.

Menurut Zahril, penerima vaksin berkenaan dikenali sebagai Shawn Ong yang berusia dalam lingkungan usia 40-an.

"Sewaktu Uncle Shawn selesai terima suntikan, pihak petugas perubatan tak benarkan dia melompat sebab takut kadar denyutan jantung dia naik. Jadi uncle hanya depakan tangan dia saja selepas itu.

"Kemudian setibanya dia dekat kaunter yang saya jaga, sempat juga borak-borak santai dengan dia. Saya saja berseloroh 'wahhh orang dah meninggal pun takut Covid-19'. Dia hanya gelak-gelak saja.

"Kata uncle ni, dia sebenarnya nak beri kesedaran untuk menggalakkan orang ramai menerima suntikan vaksin tak kira siapa pun kita. Dalam masa yang sama, dia juga nak hiburkan petugas di PPV," ujar pemuda berusia 20 tahun ini.

hantu cina baru 2

Sebahagian daripada sukarelawan Southern Volunteers.

Bercerita lebih lanjut, Zahril berkata apa yang berlaku ini menjadi situasi yang paling tidak dapat dia lupakan sepanjang lebih sebulan bertugas sebagai sukarelawan di PPV berkenaan.

"Sebenarnya sebelum ini saya menguruskan bisnes kanopi untuk majlis perkahwinan atau majlis keraian lain yang dimiliki oleh arwah ayah saya. Namun sepanjang pandemik ini, tiada majlis yang berlangsung jadi terpaksa berehat seketika.

Dia sebenarnya nak beri kesedaran untuk menggalakkan orang ramai menerima suntikan vaksin tak kira siapa pun kita.

ZAHRIL AJMAL

SUKARELAWAN

"Daripada tak buat apa-apa, saya kemudian join sebagai sukarelawan Southern Volunteers yang dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Segamat. Southern Volunteers ini diwujudkan oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Saya join Southern Volunteers ni dah tiga bulan. Sebelum bertugas di PPV ini, kami membantu orang ramai mendaftar untuk dapatkan suntikan vaksin Covid-19, wujudkan food bank untuk golongan terjejas dan macam-macam lagi," ujar anak jati Segamat ini.

hantu cina baru 3

Zahril dan 'keluarga besar' petugas di PPV Jalan Genuang.

Tidak menyangka videonya menjadi tular, Zahril berkata dia sekadar mahu berkongsi momen lucu di PPV tempatnya bertugas selain mahu menyebarkan kesedaran betapa pentingnya mengambil suntikan vaksin Covid-19.

"Saya cuma berharap, kepada mereka yang anti-vaksin atau tak berminat untuk dapatkan suntikan, buanglah sikap sedemikian. Hadirilah temu janji. Orang kata, mencegah lebih baik daripada mengubati lebih-lebih lagi ketika kes Covid-19 di negara kita masih lagi tinggi," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain