suria

Akibat terlalu penat, ibu akui ego hinggakan berlaku kejam pada anak-anak... akhirnya tersedar ketika lihat sesuatu - “Ada kesan air mata di muka mereka, menyesal tak sudah!”

Gara-gara terlalu penat dengan rutin harian, wanita ini melampiaskan amarahnya kepada anak-anak. Gambar hiasan

TUGAS seorang wanita yang bergelar ibu sememangnya mencabar, sama ada yang bergelar suri rumah sepenuh masa ataupun terikat dengan komitmen kerja di pejabat.

Beban kerja yang perlu diselesaikan setiap hari kadang kala membuatkan golongan ini kurang rehat, apatah lagi ketiadaan suami di sisi di saat mereka memerlukan.

Apabila situasi ini berlaku, secara tidak langsung emosi mereka akan terganggu sekaligus orang di sekeliling akan dijadikan sasaran untuk melepaskan rasa, sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh seorang pelayar ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu nyaris meroyan bayi asyik meragam teruk, tergamam diberitahu dirinya adalah punca! - “Jam 11 malam dia nangis macam kena pukul”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya stres sampai meroyan” – Suami ‘komplen’ tak lawa, tak wangi macam dulu selepas isteri bergaji tinggi disuruh berhenti kerja

Menurut pelayar berkenaan, perkongsian tersebut adalah sebagai pengajaran bersama agar ibu bapa dapat menjadikan kisahnya sebagai pengajaran bersama.

"Hari ini betul-betul burnout. Serba-serbi tak kena. Mood hilang dibawa angin sepanjang hari. Pantang anak-anak silap sikit, memang rotan dan cubit la makan dia.

"Letih dengan rutin harian, ditambah lagi dengan perangai dan kerenah anak-anak, lesu badan, otak jem, dengan husband pulak offshore. Allahuakbar! Rasa betul-betul useless, hopeless hari ni. Tak tahu nak mintak tolong dekat siapa.



Perkongsian pelayar berkenaan di Facebook agar menjadi teladan kepada para ibu bapa yang lain.

"Daripada siang tadi anak-anak cuba bercerita, ajak main tapi tak diendahkan. Sebaliknya anak-anak kena marah balik. Maghrib tadi lepas solat, si sulung sibuk nak tolong ajar adik mengaji sekali walaupun mas atu turn adik mengaji dengan mummy.

"Sekali lagi si sulung kena marah. Mencuka terus muka dia. Menyorok dalam telekung. Sayup-sayup dengar tangisan kecil. Tapi sebab ego, mummy masih biarkan je," cerita pelayar berkenaan.

Tambah pelayar tersebut, emosinya itu terus terbawa-bawa sehingga waktu makan malam sehingga dia sekadar menyediakan menu paling ringkas kerana terlalu penat.

"Di kala bubur masih lagi panas berasap, mummy paksa anak-anak makan secepatnya. Tergopoh gapah anak-anak makan sebab takut kena marah lagi. Kejamnya mummy.

"Dengan beralasankan nak cepat solat Isyak, mummy kejam dengan anak-anak walaupun sebenarnya mummy ade niat lain. Nak cepat-cepat masuk bilik paksa anak-anak tidur," tulisnya.

Ya Allah, nampak kesan air mata pada muka masing-masing!! Macam baru tersedar... Allahuakbar! Kejamnya mummy, egonya mummy, jahatnya mummy.

PELAYAR FACEBOOK

Begitu juga ketika sedang bersantai-santai sebelum masuk tidur, dia mengakui sengaja menyumbat telinga dengan earphone bagi mengelakkan dirinya diganggu dengan suara anak-anak.

Sungguhpun berkali-kali anaknya cuba bercerita dan memperkatakan sesuatu, dia berpura-pura tidak mendengar suara mereka.

"Berpuluh kali anak-anak panggil tapi mummy masih ego. Entah kali keberapa anak-anak berhenti memanggil," ceritanya.

Tidak lama kemudian apabila merasakan keadaan sudah tenang dan sunyi tanpa suara anak-anak, barulah dia menanggalkan earphone.

Namun apa yang disaksikannya sejurus selepas itu benar-benar membuatkannya langsung tersedar dan diselubungi perasaan sesal yang bukan kepalang.



Pelayar berkenaan diselubungi rasa bersalah dan menyesal kerana bertindak mengikut perasaan sehingga menjadikan anak-anak sebagai sasaran. Gambar hiasan

"Ya Allah, nampak kesan air mata pada muka masing-masing!! Macam baru tersedar... Allahuakbar! Kejamnya mummy, egonya mummy, jahatnya mummy. Menyesal tak sudah mummy malam ni.

"Hanya kerana ego, sibuk dengan rutin harian, sibuk dengan fon, sibuk layan penat sendiri, sibukk nak rumah bersih, hati anak-anak terabai.

"Nampaknya bukan anak-anak je yang tidur dalam tangisan malam ni, tapi mummy juga. Tolong doakan moga mummy kuat melawan amarah dalam diri, tolong doakan moga mummy tak lagi lalai, jadi lebih penyayang.

"Dan tolong doakan moga Allah panjangkan lagi jodoh mummy dengan anak-anak untuk sama-sama menjalani kehidupan yang lebih baik," akhirinya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain