suria

Pelajar OKU nyanyi lagu tema 7 Hari Mencintaiku 2 dapat ‘tepukan gemuruh’ Tok Ti - “Dia geram dengan watak jadi kebencian”

(kiri) Suhaila ketika membuat persembahan di Istana Budaya, tahun lalu. (kanan) Suhaila ketika menyampikan lagu Aku Bidadari Syurgamu di SMKPK Setapak.

MEREMANG bulu roma!

Demikian antara komen netizen yang terpaku menyaksikan video persembahan seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (penglihatan) menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Walaupun drama bersiri popular 7 Hari Mencintaiku 2 telah pun melabuhkan tiranya, namun lagu runut bunyi drama itu lebih berhantu apabila dinyanyikan oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak (SMKPK Setapak) di Kuala Lumpur yang begitu bertenaga dan bersahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Inilah masanya! Tiga pramugari cun tonjol bakat buat 'konsert', ada yang kata suara mirip Tok Ti - "Meremang sebab cuma kami bertiga, tak pakai minus one"

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sia-sia nama serupa, ibu pula peminat tegar... Siti Nurhaliza dan emak berpeluk terima kejutan Siti Nurhaliza

Persembahan pada majlis E-Mahabbah anjuran unit kokurikulum SMKPK Setapak sempena sambutan Awal Muharram itu turut meraih perhatian penyanyi asal lagu tersebut.

"MasyaAllah... kurniaan istimewa," komen Siti Nurhaliza berserta beberapa emoji tepukan gemuruh, menerusi akaun Twitter beliau @CTNurhaliza11.



Suhaila (kanan) bersama guru-guru pada majlis E-Mahabbah di SMKPK Setapak. Foto Facebook smpksetapak

Meluahkan perasaan kepada mStar, pelajar SMKPK Setapak itu, Siti Nur Suhaila Jamil berasa amat terharu kerana persembahannya mendapat respons penyanyi nombor satu negara.

"Ya Allah, saya gembira sangat. Saya memang tak sangka, rasa amat terharu,” kata pelajar tingkatan dua itu dengan nada teruja.



Suhaila dan para peserta bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada Konsert Diraja Kementerian Pendidikan Malaysia 2019 di Istana Budaya.

Lebih mesra dengan panggilan Suhaila, dia memberitahu begitu minat menyanyi sejak di tadika, malah telah menyertai beberapa pertandingan nyanyian.

"Saya memang meminati Datuk Seri Siti Nurhaliza sejak dulu. Suara beliau memang dah power, selain lagu-lagu yang dinyanyikannya menjadi pilihan hati.

"Tapi apa yang paling saya suka selain bakat beliau adalah apabila beliau bercakap. Cukup lemah-lembut, membuatkan personaliti beliau satu pakej lengkap sebagai seorang penghibur disayangi ramai," ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu.



Suhaila merupakan OKU penglihatan sejak kecil. Foto ihsan Suhaini Samsuddin

Suhaila sebelum ini pernah membuat persembahan di Konsert Diraja Kementerian Pendidikan Malaysia 2019 yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada September tahun lalu.

Malah, dia juga pernah membuat persembahan di Istana Negara, sempena mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu pada tahun lalu.

Selama ini, saya berlatih menyanyi dengan hanya mendengar lagu-lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza.

SITI NUR SUHAILA JAMIL

Remaja ini juga pernah menyertai program realiti Ceria Megastar Ministar 2019 tahun sama.

Selain menyanyi, gadis ini juga berkebolehan membuat kraftangan dan bermain keyboard.



Suhaila (tiga, kanan) bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (empat, kanan) semasa membuat persembahan di Istana Negara, tahun lalu.

Sementara itu, ibu Suhaila, Suhaini Samsuddin, 43, pula berkata, drama bersiri 7 Hari Mencintaiku 2 itu benar-benar membuatkan anaknya itu ‘melekat’ depan televisyen di rumah.

"Dia dari episod pertama sampai habis memang tak pernah terlepas. Sepanjang drama berlangsung, dia hanya mendengar tetapi cukup memberi kesan pada dirinya.

"Bila ada watak yang menjadi kebencian itu memang dia geram. Tapi kalau babak sedih, dia tetap geram sebab buat dia menangis," ujarnya yang merupakan suri rumah sepenuh masa.



Suhaila (kanan) bersama ibu yang sentiasa memberi sokongan.

Mengenai lagu Aku Bidadari Syurgamu, penangan drama popular itu memudahkan pelajar yang dibesarkan di Rawang, Selangor itu berlatih sebelum membuat persembahan di sekolah.

"Selama ini, saya berlatih menyanyi dengan hanya mendengar lagu-lagu beliau. Sebagai peminat, sudah tentu saya mengimpikan untuk bertemu dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Saya paling suka lagu Cindai. Kalau diberikan peluang bertemu dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza, dapat bergambar berdua pun tak apa.

"Tak terfikir sampai berduet sebab berjumpa dengan beliau dah jadi hadiah paling bermakna dalam hidup saya. Kalau dapat berduet tu, ya Allah memang saya tak tahu nak cakap apa, speechless," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain