suria

“Aku akan kurangkan linangan air matamu” - Ibu tua datang dari jauh mahu lawat anak di penjara, sanggup tidur di perhentian bas

Kisah menyentuh hati yang dikongsikan Uncle Kentang menunjukkan betapa kasih seorang ibu benar-benar tulus tanpa mengira baik atau buruk anaknya. Gambar hiasan.

SUNGGUH benar kata pepatah, 'kasih ibu membawa ke syurga'.

Demi kasih seorang ibu, wanita tua ini sanggup datang dari jauh semata-mata mahu melepaskan rindu kepada anaknya yang kini ditempatkan di Penjara Bentong, Pahang.

Kisah ini dikongsikan oleh seorang aktivis yang aktif membuat kerja-kerja kebajikan, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang menerusi catatan di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: “Memang gilalah kau Haji Amir” - Gabungan mantap pemuda dua bangsa, masalah libat masa depan gadis selesai 15 minit je!

ARTIKEL BERKAITAN: Tak kira agama, Uncle Kentang bantu urus kebumi jenazah menjelang 1 Syawal termasuk bayi 5 bulan dah 14 hari meninggal dunia! Ramai doakan dapat hidayah

Menerusi perkongsian Uncle Kentang, wanita tua yang berasal dari Kelantan itu menyuarakan hasrat mahu menziarahi anaknya, namun berdepan dengan kekangan kewangan.

"Kami ada seorang makcik tua bakal sampai Bentong dari Kelantan. Usia tua. Duit pun tak ada banyak... naik bas dari Kelantan ke Bentong untuk ziarah anak dalam penjara Bentong.

"Kasih sayang seorang ibu pada anak tidak akan luntur. Baik jahat tetap anak sendiri. Beliau nak sampai Bentong pada 12 Ogos dan nak bermalam di perhentian bas sebelum ke Penjara Bentong pada 13 Ogos kerana ada temujanji jumpa anak kesayangan beliau," tulis lelaki itu.



Perkongsian Uncle Kentang mengenai kisah seorang ibu tua yang sanggup datang jauh dari Kelantan untuk menziarahi anaknya di Penjara Bentong.

Tidak tergamak mahu melihat ibu itu kesejukan dan kelaparan kelak, lelaki ini nekad untuk meringankan bebannya menerusi sumbangan yang disalurkan orang awam.

"Kita cukup faham keresahan dan kegusaran ibu melihat anak dalam penjara. Tidak akan kita biarkan ibu berlinang air mata.

"Tidak akan kita biarkan ibu tidur di bangku panjang awam di bus stop sementara menunggu matahari terbit. Tidak... tidak. Cukuplah sengsaramu ibu.

"Kita akan berikan wang padamu agar kau mampu beli makanan nanti, agar kamu mampu mendengar suara anakmu di belakang tirai besi," tulisnya lagi.



Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang dikenali kerana aktif dalam aktiviti kebajikan tanpa mengira bangsa.

Untuk memudahkan urusan wanita tersebut sepanjang lawatannya, lelaki ini turut menyediakan bilik hotel untuk bermalam, selain meminta seorang kenalannya mengiringi warga emas itu kelak.

"Aku berjanji, langkahmu ke penjara untuk menatap wajah anak kesayanganmu tak akan dibiarkan seorang. Kami akan sediakan hotel untukmu, kami akan meminta pengiring bawamu ibu agar perjalananmu mudah.

"Aku berjanji, aku akan kurangkan linangan air matamu, kerana aku yakin tatkala aku mempermudahkan urusanmu, Allah akan mempermudahkanku. Ia pasti ibu," tulisnya lagi.



Baik atau jahatnya seseorang, namun kisah yang dikongsikan oleh Uncle Kentang membuktikan bahawa kasih seorang ibu terhadap anaknya benar-benar tulus. Gambar hiasan.

Perkongsian tersebut turut mengundang rasa hiba netizen yang tersentuh dengan kasih sayang seorang ibu.

"Saya lebih tersentuh kisah ini dibandingkan dengan kisah lain," tulis seorang netizen.

"Bantulah Uncle, jangan biar ibu ini keseorangan. Moga Allah permudahkan urusan makcik ini," komen seorang lagi netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain