suria

Resah tak dapat niaga masa PKP, abah buat 3 kerja sekaligus... apa yang anaknya lakukan memang padu! - “Dia pelik ramai order”

Gadis bernama Shaf membuat perkongsian di Twitter untuk membantu bapanya mencari rezeki sejak kerajaan melaksanakan PKP.

“SEDIH mengenangkan keluarga di kampung, ini yang saya dapat buat untuk menolong mereka dari jauh”

Demikian kata seorang gadis mengenai tindakannya yang memuat naik posting bagi mengiklankan barang-barang jualan dan perkhidmatan yang ditawarkan bapanya di Twitter.

Gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Shaf itu berkata, pendapatan bapanya sedikit terjejas kerana tidak dapat berniaga seperti biasa susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ini manfaatkan lesennya habis-habisan ketika PKP... upah 10 sen pun ambil!

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kerja biasa-biasa’, tapi grup anak muda ini semangat membara nak tolong orang susah - “Ada yang baru keluarkan duit BPN, mereka sanggup derma”

“Abah berniaga barang-barang elektronik di pasar malam dan pasar pagi. Sejak saya bersekolah rendah lagi abah dah mula berniaga di pasar. Itulah sumber pendapatannya untuk menyara kami empat beradik.

“Jadi ketika ini kerajaan sedang kuatkuasakan PKP, abah tak dapat berniaga seperti biasa. Suatu hari tu saya perasan abah iklankan barang-barangnya di Whatsapp Story dan ada juga dia kongsi di Group Whatsapp.

Posting Shaf yang tular di Twitter.

“Dia memang tak bercerita dengan anak-anak pasal masalah kewangan. Tapi bila saya hubungi ibu, baru dapat tahu memang sekarang abah sedang berusaha untuk mencari duit. Abah juga buat COD (cash on delivery) kepada sesiapa yang beli barang jualannya.

“Sedih bila lihat abah struggle nak cari duit. Sebab itu saya cuba bantu dengan cara iklankan di media sosial,” kata gadis yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan ini.

Shaf yang kini ‘terkandas’ di kolej kediaman di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam berkata, bapanya yang dikenali sebagai Mohamad bukan sahaja menjual barang-barang elektronik, namun turut melakukan dua pekerjaan lain bagi mencari sumber pendapatan tambahan.

Dia sebenarnya pelik juga kenapa ramai orang order. Tapi saya tak beritahu pun saya iklankan di media sosial.

SHAF

ANAK

“Abah juga ada buat perkhidmatan membeli barangan keperluan seperti barang dapur dan barang asas, selain kerja memotong rumput. Sebelum ni mesin rumput tu dia beri saja orang pinjam, tapi sekarang dia yang nak buat.

“Mama tak bagi sebab takut abah penat buat banyak kerja. Tapi abah nak juga buat. Mama pula nanti akan mula berniaga kuih kecil-kecilan ketika bulan puasa nanti untuk bantu abah,” kata penuntut tahun dua jurusan Pendidikan Matematik ini.

Status Whatsapp Story yang membuatkan gadis ini sedih apabila melihat kesungguhan bapanya mencari rezeki. 

Dalam pada itu, Shaf turut meluahkan rasa gembira apabila perkongsiannya itu menjadi tular sekaligus mendapat perhatian dan sambutan daripada netizen, sehingga kebanyakan barang jualan bapanya terjual.

“Kebanyakan barang seperti radio kecil terjual. Siap ramai pula yang tanya. Tapi abah kata susah untuk ambil stok sebab kedai pembekal tutup. Dia sebenarnya pelik juga kenapa ramai orang order. Tapi saya tak beritahu pun saya iklankan di media sosial.

“Sampai sekarang dia tak tahu perkongsian ini viral. Hanya abang saja yang tahu. Saya bimbang nanti dia sedih pula bila anak-anak tahu keadaannya. Tapi dari nada suaranya bila bercakap di telefon, abah gembira sangat bila barang-barang terjual,” kata gadis ini lagi.

Shaf (tengah) kini berada di kediaman yang disediakan pihak universiti susulan arahan PKP yang dikeluarkan kerajaan.

Menyifatkan apa yang berlaku kini kerana pertolongan dan sikap prihatin netizen, Shaf berkata dia ingin mengambil kesempatan untuk memanjatkan jutaan terima kasih kepada mereka yang banyak menghulurkan bantuan sama ada dari segi menularkan perkongsiannya dan juga yang sudi menjadi pelanggan bapanya.

“Kalau boleh nak beritahu setiap seorang yang saya ucapkan terima kasih, baik yang tolong retweet mahupun yang membeli. Bagi orang di luar sana yang sama-sama struggle dalam pekerjaan, mudahan kuat semangat. Yang penting usah putus asa berusaha,” katanya mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
tiga kerja, bapa, pasar, potong rumput, PKP

Artikel Lain