suria

“Mungkin mereka bergaduh lagi” - Sehari selepas maafkan suami, semua video Sugu Pavithra lesap... ramai doakan yang baik-baik

Ketiadaan video masakan di saluran YouTube pasangan Sugu Pavithra pada lewat petang Sabtu mengejutkan ramai.

SELEPAS kes membabitkan duo YouTuber masakan popular, M Sugu yang didakwa memukul isterinya, S Pavithra mengejutkan ramai, kini rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita tidak disangka.

Kali ini, kesemua video masakan yang dihasilkan pasangan suami isteri itu di saluran YouTube 'Sugu Pavithra' telah dipadam.

Tinjauan mStar mendapati tiada lagi sebarang video dipaparkan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Janganlah pilih kami” - YouTuber Pavithra enggan terima sebarang anugerah selepas dakwaan dicederakan suami, tak mahu ada yang iri hati

ARTIKEL BERKAITAN: Bengang nama tak disebut ketika terima anugerah, YouTuber Pavithra dakwa dipukul suami

Sebelum ini, pasangan itu memuat naik 98 video termasuk video masakan serta aktiviti keluarga mereka seperti percutian dan perpindahan ke kediaman baharu.

Mereka yang mula dikenali dan mencuri tumpuan ramai sewaktu kerajaan melaksanakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mempunyai seramai 785,000 pengikut.

Perkembangan terbaharu itu ternyata mengejutkan ramai netizen yang tertanya-tanya mengenai apa sebenarnya yang sedang berlaku.



Imej tangkap layar daripada saluran YouTube pasangan berkenaan sebentar tadi.

"Anda semua, apa terjadi kepada saluran YouTube Sugu Pavithra?" tulis seorang pelayar sambil memuat naik imej tangkap layar saluran pasangan itu yang tidak memaparkan sebarang video.

"Saya rasa dia (Pavithra) tidak stabil dari segi mental lagi, berikan ruang untuk dia berehat seketika," tulis seorang pelayar di Twitter.

"Dia dah hilang semangat, dia nak rehat," komen seorang lagi pelayar.

"Mungkin mereka bergaduh lagi," tulis seorang pelayar membuat andaian.



Antara komen netizen di Twitter yang tertanya-tanya susulan perkembangan terbaharu itu.

Untuk rekod, video terakhir yang dimuat naik di saluran pasangan suami isteri tersebut adalah percutian bersama keluarga di taman tema air popular dan menginap di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Rabu lalu, media melaporkan konflik yang melanda duo YouTuber itu apabila Sugu didakwa mencederakan Pavithra.

Sugu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya.



Sugu (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ipoh atas dakwaan memiliki sebilah sabit di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Selasa lalu.

Konflik tersebut dipercayai tercetus kerana Pavithra tidak menyebut nama suaminya sewaktu menerima anugerah Ikon Bandaraya Ipoh.

Dalam kenyataan kepada media selepas wang jaminan dibayar pada Jumaat, pasangan berkenaan bertegas untuk menolak sebarang anugerah termasuk yang anugerah daripada Majlis Bandaraya Ipoh itu.

Pavithra juga berkata dia telah memaafkan Sugu dan mereka berhasrat untuk meneruskan kehidupan normal bersama keluarga tanpa dikenali orang ramai seperti dahulu termasuk tidak mahu melibatkan diri dengan mana-mana ahli politik.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
Sugu, Pavithra, YouTube,

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Wanita bingung kereta kemik angkara labu