suria

Gigih selamatkan khemah ketika ribut, duit sales hampir RM1,000 terbang masuk longkang - “Saya beritahu mak duit hanyut, kami makan mi segera”

Foto kiri dan tengah menunjukkan gerai Sapiksam nyaris ditup angin kencang, foto kanan Sapiksam mengusahkan bisnes kek kukus.

DUGAAN buat seorang pemuda apabila gerai yang diusahakan di tepi jalan ditiup angin kencang ketika hujan lebat.

Dia bukan sahaja terpaksa menutup gerai lebih awal, malah kesemua kelengkapannya untuk berniaga dibasahi hujan.

Lebih menghibakan, bekas yang menyimpan wang hasil jualan turut diterbangkan angin dengan sekelip mata.

ARTIKEL BERKAITAN: Akui frust berjualan di zon merah, peniaga nasi lemak tak jangka 'pelanggan bertambah' selepas bantu kerja kebajikan - "Jangan berhenti walau kecewa"

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi bazar! Apa yang pelanggan lakukan buat peniaga air balang terharu, "Yang patahnya meja, tapi semangat saya tak patah"

Pemuda berkenaan, Muhammad Shafiq Samsuri berkata, kejadian berlaku pada lewat petang Jumaat kira-kira pukul 7.15 petang di gerainya di Nanding, Hulu Langat, Selangor.

Peniaga kek kukus berusia 27 tahun itu memberitahu, pada mulanya hanya hujan lebat pada pukul 7 petang, namun tiba-tiba berlaku ribut yang sangat kuat.

"Saya berniaga dari pukul 11 pagi, patutnya tutup pukul 7 petang. Tapi disebabkan masih ada baki kek yang belum terjual, saya dan rakan tunggulah pelanggan untuk datang beli.

"Tak sangka hujan lebat. Tiba-tiba angin kuat dan khemah dah terangkat, saya dan rakan pegang sekuat-kuatnya cuba selamatkan daripada diterbangkan angin," katanya kepada mStar.

gerai ditiup angin 3

Sapiksam berniaga kek kukus sejak dua bulan lalu.

Lebih dikenali sebagai Sapiksam, katanya, keadaan yang huru-hara membuatkan dia bertindak pantas menyimpan wang hasil jualan di atas tempat duduk motosikal dalam gerai.

"Masa tu angin kuat dan saya cepat-cepat selamatkan bekas simpan duit sales dahulu. Masa tu juga saya membelakangi motosikal jadi ada halangan daripada ditiup angin.

Kalau kerja kuat macam mana pun, kalau tak ada rezeki... kita kena reda. Dalam mana-mana pekerjaan mesti ada cabaran dan dugaan.

SAPIKSAM

"Semuanya berlaku dengan sangat pantas, dan saya kemudian tengok bekas duit sales dah tak ada, dah jatuh ke longkang di belakang gerai... angin kuat sangat masa tu.

"Saya cuma nampak bekas duit isi dalamnya dah tak ada. Mungkin semua wang kertas hanyut dalam air longkang, dibawa arus deras," ujarnya yang berasal dari Kajang, Selangor.

gerai ditiup angin 4

Antara kes kukus yang dijual Sapiksam.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, apa yang berlaku serta-merta membuatkan dirinya tercengang tanpa mampu berkata apa-apa.

"Duit sales yang kami dapat sejak pagi dianggarkan RM800. Itulah kerugian kami. Yang jumpa hanya bekas duit sahaja, bila diambil cuma ada takungan air.

"Memang tak tahu nak cakap apa. Tapi dalam hati saya kata, tak apa tak ada rezeki untuk hari tu berniaga. Sepatutnya lepas tutup kedai nak beli makan malam untuk mak sekali.

"Saya beritahu mak, duit hilang dah hanyut. Mak faham. Kami makan apa je yang ada," katanya sambil menambah mereka hanya makan mi segera di rumah pada malam berkenaan.

gerai ditiup angin 2

Sapiksam tetap membuka gerai sehari selepas kejadian berlaku.

Sapiksam berkata, dia sebenarnya baru berniaga kek kukus di tepi jalan kira-kira dua bulan lalu selepas terpaksa menutup kedainya yang menyediakan servis membaiki telefon.

"Kedai tu beroperasi untuk repair dan jual telefon. Tapi sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi terkesan dan tak boleh survive lagi dan terpaksa tutup.

"Kalau kerja kuat macam mana pun, kalau tak ada rezeki... kita kena reda. Dalam mana-mana pekerjaan mesti ada cabaran dan dugaan.

"Kita kena usaha bersungguh-sungguh, tawakal dan berserah kepada Yang Esa. Niat kita kerja untuk bantu keluarga. InsyaAllah, kita tak akan rasa penat atau give up walaupun banyak cabaran," katanya yang tetap membuka gerai keesokan hari dengan sokongan keluarga dan teman-teman termasuk para pengikut di laman sosial.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain