Tak pernah terlepas tengok Jejak Rasul, kali ini auranya lain macam... pelajar UPM terus ubah wishlist destinasi percutian idaman - “Sebelum ini teringin nak ke Australia”

Aliaa berkongsi hasratnya itu menerusi laman Twitter.

CUKUP sinonim dengan kehadiran bulan Ramadan, program televisyen Jejak Rasul pastinya ditunggu-tunggu oleh peminat setianya saban tahun.

Begitu juga pelajar ini apabila rancangan dokumentari Islamik itu disifatkan sebagai satu sumber inspirasi buat dirinya.

Menurut Nur Aliaa Lina Mohd Rohzaini, salah satu episod menerusi musim terdahulu membuatkan dia mengubah destinasi impian yang ingin dilawatinya suatu hari nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai nak berehat selepas wabak Covid-19 berakhir... Tempahan ke UK dan Sepanyol meningkat awal 2021

ARTIKEL BERKAITAN: Akibat Covid-19, majoriti negara dunia tutup pintu!

Malah, siswi berusia 28 tahun itu turut meluahkan keinginan itu di laman Twitter sehingga menjadi tular dan mendapat respon pengacara Jejak Rasul, Ahmad Fedtri Yahaya.

"Masa Jumaat minggu lepas, bila dah siap memasak untuk berbuka, saya tengok episod ulangan Jejak Rasul. Episod tu memaparkan tempat dikenali sebagai Sharm El Sheikh di Mesir.



Posting yang dikongsi Aliaa di Twitter.

"Sebelum ini saya teringin nak pergi Australia, sebab banyak tempat menarik di sana. Lepas tengok episod tu, terus tertarik nak pergi ke sana, lautnya yang berwarna biru sangat cantik.

"Saya pun tweet mengenai hal itu, tak jangka pula akan viral. Saya tweet sekadar suka-suka sahaja," ujarnya kepada mStar.

Ada juga cerita yang kita dah dengar masa zaman sekolah, apabila Jejak Rasul pergi sendiri ke sana, kita dapat lihat sendiri lokasi kisah-kisah lama itu.

NUR ALIAA LINA MOHD ROHZAINI

PELAJAR UPM

Mesra disapa Aliaa, penuntut Sarjana Sains Hortikultur Universiti Putra Malaysia (UPM) itu meletakkan sasaran untuk menjejakkan kaki ke Sharm El Sheikh dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ujarnya lagi, dia sememangnya menonton Jejak Rasul saban tahun dan banyak mempelajari sejarah berkaitan Islam menerusi siaran itu.



Hos Jejak Rasul Ahmad Fedtri Yahya turut membalas tweet Aliaa di Twitter,

"Memang banyak belajar apabila tengok Jejak Rasul. banyak cerita tentang nabi, kadang-kadang kita dah lupa banyak kisah-kisah lama.

"Ada juga cerita yang kita dah dengar masa zaman sekolah, apabila Jejak Rasul pergi sendiri ke sana, kita dapat lihat sendiri lokasi kisah-kisah lama itu.



Aliaa merupakan penuntut UPM.

"Ia sekaligus memberi gambaran visual kepada apa yang kita pernah dengar dan memberi lebih kefahaman lagi mengenai sesuatu kisah itu," ujarnya yang menetap di Machang, Kelantan.

Dalam pada itu, posting Aliaa mengenai keinginan untuk ke Sharm El Sheikh menerima lebih 3,000 ulang kicau (Retweet).

Malah, pengacara Jejak Rasul, Admad Fedtri Yahya turut membalas tweet itu dengan dua keping foto di lokasi berkenaan.

Selain itu, ramai netizen di Twitter turut mengakui keindahan lokasi itu khususnya panorama laut yang cukup memukau mata memandang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain