suria

Berhenti jadi guru tahfiz, pemuda ini buat banyak kerja termasuk ejen kutip hutang dan jaga tabung kebajikan di luar bank... bisnes air mineral modal RM9 - “Saya tiada pilihan”

Foto kiri Anas menjual keropok lekok, air mineral di tepi jalan, foto kanan Anas juga menawarkan kelas mengaji secara dalam talian.

DEMI kelangsungan hidup, apa saja sanggup dilakukan asalkan sumber rezekinya adalah halal.

Begitulah yang dilakukan oleh seorang bekas guru tahfiz yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19.

"Demi mencari sesuap nasi. Minta doakan ye guys," tulisnya menerusi satu ciapan di laman Twitter dengan membuat naik fotonya menjual keropok lekor dan air mineral.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ini sangat terdesak! Jual baju sendiri, isteri dan anak demi teruskan hidup... bimbang fikir kelahiran bayi kedua - "Pernah nak call hotline luah perasaan"

ARTIKEL BERKAITAN: 'Jalan terus' walau mata tak nampak! Pasangan OKU hilang kerja tetap raih RM12, 000 seminggu jual sambal hitam - "Mula berniaga cuma terjual satu, dua pek"

Guru berkenaan, Amir Anas Iskandar Amir Hamzah berkata, dia bertugas di sebuah sekolah tahfiz di Kuala Lumpur sebelum mengambil keputusan berhenti disebabkan PKP.

"Ramai ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Jadi, saya mengambil keputusan untuk berhenti pada tahun lalu memandangkan saya baru bekerja pada 2019.

"Saya cari kerja lain dan dapat job di sebuah agensi pengutip hutang, yang dilantik oleh sebuah syarikat telekomunikasi. Tugas saya hanya call orang dan mengingatkan mereka mengenai hutang yang perlu dibayar," katanya kepada mStar.



Anas (tengah) bersama bekas murid-muridnya sebelum pandemik Covid-19.

Lebih mesra disapa Anas, dia bagaimanapun hanya bertahan bekerja di syarikat itu selama kira-kira dua bulan kerana tidak biasa untuk 'memaksa' orang membayar hutang.

"Saya ada buat bisnes kecil-kecilan jual produk kecantikan dan menjadi imam sepanjang bulan Ramadan dengan elaun serta menjadi guru mengaji dari rumah ke rumah.

"Tapi selepas Ramadan, kes Covid-19 naik mendadak dan PKP diperketatkan. Saya tak dapat mengajar di rumah-rumah, nak ajar online pula agak sukar bagi anak-anak kecil," katanya yang berasal Shah Alam, Selangor.



Kenangan ketika berkhidmat di sekolah tahfiz.

Bagaimanapun, ideanya untuk berniaga kembali tercetus apabila dia mengambil upah menjaga tabung kebajikan untuk rumah anak-anak yatim yang diletakkan di luar sebuah bank.

"Saya tak ada pilihan lain, saya ambil upah jaga tabung dekat sebuah bank dari pagi hingga petang. Kebetulan ada seorang anak muda menjaja makanan di kawasan sekitar.

"Kami selalu berjumpa dan bertegur. Dia cadangkan saya jual sesuatu, sekurang-kurangnya ada juga side income, lagipun jaga tabung ni hanya untuk tiga hari saja," ujarnya.



Anas menguruskan stok keropok lekor.

Bertitik tolak daripada situ, dia yang tinggal bersama dua abangnya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) lembam menjual keropok lekor dan air mineral di tepi jalan.

"Hari pertama, saya jual keropok lekor dengan stok daripada kakak yang tinggal di Seri Kembangan, ada baki choco jar termasuk popia Nestum yang dikirim rakan dari Johor.

Bila susah, saya berdoa kepada Allah dan ingat pesan mak yang mahu melihat saya buka sekolah tahfiz. Saya mahu bahagiakan mak dengan tunaikan impiannya

ANAS

"Duit poket tak banyak, cuma ada RM9 untuk modal jual air mineral. Meja kecil untuk berniaga pun saya pinjam daripada kawan yang jual makanan tu," katanya sambil menambah dua abang OKU itu masing-masing berusia 42 dan 32 tahun.

Anak ke-12 daripada 17 adik-beradik itu tidak menyangka jualannya laris susulan posting mengenai bisnes hari pertama itu menjadi tular.



Anas mengimpikan untuk membuka sekolah tahfiz.

"Ramai yang mahu mendapatkan keropok lekor secara COD (pembayaran tunai ketika serahan). Ada juga dari pelbagai umur yang berminat belajar mengaji secara online selepas saya turut maklumkan mengenai kelas mengaji susulan posting yang viral. Alhamdulillah," katanya.

Anas berkata, pesanan dan harapan ibunya yang mahu dia mengusahakan sekolah tahfiz memberi kekuatannya dalam menempuh segala kesulitan.

"Bila susah, saya berdoa kepada Allah dan ingat pesan mak yang mahu melihat saya buka sekolah tahfiz suatu hari nanti. Saya mahu bahagiakan mak dengan tunaikan impiannya," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain