suria

Dulu aktif nasyid di sekolah, kini rancak di TikTok... pelajar terima respons luar jangka

Aiman mula aktif menyertai nasyid sejak di bangku sekolah rendah lagi.

MULA menyertai nasyid sejak berusia sembilan tahun, seorang remaja lelaki kini semakin aktif berkongsi bakat nyanyiannya menerusi aplikasi TikTok.

Malah, banyak video nasyid yang dihasilkan meraih ribuan tontonan, sekali gus mempopularkan genre itu dalam aplikasi berkenaan.

Bercakap kepada mStar, Aiman Najmuddin Jaidi, 19, mendedahkan mula menyertai TikTok pada penghujung tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi majlis kenduri kahwin padam video nyanyian lama di YouTube, tak ada kaitan dengan tuduhan ‘try hard’ nak tiru suara Ella

ARTIKEL BERKAITAN: Bertahun di YouTube, ada band sendiri tapi tetap sendu... jejaka pandai main 7 alat muzik tak sangka lubuk rezeki ada di TikTok

Namun katanya, dia sama sekali tidak menyangka akan menerima maklum balas positif daripada penggemar irama berkenaan.

"Selain nasyid, saya juga bermain beberapa alat muzik seperti darbuka, conga, cajon dan djembe.

"Ustazah yang asah bakat saya masa sekolah rendah. Masuk sekolah menengah saya makin aktif dan pernah wakili daerah ke peringkat negeri sebanyak dua kali.

Aiman pernah menyertai beberapa pertandingan nasyid sewaktu zaman sekolah beberapa tahun lalu.

"Saya sebenarnya memang minat seni suara. Masa umur 6 tahun saya dah naik pentas untuk bersajak," ujarnya sewaktu dihubungi.

Menurut pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu, dia bersyukur dengan reaksi positif yang diterima di media sosial sejak aktif berkongsi video nyanyian miliknya.

Malah katanya, dia juga tidak sangka masih ramai orang di luar sana yang meminati genre itu.

Walaupun zaman makin moden, orang lagi suka irama nasyid.

AIMAN

"Saya dah pernah kongsi video nyanyian di Instagram, tiba-tiba terfikir nak cuba di TikTok pula.

"Saya tak sangka orang boleh terima. Pada awalnya, ada satu video saya buat prank suara tak sedap. Video itu yang pertama viral.

"Bermula dari situ, orang mula detect yang saya ada lenggok nasyid. Ramai yang minta saya teruskan nyanyi lagu nasyid.

Aiman menerima pujian ramai kerana memperjuangkan irama nasyid menerusi TikTok.

"Kalau buat live di TikTok pun, ramai yang request lagu-lagu nasyid. Jadi saya rasa ia satu platform yang cukup baik.

"Walaupun zaman makin moden, orang lagi suka irama nasyid. Jadi saya akan teruskan," ujarnya yang berasal dari Kulai, Johor.

Selain cover nyanyian secara biasa, Aiman turut membuat rakaman suara menggunakan aplikasi telefon iaitu Garage Band yang menampilkan susunan sendiri hasil kreativitinya.

Kenangan sewaktu menyertai nasyid bersama kawan sekolah.

Namun kata pelajar bidang Pengajian Islam dan Teknologi Maklumat itu, dia terpaksa mencari masa bersesuaian untuk menghasilkan lebih banyak video nasyid memandangkan masih sibuk dengan urusan pengajian.

Dalam masa sama, Aiman turut menzahirkan rasa syukur atas segala tunjuk ajar ustaz dan ustazah dari sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah yang banyak mengasah bakatnya selama ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain