suria

Awas jika satu novel ibu hilang, boleh ‘bergegar’ rumah! Anak dedah kenapa mak tak layan drama Melayu, drama Korea OK pula

Foto tengah menunjukkan ibu Diyana, manakala foto kanan dan kiri sebahagian almari yang menempatkan koleksi novelnya.

IBARAT syurga buku apabila menonton sebuah video yang dikongsi menerusi aplikasi TikTok.

Mana tidaknya, sebuah almari besar dilihat penuh dengan novel-novel Melayu, barangkali beratus naskhah jumlah semuanya!

Siapa sangka koleksi novel tersebut adalah milik seorang ibu kepada empat anak, sehingga ia menjadi perhatian netizen dengan lebih 200,000 tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Rahsia terbongkar hari bapa dapat vaksin, rupa-rupanya tiap hari bekas polis ini salin angka dalam buku nota - "Ingatkan nombor ekor"

ARTIKEL BERKAITAN: Potret kanak-kanak menangis atas pinggan bikin ramai sayu, pelukis dedah kisah di sebalik 'nasi berlaukkan kicap'

Salah seorang anaknya, Nordiyanah Mazlan berkata, video yang dirakamkan itu hanya menunjukkan sebahagian daripada koleksi novel milik ibunya yang berusia 51 tahun.

Namun kata wanita berusia 26 tahun itu, ibunya mempunyai sebahagian lagi koleksi yang masih disimpan di dalam kotak kerana tiada ruang untuk menyusunnya.

"Dianggarkan ada lebih 400 novel dalam koleksi dari zaman mak sebelum kahwin. Sebenarnya lebih banyak, tapi malangnya sejumlah novel hilang sewaktu berpindah ke rumah sekarang.

"Kebanyakannya adalah novel-novel cinta. Mak memang suka baca kisah-kisah cinta. Itulah aktiviti masa lapang mak sebagai suri rumah," katanya kepada mStar.

Lebih dikenali sebagai Diyana, katanya, dia menyokong penuh hobi ibunya yang disifatkan sebagai menarik meskipun dia sendiri tidak gemar membaca novel.

koleksi novel mak 2

Diyana (kiri) menyokong penuh hobi ibunya membaca novel.

Malah katanya, dia juga sering menemaninya ibunya pergi ke kedai buku yang mana wanita itu akan membeli sekurang-kurangnya lima naskhah novel.

"Saya teringat masa zaman sekolah, kawan-kawan datang ke rumah akan kagum dengan koleksi novel mak saya yang banyak tu. Mereka nak pinjam, tapi saya tak berani bagi.

"Pertamanya mak memang jaga elok novel-novel dia walaupun disimpan bertahun-tahun. Kalau mak perasan ada hilang satu, memang 'bergegar' rumah dengar suara mak bising," katanya sambil menambah ibunya menetap di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Mak kata dia dah baca novel, buat apa nak tengok drama lagi. Mak dah tahu jalan cerita semuanya dari A sampai Z

DIYANA

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, ibunya menggemari novel karya Siti Rozaimah dan kebanyakan buku penulis tersebut dibaca berulang kali.

"Selain itu, buat masa ini mak suka baca novel berjudul Tercipta Untukku karya Marissa dan Isteri Mr.Troublemaker oleh Zany Ezatie yang juga dibaca berulang kali sebab ceritanya best.

"Hampir kesemua novel mak baca berulang kali. Mak pernah beritahu ada satu novel tu dia baca berulang lebih 10 kali," katanya yang kagum dengan hobi ibunya itu.

koleksi novel mak 3

Dua novel yang menjadi kesukaan ibu Diyana ketika ini.

Bagaimanapun, timbul persoalan dalam dirinya mengapa almari yang dipenuhi koleksi novel itu diletakkan di bilik tidur ibunya, bukan di ruangan lain di rumah.

"Tak letak kat ruang tamu tu saya fahamlah sebab dah penuh hiasan dan dekorasi mak. Tapi anak-anak ada yang dah kahwin dan tinggal di rumah sendiri.

"Jadi sebenarnya ada tiga bilik kosong yang boleh menempatkan almari novel-novel mak tu. Sampai sekarang tak berani tanya mak kenapa tak pindahkan almari tu ke tempat lain.

"Sama ada mudah untuk mak nak ambil novel dan baca di bilik, atau mudah dia pantau setiap novel-novelnya agar tak hilang, saya tak tahu. Takut nak tanya," ujarnya secara berseloroh.

Dalam pada itu, Diyana yang mengusahakan bisnes dalam talian menjelaskan ibunya kurang berminat untuk menonton drama-drama Melayu berikutan kebanyakannya cerita yang ditayangkan di TV adaptasi atau inspirasi daripada novel-novel tempatan.

"Sebab tu Mak kurang minat tengok drama Melayu. Mak kata dia dah baca novel, buat apa nak tengok drama lagi.

"Mak dah tahu jalan cerita semuanya dari A sampai Z. Sudahnya mak layan drama-drama Korea," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain