suria

Saksi jatuh bangun bisnes, motosikal baharu tanda anak balas pengorbanan bapa - “Impian saya lepas ni nak hadiahkan restoran untuk mak”

Yusliza Yusof menerima motosikal pemberian anak-anaknya pada 1 januari lalu.

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih bapa kekal selamanya.

Begitulah juga kisahnya mengenai pemuda ini yang membuat kejutan istimewa buat bapanya baru-baru ini.

Menerusi video yang dikongsi kepada mStar, Muhammad Izzad, 30, bersama adik-beradiknya menghadiahkan bapa mereka, Yusliza Yusof, 53 sebuah motosikal model WMoto v16 keluaran SYM.

ARTIKEL BERKAITAN: Selamat Hari Bapa! Anak hadiahkan Mercedes-Benz, impian pensyarah sejak 1963 jadi realiti

ARTIKEL BERKAITAN: Berbulan kumpul duit jual nasi kukus, rungutan bapa dorong pemuda buat kejutan beri iPhone 12.

Mesra disapa Izzad, dia berkata hadiah itu merupakan simbolik kepada segala jasa dan pengorbanan bapanya selama ini.

"Kenapa hadiahkan motor kepada ayah? Panjang sejarahnya. Ayah saya bertugas sebagai polis. Masa saya masih belajar, dia hadiahkan motor. Adik pun dapat.

"Dia nak penuhi impian anak-anak masa tu. Sekarang saya dah ada bisnes, ayah jadi saksi jatuh bangun bisnes saya.

Model motosikal WMoto v16 yang dibeli untuk bapanya.

"Masa bisnes saya jatuh, saya terpaksa jual motor yang ayah hadiahkan dulu sebab nak cover kos. Tapi ayah tak kisah, dia nak tengok saya berjaya," ujarnya.

Menurut Izzad, dia sebelum ini mengusahakan kilang sabun, namun ia hanya mampu bertahan seketika sahaja.

Dia tergamam masa tu, dia fikir tu motor orang lain.

IZZAD

Dia kemudiannya membuat perusahaan yang menawarkan perkhidmatan pembersihan dan kini dalam proses untuk membangunkan semula kilang sabun berkenaan.

"Waktu jatuh bangun tu ayah banyak berkorban, sehinggalah dia tak sihat dan pernah dimasukkan ke hospital pada tahun lepas.

"Banyak benda yang jadi, tapi ayah nak tengok bisnes saya naik balik. Motor tu juga hadiah tahun baharu untuk segala pengorbanannya.

"Mak saya pula dah 20 tahun berniaga laksa di Kuala Lumpur. Impian saya lepas ni nak hadiahkan restoran untuk mak," ujarnya.

Kejutan dibuat pada 1 Januari lalu.

Ujar Izzad lagi, bapanya kini sudah berpindah ke Perak dan dijangka bersara tiga tahun lagi.

Menurut Izzad yang sudah memiliki seorang cahaya mata itu, video kejutan itu dirakam di sebuah restoran di Perak pada 1 Januari lalu.

"Sebenarnya saya shoot video sewaktu sign agreement lagi. Saya dengan adik bawa motor dari Kuala Lumpur ke Perak.

Paparan skrin video yang dikongsi kepada mStar.

"Kemudian letak motor tu di belakang kereta di restoran. Saya minta ayah alihkan motor, kemudian bagi kunci.

"Dia tergamam masa tu, dia fikir tu motor orang lain," ujar Izzad lagi.

Menurut Izzad, perkongsian video itu bukan atas dasar mahu menunjuk-nunjuk, namun sekadar perkongsian kisah gembira mereka sekeluarga dan berharap ia boleh memberi inspirasi kepada insan-insan yang bergelar anak di luar sana.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain