suria

Bertongkat singgah kedai belum dibuka, makcik tua senyum meleret dipelawa pilih barang free... pegang punya pegang akhirnya ambil telekung!

Wanita warga emas ini memilih sepasang telekung di kedai wakaf yang diuruskan Natipah.

KETIBAAN bulan Ramadan sememangnya dinantikan seluruh umat Islam.

Pada ketika inilah orang ramai mengambil peluang untuk menggandakan pahala bukan sahaja dengan beribadah, malah dengan bersedekah.

Tidak kira kecil atau besar nilai atau barang sedekah, apa yang pasti ganjaran tetap menanti si pemberi yang ikhlas malahan pahala akan terus mengalir selama mana barang tersebut digunakan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Apabila wang bukan lagi keutamaan hatinya...” - Aktivis masyarakat kongsi kisah doktor mulia, wakaf rumah berkembar 2 tingkat

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki 6 beranak, seluruh rumah diubah suai selepas ahli perniagaan pijak ‘lantai lembut’ ketika buat lawatan - “Saya yakin dia nampak sesuatu dalam keluarga ini”

Perkongsian seorang aktivis masyarakat, Natipah Abu mengenai kisah seorang wanita tua menerusi satu posting di Facebook baru-baru ini, benar-benar menyentuh hati.

Menurut Natipah, dia terserempak dengan warga emas tersebut ketika sedang membuat persiapan di kedai wakaf milik pertubuhan kebajikan yang dikendalikannya, yang dijangka dibuka menjelang Aidilfitri nanti.



Natipah dengan senang hati menghadiahkan sehelai telekung kepada warga emas berkenaan.

"Tengah setting kedai, Kak Pah nampak seorang makcik terintai-intai dari luar. Peluh memecah di dahinya yang bertongkat sambil menjinjing berapa beg plastik. 'Cantiknya kedai ni. Macam-macam ada ya'.

"Dia menjenguk dengan wajah yang sangat teruja. 'Masuklah makcik, mai la masuk'. Makcik meletakkan beg plastiknya di luar kedai dan terkial-kial melangkah masuk.

"Kak Pah menghulur tangan menyambut makcik bimbang jika tersadung langkahnya," tulis Natipah.



Barang-barang di kedai wakaf adalah barangan baharu dan terpakai yang disumbangkan orang ramai.

Melihat warga emas tersebut begitu teruja dengan barangan yang bakal dijual di kedai wakafnya, Natipah terus mempelawa wanita itu untuk memilih apakah barangan yang paling disukainya.

Kedai wakaf tersebut merupakan rumah kedai yang diwakafkan oleh seorang hamba Allah, dan bakal menjual pakaian serta barangan 'pre-loved' serta baharu dengan harga yang murah, antaranya pakaian, beg tangan, telekung dan sebagainya.

Wanita tua itu tergamam saat dipelawa Natipah dan dengan perlahan dia bergerak melihat satu demi satu barangan yang sudah disusun dan digantung, sebelum terhenti pada satu sudut.

Melihat kegembiraan makcik, semakin membara semangat untuk melengkapi kedai ini bagi tujuan menjual sambil beramal kepada yang memerlukan.

NATIPAH ABU

AKTIVIS MASYARAKAT

"Makcik yang baru saja selesai membeli barang-barang runcit di kedai sebelah itu tersenyum meleret. Sambil memilih sepasang telekung baru mengikut warna kegemarannya yang terampai di dalam kedai, makcik riang bercerita tentang dirinya.

"Makcik tinggal tidak jauh dari sini. 'Boleh pakai sembahyang tarawih malam ni'. Luah makcik terharu. Melihat kegembiraan makcik, semakin membara semangat untuk melengkapi kedai ini bagi tujuan menjual sambil beramal kepada yang memerlukan.



Kedai wakaf yang terletak di Sungai Petani ini dijangka dibuka sebelum Aidilfitri.

"Alhamdulillah, di antara barangan terpakai di sini, terselit juga barangan baru yang disumbangkan oleh sahabat di luar sana," kata Natipah.

Bercerita mengenai kedai wakaf yang terletak di Sungai Petani, Kedah, itu, Natipah berkata hasil jualan barangan di kedai tersebut akan disalurkan kepada Rumah Qaseh Ayah dan rumah anak yatim di bawah kendalian pertubuhannya.



Natipah (depan) sudah berkecimpung dalam aktiviti kebajikan dan misi kemanusiaan sejak 11 tahun lalu.

"Kedai ini dijangka dibuka sebelum raya. Sekarang tengah masukkan barang-barang. Barang-barang ini adalah sumbangan daripada orang ramai.

"Barang-barang dijual murah-murah saja, nak tolong orang susah. Nanti anak yatim Kak Pah akan handle kedai ni nanti," demikian kata aktivis ini yang sudah berkecimpung dalam aktiviti kebajikan dan misi kemanusiaan sejak 11 tahun lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain