suria

Kluster kayangan terbiasa layanan VVIP, sampai sanggup ugut doktor – “Suruh jaga jarak, dia siap ajak member lain vaping sekali”

Dr Ahmad Samhan berkongsi luahan rakannya yang berdepan dengan karenah kluster kayangan.

KEBELAKANGAN ini kita kerap kali disajikan dengan kisah perkongsian petugas di barisan hadapan yang menghadapi pelbagai ragam dan karenah golongan yang digelar ‘kluster kayangan’.

Ada sahaja rungutan dan aduan daripada golongan ini yang dikongsikan petugas frontliner di media sosial.

Bukan setakat itu sahaja, malah lebih teruk, ada segelintir daripada golongan ini yang tergamak mengeluarkan kata-kata kesat kepada petugas sewaktu proses pengambilan sampel dijalankan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kini doktor faham perasaan dikuarantin, lebih letih daripada bekerja - “Macam duduk dalam kubur tapi hidup”

ARTIKEL BERKAITAN: “Hari yang paling panjang” - Selepas doktor, anggota APM pula buat pengakuan jadi ‘bahan’ grup turun dari kayangan... mahu bilik menghadap tasik

Terbaharu seorang doktor mendedahkan satu lagi sikap buruk segelintir ‘kluster kayangan’ yang bertindak tidak sopan apabila begitu angkuh dan enggan mematuhi arahan yang diberikan petugas.

Menurut Dr Ahmad Samhan dalam satu hantaran di Facebook, kisah tersebut dialami oleh rakannya yang bertugas sebagai salah seorang frontliner yang terlibat menguruskan kluster dari kayangan.

Sebahagian daripada posting Dr Ahmad Samhan. 

“Bukan senang nak uruskan pesakit yang tak faham bahasa. Semua dia nak cepat. Dah terbiasa dengan layanan VVIP. Dari tadi diperhatikan. Mundar mandir seperti cacing kepanasan.

“Suruh duduk dan tunggu giliran tak mahu. Mahu terus dilayan. Padahal ramai lagi orang lain yang datang lebih awal untuk disaring. Suruh jaga jarak, dia siap ajak member lain vaping sekali. Bila dilarang, ‘bukan hisap rokok,vape lah!’

“Mereka memang kluster dari kayangan. Tak pernah hidup susah. Tak pernah jadi miskin. Itu yang mendongak ke langit. Lupa nak berpijak ke bumi,” tulis doktor tersebut.

Mereka ini tak perlu ramai. Ada 2-3 orang yang perangai begini dah pening kepala. Rasa macam handle 1,000 orang. Hina staf kesihatan macam takda maruah. Nak tunjuk dia ada kabel besar, boleh dapat layanan istimewa. Tolonglah!

DR AHMAD SAMHAN

DOKTOR

Menurut Dr Ahmad Samhan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu, individu berkenaan juga berani mengugut rakannya itu sekiranya kemahuannya tidak diendahkan.

Tulis Dr Ahmad Samhan, ini kerana proses mengambil sampel itu perlu dilakukan mengikut giliran dan perkara ini menyebabkan individu itu tidak mahu menunggu lama walaupun sudah diberi penjelasan.

“You jangan main-main dengan I. You tak kenal siapa I. Oh, you tinggi suara ya? Nama apa? I’ll call my lawyer. Aku nak cakap dengan pengarah hospital sekarang!” demikian antara bait-bait ayat yang dilontarkan individu angkuh itu sebagaimana yang dikongsikan doktor tersebut di laman sosialnya.

Ulas doktor itu lagi, kewujudan golongan sebegini walaupun hanya segelintir, namun sudah cukup untuk memeningkan kepala petugas kesihatan.

Sungguhpun peningkatan kes Covid-19 sedikit sebanyak disumbangkan oleh golongan ini yang masih tegar melancong ke luar negara sehingga ‘membawa pulang’ virus ke tanah air, namun mereka sama sekali tidak mengambil iktibar malah tetap bersikap angkuh.

Dr Ahmad Samhan (dua,kanan) bersama rakan setugas. 

Situasi ini nyata berbeza sekali apabila petugas kesihatan berdepan dengan golongan daripada kluster tabligh, yang sebelum ini dilontarkan kata-kata kurang enak.

“Mereka ini tak perlu ramai. Ada 2 atau 3 orang yang perangai begini dah pening kepala. Rasa macam handle 1,000 orang. Hina staf kesihatan macam tak ada maruah. Nak tunjuk dia ada kabel besar, boleh dapat layanan istimewa. Tolonglah!

“Nak aja beritahu Covid, ‘Weh, kau jangan masuk badan orang kayangan. Jangan masuk badan siapa-siapa pun. Kalau nak masuk juga, kami rela kau masuk kluster tabligh’.

“Tak pening kepala. Kluster paling mudah beri kerjasama. Walaupun ramai, tapi tak susah nak handle. Mereka dengar arahan. Jaga jarak. Sabar tunggu giliran dan tak merungut.

“Bila di kuarantin, ramai staf kesihatan terkesan melihat mereka. Al Quran jadi teman. Solat awal waktu. Tiap kali doktor buat rondaan, mereka doakan. Doktor yang letih pun jadi kuat,” tulisnya lagi.

Doktor ini mengakui golongan dari kluster tabligh sangat mudah memberikan kerjasama dan disenangi staf kesihatan. 

Menurut Dr Ahmad Samhan, tanggungjawab seorang doktor ataupun petugas kesihatan adalah merawat semua pesakit secara sama rata tanpa mengharapkan apa-apa balasan kecuali kerjasama pesakit.

“Sebab virus ini tak kenal siapa. Yang kaya,yang miskin, semua ada risiko untuk kena. Ingat, kita hidup didunia tak lama. Akhirnya, ke tanah juga.

“Kongsikan cerita ini pada orang lain sebab masih ramai yang tak beri kerjasama pada petugas kesihatan,” tulisnya mengakhiri bicara. 

Sehingga kini posting tersebut meraih 20,000 shares selain dibanjiri komen netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan perkongsian tersebut.    

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain