suria

Lelaki ini tinggalkan kerja offshore demi jaga ibu sakit di kampung, bermula dengan jual cream puff, rezeki diperoleh selepas itu sukar dipercaya

Ayul berhenti kerja pada tahun 2016 dan mula berniaga pada 2017.

DUIT boleh dicari, mak ayah tiada galang-ganti.

Begitulah kata-kata jejaka berusia 29 tahun ini yang sanggup meninggalkan kerjayanya demi menjaga ibu tercinta.

Azrul Nizam Azali, 29, pernah bekerja di sebuah syarikat cari gali minyak di Terengganu sebelum menamatkan perkhidmatannya pada tahun 2016.

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih kek, tinggalkan pesakit! Lelaki ini kagum dengan diri sendiri selepas lebih 6 tahun belajar di Rusia, tidak lagi bergelar doktor

ARTIKEL BERKAITAN: Berhenti kerja bank, jual brownies! Pemuda ini mampu buka kedai kek walau cuma belajar di YouTube, sekali pergi kelas asas - “Baju raya pun tak beli”

Mesra disapa Ayul, dia mengakui berat hati dengan keputusan itu namun berlapang dada demi menguruskan ibunya, Fatimah Ariffin, 66, yang mengalami masalah buah pinggang.

Enggan mempersiakan masa yang ada selepas pulang ke kampung di Yan, Kedah, dia mula berniaga cream puff sebelum mengorak langkah menjadi pengusaha kek sejak awal 2017.

"Saya bermula dengan jual cream puff di rumah. Kemudian dah mula ada pelanggan, saya cuba ikut permintaan mereka. Baru saya buat kek pula.

ayul4

Ayul pernah bekerja dengan sebuah syarikat cari gali minyak.

"Dari situ saya menapak ke satu tapak yang lain. Pada tahun 2019 saya buka kedai, kemudian tahun 2020 saya buka sebuah lagi kedai.

"Satu kedai untuk production, satu kedai lagi untuk jualan," ujarnya kepada mStar.

Berkat jaga mak, rezeki melimpah kerana doa mak tak pernah putus.

AYUL

Mengimbas detik peralihan kerjaya itu, Ayul berkata dia sanggup melakukan apa sahaja demi menjaga ibu bapanya.

Malah kata Ayul, berkat menjaga ibu, urusan perniagaannya juga dipermudahkan dan dia bersyukur dengan rezeki yang diraih selama ini.

"Saya kerja offshore tiga tahun. Masa mak mula sakit, saya ambil cuti tanpa gaji selama empat bulan. Tapi keadaan itu agak sukar buat saya. Jadi saya ambil keputusan untuk berhenti.

ayul5

Antara kek yang dihasilkannya.

"Hanya saya dan adik yang belum kahwin. Jadi saya berkorban untuk jaga mak. Saya yang uruskan dialisis mak, pada masa sama saya buat bisnes.

"Tipulah kalau tak rindu kerja yang dulu. Sebab ia cukup berbeza dengan apa yang saya lakukan sekarang. Tapi saya percaya ada hikmahnya.

ayul2

Ayul merancang membuka sebuah kilang roti pada tahun 2022.

"Saya bersyukur dengan rezeki ini, berkat jaga mak, rezeki melimpah kerana doa mak tak pernah putus. Ayah pun dah umur 70, jadi saya ambil tanggungjawab untuk jaga mereka berdua," ujarnya.

Menurut anak keenam daripada tujuh beradik itu, dia juga banyak berkongsi ilmu mengenai pembuatan kek, bisnes dan pemasaran melalui aplikasi TikTok.

ayul3

Ayul (kanan) bersama sebahagian ahli keluarganya.

Selain bisnes kek, Ayul turut mengusahakan khidmat 'surprise planner' sejak tiga bulan lalu.

Malah, dia juga dalam perancangan untuk membuka sebuah kilang roti pada tahun depan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Dalam temubual sama, Ayul sempat menitipkan pesanan kepada mereka yang baru berjinak dalam bidang perniagaan.

"Untuk yang baru berniaga, jangan putus asa. Kena cuba buat dulu. Jangan fikir siapa yang nak beli?

"Buat dulu baru jual. Bila dah mula, kita dah tak boleh toleh ke belakang. Jadi kita akan sentiasa ke depan," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain