suria

Selalu beri makan, pemuda tak sangka anjing jalanan cari sampai tempat kerja... siap buat ‘drama’ - “Scene sedih tu seolah saya nak tinggalkan dia”

Mohd Ridhuan memuat naik video seekor anjing jalanan yang sedih gara-gara dia mahu pulang hingga ia menjadi tular di Twitter.

MEMANG tidak dinafikan, segelintir masyarakat Melayu mempunyai stigma negatif terhadap apa sahaja perkara berkaitan anjing.

Namun bagi seorang pemuda, perkara tersebut langsung tidak menjadi penghalang untuknya berbakti kepada haiwan berkenaan.

Menurut Mohd Ridhuan Daud, dia sememangnya seorang pencinta haiwan, termasuklah anjing.

ARTIKEL BERKAITAN: “Orang berilmu langsung tak ada isu dengan saya” - Doktor veterinar buat amal jariah selamatkan anjing ‘sekolahkan’ manusia berfikiran sempit

ARTIKEL BERKAITAN: Angsa kenang jasa! Ramai kagum lihat hubungan sweet pemuda ini dengan Seman - “Kami rapat selepas saya bantu ‘bini’ dia”

Pemuda ini berkata niatnya hanya sekadar mahu berkongsi dengan para pengikutnya mengenai kasih sayang terhadap haiwan, sebagaimana video yang dimuat naik di laman sosial itu.

Menerusi video tersebut, Mohd Ridhuan dilihat mengusap mesra seekor anjing yang menunjukkan reaksi sedih seolah-olah tidak mahu ditinggalkan.



Posting yang dimuatnaik oleh Mohd Ridhuan mengenai anjing yang ditemuinya baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mohd Ridhuan mengenakan sarung tangan sebelum menyentuh haiwan tersebut.

Video itu sehingga kini meraih lebih 6,000 retweet dan 12,000 likes.

"Sejujurnya apa pandangan orang, saya tak kisah. Saya masih tahu menjaga batas hukum dan sebagai seorang Muslim, saya tahu membezakan baik dan buruk.

"Bagi saya, selagi saya tidak melanggar hukum agama, tidak salah sekiranya saya berbuat baik kepada anjing. Terpulang kepada orang. Kita tak boleh mengubah mentaliti mereka," ujarnya kepada mStar.



Anjing berkenaan sering menunggu setiap kali sebelum Mohd Ridhuan pulang ke rumah.

Bagaimanapun ujarnya, setakat ini komen yang diterima di Twitter adalah yang positif, namun ada beberapa pelayar yang menitipkan komen berbaur nasihat kepadanya.

"Betul apa yang pelayar tu kata, kalau boleh elakkan bersentuhan di mana kalau saja-saja nak sentuh, mungkin boleh jadi lain hukumnya.

"Tapi dalam situasi ini, saya memang selalu beri makanan kepadanya kerana ia adalah anjing jalanan. Apa-apa pun, saya tetap pakai sarung tangan," ujar pemuda berusia 22 tahun ini.

Layanlah mereka sama rata sebab mereka pun makhluk Allah juga... mereka layak untuk diberi kasih sayang.

MOHD RIDHUAN DAUD

Bercerita mengenai anjing berkenaan, Mohd Ridhuan berkata haiwan itu sudah 'mengenalinya' kerana sering memberi makanan sejak beberapa minggu lalu.

"Pertama sekali saya jumpa anjing dan bersama beberapa ekor yang lain di tepi laut. Saya memang selalu lepak laut selepas habis kerja atau selepas makan.

"Jadi setiap kali ke sana, saya akan beri makan. Mula-mula takut juga sebab banyak ekor, tapi sebab niat nak bagi makan... tak sangka disambut baik pula.



Video gelagat mesra Mohd Ridhuan bersama seekor angsa pernah tular sebelum ini.

"Beberapa hari saya tak ke sana, anjing ni merayau sampai terjumpa saya yang bekerja di kedai serbaneka tak jauh dari tempat selalu berinya makan.

"Sejak dari itu, ia memang tunggu saya petang-petang sebelum balik rumah. Itu yang terjadi scene sedih tu, seolah-olah saya nak tinggalkan dia," ujar pemuda berasal dari Johor Bahru, Johor ini.



Mohd Ridhuan sememangnya seorang yang sangat menyayangi haiwan.

Bercerita lebih lanjut, Mohd Ridhuan berkata masyarakat tidak wajar membezakan layanan terhadap haiwan sama ada yang tinggal di jalanan mahupun yang dijadikan peliharaan.

"Layanlah mereka sama rata sebab mereka pun makhluk Allah juga... mereka layak untuk diberi kasih sayang," ujarnya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain