suria

Dah sebulan keluar hospital, isteri baru perasan suami selit RM15,000 dalam beg tangan untuk order makanan - “Saya bertuah bukan hanya kerana duit berkepuk tu”

(kiri) Kak Aida di wad ketika menjalani rawatan di sebuah hospital. (kanan) Sejumlah wang yang disimpankan suami di dalam beg tangannya.

SUAMI mana yang tak sayang bini kan?

Begitulah kisah seorang isteri yang begitu bertuah sebaik membuka beg tangannya yang disimpan di dalam stor pakaian di rumah.

"Hari ni saja ambil nak pakai, buka-buka penuh ubat hospital hari tu, kira sampahlah.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami dapat 'baca' taktik isteri asyik nak pinjam duit, sengaja biarkan dompet duit berkepuk - "RM200 macam dapat RM200,000"

ARTIKEL BERKAITAN: Masuk bilik, isteri senyap je... rupa-rupanya fikirkan burger dalam hati, suami terus keluar cari sampai tengah malam - "Bukan pelik tapi unik"

"Macam malas nak kemas, nak simpan balik. Masa nak simpan tu, buka zip... tu dia, duit!" tulis seorang isteri di laman Facebook miliknya.



Kak Aida menikmati makanan di wad.

Bercakap kepada mStar, wanita berusia 38 tahun itu berkata, beg tangan tersebut kali terakhir digunakan ketika dia dimasukkan ke sebuah hospital di Selangor pada Disember tahun lalu bagi menjalani pembedahan batu karang hempedu.

Hanya mahu dikenali sebagai Kak Aida Mustafa, dia memberitahu bahawa sepanjang terlantar di wad selama kira-kira seminggu itu, pengambilan makanannya dijaga oleh pihak hospital.

"Bila dah sakit dan menjalani pembedahan, sudah tentu ada pantang bila nak makan di hospital. Tapi itulah hari-hari makan yang sihat pun jadi tak berapa selera juga.

"Mujur ada suami yang menghabiskan banyak masa menemani saya di hospital, ada juga selera makan sebab ada orang ambil berat bila kita sakit," katanya ketika dihubungi.

Kak Aida berkata, suaminya yang merupakan ahli perniagaan itu hanya akan meninggalkan hospital sekiranya mempunyai urusan penting dan hal berkaitan anak-anak di rumah.



Antara hidangan yang dipesan Kak Aida bersama suami.

Memandangkan makanan yang disediakan oleh pihak hospital terhad untuk pesakit sahaja, ibu kepada lima anak itu menjelaskan bahawa suaminya akan menggunakan khidmat penghantaran makanan sepanjang keberadaannya di wad.

"Bila suami buat order untuk penghantaran makanan ke hospital, saya pun join sekali. Sekali-sekala nak juga rasa makanan ikut selera sendiri.

"Ada satu masa, suami ingatkan yang dia ada tinggalkan duit dalam beg tangan saya kalau saya nak buat order bila-bila teringin.

"Tapi bila dia tiada di wad, saya pula gunakan peluang untuk berehat dan tidur. Jadi, saya pun ingat-ingat lupa pasal duit yang dia bagi tu," ujarnya yang menetap di Shah Alam.

Saya isteri bertuah bukan semata-mata kerana duit berkepuk tu, tapi sebab suami mengambil berat tentang diri saya, menjaga saya sepanjang berada di hospital.

KAK AIDA

Menurut usahawan itu, beg tangan tersebut disimpan di stor pakaian sebaik dia dibenarkan discaj dari hospital sehinggalah dia memeriksa stor, baru-baru ini.

"Mula-mula saya tertanya bila pula saya letak duit banyak dalam beg ni. Rupa-rupanya teringat suami ada kata dia tinggalkan duit untuk GrabFood ke Foodpanda masa kat hospital.

"Bila saya periksa, saya terkejut sebab rupa-rupanya duit berkepuk berjumlah RM15,000 suami tinggalkan untuk saya.

"Dan duit tu langsung saya tak usik sebab bila suami ada di wad, dia pesan makanan guna duit dia," katanya.



Katil di wad semasa Kak Aida menjalani rawatan di hospital.

Kak Aida berkata, dia pernah bertanyakan suami mengenai duit sebanyak itu yang disimpan dalam beg tangannya semasa berada di hospital.

"Bila saya tanya suami, dia tanya saya balik duit apa tu? Biarlah kata suami. Dia betul-betul tak ingat yang dia ada bagi RM15,000 untuk saya order makanan.

"Sebagai isteri, sudah tentu saya amat bersyukur bila dapat suami yang tak berkira macam ni. Mudah-mudahan murah rezeki suami dan bisnes dia maju.

"Saya isteri bertuah bukan semata-mata kerana duit berkepuk tu, tapi sebab suami mengambil berat tentang diri saya, menjaga saya sepanjang berada di hospital," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain