Bapa tiba-tiba ajak anak ke majlis nikah naik teksi undang sebak tetamu di masjid - “Abah kata dulu senang nak cari pelanggan”

Mazwa dipandu sendiri oleh bapanya, Mohd Noor menaiki teksi ke masjid untuk upacara akad nikah. Foto: Syahmi Azhari Hensem

DI saat anak perempuan merasakan dirinya sudah cukup dewasa untuk memulakan kehidupan sendiri dan berkahwin dengan lelaki pilihan, jauh di sudut hati seorang bapa, berat untuk melepaskan anak yang dibesarkannya itu pergi.

Benarlah kasih sayang seorang bapa itu tiada gantinya, lebih-lebih lagi jika anaknya itu seorang perempuan.

Begitulah gambaran kisah ketika hari pernikahan Mazwa Izzaty, 26, yang mana dia dihantar oleh bapanya, Mohd Noor, 51, ke masjid dengan menaiki teksi walaupun jarak rumahnya dengan Masjid Al-Ubudiah, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor sangat dekat.

ARTIKEL BERKAITAN: Lafaz terhenti, menangis nikahkan anak, pengantin imbas pesanan bapa pertama kali jumpa BF - “Saat papa berhenti saya tahu ada sesuatu tak kena”

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Jangan cemas bakal pengantin... Nikah okay, kenduri kahwin kalau boleh tangguh dulu

Ketika dihubungi mStar, Mazwa memberitahu kisah 'naik teksi' itu berlaku secara spontan dan tidak mengikut perancangan asal.

"Memang plan nak pergi masjid untuk akad nikah jalan kaki je, sebab rumah dengan masjid tak jauh pun.

"Tiba-tiba abah cakap, takkan pakai cantik-cantik lepas tu kena jalan kaki dan secara kebetulan teksi abah parking paling hadapan pagar dan senang keluar, jadi saya ikutkan saja kehendaknya," ujar Mazwa yang akhirnya pergi ke masjid untuk acara akad nikah menaiki teksi bapanya.

Mazwa yang berkahwin dengan pasangannya Mohd Akram, 30, memberitahu bahawa tetamu yang sampai di masjid lebih awal kebanyakannya berasa sebak selepas melihat dia tiba di masjid menaiki teksi dengan bapanya sebagai pemandu.

"Kakak ipar saya paling sebak bila tengok abah yang drive teksi kerana dia sendiri sudah kehilangan bapanya," ujar anak sulung daripada enam adik-beradik itu.

Mazwa Izzaty dan Mohd Akram sah bergelar suami isteri pada 6 Mac lalu. Foto: Syahmi Azhari Hensem

Bercerita lebih lanjut mengenai bapanya, Mazwa memberitahu bahawa insan kesayangannya itu sangat protective memandangkan kesemua adik-beradiknya adalah perempuan.

"Sebelum ni, kalau saya atau adik saya nak pergi mana-mana pun abah akan hantar untuk pastikan kami selamat.

"Kalau kami keluar rumah pun, pukul 8 malam abah akan pastikan kami semua dah balik.

"Kadang-kadang orang cakap saya dikongkong, tetapi saya sendiri tak rasa ia satu masalah sebab saya faham mengapa abah buat macam tu," ujar Mazwa yang bekerja di sektor swasta.

Tiba-tiba abah cakap, takkan pakai cantik-cantik lepas tu kena jalan kaki nak pergi masjid.

MAZWA

Mazwa turut memberitahu bahawa bapanya hanya memandu teksi secara sambilan dan pekerjaan tetap bapanya ialah sebagai operator di sebuah kilang.

"Abah bekerja keras untuk memastikan kami enam beradik cukup makan dan minum.

"Lepas servis e-hailing ada, abah susah sikit nak cari penumpang. Abah kata dulu senang nak cari pelanggan. Ada sahaja penumpang yang menahan teksi di tepi jalan, tetapi sekarang semuanya hanya di hujung jari.

"Abah ada cakap dia rasa kehilangan sedikit, tapi dia percaya rezeki tu ada di mana-mana kalau dia rajin berusaha," kata Mazwa.

Mazwa menaiki teksi bapanya untuk ke masjid sebelum akad nikah. Foto: Syahmi Azhari Hensem

Dalam pada itu, Mazwa sempat mengimbau kembali pesanan bapanya pada hari perkahwinan yang berlangsung pada 6 Mac lalu.

"Abah pesan, selepas kahwin dah tak boleh buat keputusan sendiri, kena hormat suami dan yang paling penting kena ingat ibu bapa," jelasnya.

Sementara itu, jurugambar, Syahmi Azhari memberitahu dia sendiri terkejut ketika Mohd Noor ingin menghantar anaknya ke masjid dengan menaiki teksi.

"Tiba-tiba dia bawa teksi tu di depan rumah, saya terus ambil gambar momen berharga tersebut untuk dijadikan sebagai kenangan.

"Rasa sebak pun ada, betul la orang cakap, ayah jarang tunjuk kasih sayang dia tetapi dalam diam dia memang menyayangi anaknya," kata lelaki berusia 25 tahun tersebut.

Gambar yang dimuatnaik oleh Syahmi di laman Twitter itu sehingga kini mendapat lebih 15,400 retweet (ulang kicau) dan 37,400 tanda suka.

Teksi, Shah Alam, nikah

Artikel Berkaitan

Klik

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Artikel Lain