suria

“Memang tak ada suspek lain lagi dah” - Si Lusoh terkena panick attack selepas nampak anjing, ‘membuang’ dalam bekas beras pulutlah jawabnya!

Gelagat kucing milik gadis bernama Yuhana ini mencuit hati netizen.

MELIHAT wajah comel si bulus dan gelagatnya yang keletah pasti boleh mencairkan hati sesiapa sahaja.

Malah kehadiran haiwan ini juga mampu menghilangkan tekanan setelah seharian berada di pejabat.

Namun di sebalik kecomelannya, gelagat si bulus yang nakal juga boleh menyebabkan pemiliknya pening kepala!

ARTIKEL BERKAITAN: Si bulus merajuk gara-gara tuan terpicit ‘berlian’ masa mandi, terus tak nak keluar bilik air – “Mia datang dekat pun tak layan”

ARTIKEL BERKAITAN: Serik! Masa hantar montel, apabila ambil dah kurus dan lemah – “Ada seekor lagi struggle untuk hidup... tapi saya tak mau tutup periuk nasi orang”

Itulah situasi yang dialami seorang gadis apabila si bulus peliharaannya ‘melepaskan hajat’ di dalam bekas berisi beras pulut.

Berkongsi insiden lucu itu bersama mStar, Yuhana Yusof berkata, kejadian berlaku minggu lalu apabila ibunya menjemur satu dulang berisi beras pulut di halaman rumah.



Perkongsian Yuhana mengenai gelagat kucingnya menjadi tular di Twitter.

"Ibu saya jemur beras pulut itu di bawah cahaya matahari untuk menghilangkan kutu beras. Beras pulut itu dibeli bulan lalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi mungkin sebab lama maka ada serangga tu.

"Ibu letak dulang tu di halaman rumah sebab rumah kami jenis rumah kampung. Waktu petang sewaktu saya nak angkat dulang bawa masuk dalam rumah, tiba-tiba ada perasan sesuatu benda asing yang siap disalut oleh beras pulut lagi.

"Memang masa tu tak tahu nak tergelak atau nak marah. Ini mesti ‘kerja’ salah seekor kucing peliharaan saya yang benama Lusoh. Memang tak ada suspek lain lagi dah,"katanya sambil ketawa kecil.



Kucing bernama Lusoh ini sudah dipelihara oleh Yuhana lebih setahun yang lalu.

Gadis berusia 23 tahun ini berkata, Lusoh yang telah dipelihara sejak lebih setahun lalu memang kerap membuat ‘onar’ terutama apabila terkejut atau ketakutan.

"Si Lusoh ni memang lain sedikit berbanding kucing-kucing peliharaan saya yang lain. Dia mudah terkena 'panick attack' dan bila dalam keadaan tersebut, memang akan terkencing atau terbuang air besar serta merta.

"Kebetulan hari tu, dia terlihat seekor anjing di halaman rumah. Itu yang Lusoh takut. Anjing tu memang kenal saya sebab selalu beri makan di kawasan tak jauh dari rumah.

"Beberapa hari kebelakangan ini saya jarang keluar, jadi anjing tu datang cari di rumah seperti yang biasa diakukan," ujarnya yang menyediakan perkhidmatan 'grooming' dan hotel kucing ini.

Si Lusoh ni memang lain sedikit berbanding kucing-kucing peliharaan saya yang lain. Dia mudah terkena ‘panick attack’ dan bila dalam keadaan tersebut, memang akan terkencing atau terbuang air besar serta merta.

YUHANA YUSOF

PEMILIK KUCING

Sehingga kini perkongsian Yuhana di Twitter meraih sehingga 24,300 retweet dan 22,300 likes selain turut dibanjiri komen netizen yang terhibur dengan gelagat kucing peliharaannya itu.

Gadis yang berasal dari Hulu Langat ini mendedahkan dia sememangnya minat memelihara kucing sejak kecil lagi.

Perkara itulah yang menjadi pendorongnya untuk memberanikan diri menceburi perniagaan yang menawarkan perkhidmatan dandanan serta hotel kucing.



Yuhana bersama salah seekor kucing peliharaannya, Ngungu.

"Saya baru buat perkhidmatan ini sejak lima bulan lalu. Sebenarnya sebelum ini saya bekerja sebagai penyelia tapak selama tiga tahun, namun disebabkan syarikat tempat saya bekerja ada masalah, saya berhenti kerja dan cuba buat grooming dan boarding untuk kucing.

"Mula-mula memang bimbang juga sebab fikir boleh ke nak maintain sumber pendapatan... lebih-lebih lagi guna modal sendiri. Tapi saya beranikan diri mencuba.

"Saya guna medium Twitter untuk perkenalkan kepada orang ramai. Alhamdulillah, sambutan agak menggalakkan. Kadang-kadang terpaksa minta tolong kawan untuk bantu sebab saya buat semuanya seorang diri," ujarnya yang memiliki 12 ekor kucing peliharaan.



Yuhana memelihara 12 ekor kucing sehingga kini.

Selain didorong oleh minat, Yuhana berkata antara faktor dia memulakan perniagaan tersebut adalah untuk mengubah persepsi segelintir individu yang merasakan hobi memelihara kucing hanya satu pembaziran.

"Saya nak orang ubah persepsi yang bela kucing ni banyak buang duit dari segi maintenance, terutama dari segi grooming. Sebab tu saya buat servis grooming dengan harga yang murah.

"Supaya orang tak akan rasa terbeban tapi tetap boleh bagi kehidupan yang terbaik untuk hidup haiwan tersebut. Walaupun barang yang saya pakai tu agak mahal tapi bagi rugi sikit-sikit tu saya tanggung tak apa," ujarnya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Si bulus, anjing, terkejut, beras pulut

Artikel Lain