suria

Anak kena bebel dengan bapa guna elaun pertama beli hadiah, tapi mak bocor rahsia perkara sebaliknya - “Koyak banyak kali tetap hantar jahit”

(gambar kiri) Nur Suhaili (kanan) bersama bapanya. (gambar kiri) Bapanya berleter dihadiahkan kasut sukan.

SIAPA yang tidak suka menerima kejutan atau hadiah, terutama daripada orang tersayang.

Berbeza pula dengan seorang bapa yang berleter apabila dihadiahkan sepasang kasut oleh anaknya, berikutan pembelian tersebut dianggap mahal dan membazir.

Namun, reaksi si bapa berubah di akhir video yang tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Last menangis masa dapat SPM 10A, kali ini ayah 'banjir' lagi... nyaris kantoi sebelum kejutan kereta baharu menjadi! - "Ayah nak bertenang dulu"

ARTIKEL BERKAITAN: Alahai ayah! 10 anak rancang kejutan birthday, selamba je bapa hias hadiah sendiri - "Tolong sikit je, tapi nak upah banyak"

"Apa pun, terima kasihlah beli juga," kata bapa berkenaan dengan wajah yang selamba.



Pemberian hadiah daripada Nur Suhaili bagi menggembirakan ibu bapanya.

Anak kepada lelaki berkenaan, Nur Suhaili Abdul Razak memberitahu, kasut tersebut sebenarnya bukan dihadiahkan sempena hari ulang tahun bapanya yang kini berusia 50 tahun.

Sebaliknya, gadis berusia 20 tahun itu berkata, pemberian itu bagi meraikan elaun pertama yang diterima selepas menyertai kem latihan ragbi di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Ayah saya dapat kasut tu Selasa lalu bukannya sebab hari jadi dia pun. Tapi, sebab nak hargai elaun pertama yang saya terima dengan menghadiahkan sesuatu buat keluarga.

"Bukan ayah seorang saja yang dapat hadiah. Mak dan adik-beradik lain yang masih bujang pun saya belikan hadiah yang berbeza-beza," katanya kepada mStar.



Bapa Nur Suhaili gemar melakukan aktiviti luar seperti berjoging.

Nur Suhaili berkata, dia menghadiahkan sepasang kasut sukan disebabkan bapanya itu gemar menghabiskan masa lapang dengan berjoging.

"Ayah ni kalau pakai sesuatu memang dia akan pakai selagi elok. Tapi macam kasut joging ayah ni, beberapa kali koyak tapi ayah tetap hantar ke kedai untuk dijahit.

"Selagi boleh pakai sampai lunyai, itulah ayah. Kalau segelintir orang, kalau koyak sikit saja dan pergi beli yang baru sebagai ganti," ujarnya yang berasal dari Pokok Sena, Kedah.



Nur Suhaili (hadapan, tengah) bersama keluarganya.

Walaupun kasut yang dibeli itu jauh lebih murah berbanding harga asal kerana promosi diskaun, bapanya sebenarnya tidak mahu anak-anaknya boros berbelanja.

"Ayah 'bising' kenapa membazir sebab kasut dia masih elok lagi. Lagipun katanya, duit saya tu lebih baik digunakan untuk perbelanjaan sendiri terutama ketika kecemasan.

Ayah 'bising' kenapa membazir. Katanya, duit saya tu lebih baik digunakan untuk perbelanjaan sendiri terutama ketika kecemasan.

NUR SUHAILI ABDUL RAZAK

"Sebelum ini abang dan kakak pernah kena bebel dengan ayah bila hadiahkan atau belikan macam-macam. Saya pula pertama kali sebab nak juga gembirakan mak ayah.

"Sebelum ni tengok orang lain bagi kat mak ayah. Jadi eloklah rezeki dapat elaun pertama itu dikongsikan juga bersama mak ayah," ujar anak ketiga daripada empat beradik itu.



Bapa Nur Suhaili menunjukkan hadiah kasut sukan pemberiannya.

Menyifatkan bapanya yang merupakan pesara tentera sebagai tegas dan kadang-kadang ‘kuat berleter’ tetapi pada masa sama penyayang dan sering berjenaka.

"Macam dalam video yang mak rakam tu, dia bebel dan pesan jangan beli dan membazir. Tapi di sebalik rakaman tu, mak cakap ayah sebenarnya suka sangat kasut tu.

"Ayah kata elok sangat kasut tu sampai sayang pula dia nak pakai. Dibelek-beleknya kasut tu. Tapi ayah tak tunjuk depan anak-anak, malu tapi mahu agaknya," ujarnya secara berseloroh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain