suria

“Ayah balik lewat malam dalam keadaan kotor” - Menyayat hati! Gadis kongsi kisah hidup sebatang kara sebelum dapat SPM 9A

Kisah hidup Maizatul menjadi tular di Facebook.

MESKIPUN hidup serba kekurangan dan kehilangan tempat bergantung, gadis ini cukup tabah hingga berjaya memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan seminggu lalu.

Kisah kejayaan Maizatul Akmal Mahat, mendapati perhatian netizen apabila keperitan hidup yang dilaluinya selama ini dikongsi seorang individu di Facebook.

Rata-rata meluahkan rasa sebak dan kagum dengan semangat kental anak bongsu dua beradik berusia 18 tahun itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza dapat SPM 8A tapi dicap biadab... Yang ramai tak tahu dia tinggal di tengah pulau!

ARTIKEL BERKAITAN:'Produk' 11A+ SPM kesal, keputusan cemerlang punca terlepas momen indah sebagai remaja - “... Yang bentuk kehidupan selepas SPM”

Maizatul Akmal berkata dia pernah putus semangat untuk belajar selepas kematian abang sebelum disusuli ibu dan bapanya pada Januari lalu.

"Memang saya pernah give up banyak kali terutamanya bila kematian semua orang yang saya sayang. Abang meninggal akibat kemalangan jalan raya pada 2010 kemudian empat tahun kemudian mak pula menyusul.

"Awal tahun lalu ayah saya pergi meninggalkan saya akibat penyakit angin ahmar. Tapi bila nak dekat exam tu saya sentiasa tanam dalam mind set  supaya jangan give up... jangan give up. 


Maizatul turut menerima bantuan daripada Perkeso di Kuantan.

"Saya sentiasa percaya semua yang berlaku ada hikmahnya. Jadi mungkin masa ni saya susah tapi saya yakin Allah akan bagi peluang lebih cerah pada masa akan datang," katanya kepada mStar.

Lebih menyedihkan, Maizatul teringat pengalaman dia dilanggar sebuah kereta dari belakang semasa pulang dari sekolah selepas menghadiri peperiksaan bahasa Inggeris (BI) pada hujung tahun lalu.

"Sehari sebelum jawab kertas Math (Matematik) waktu balik exam BI saya accident. Saya alami luka di tangan, siku, lutut, belakang paha dan muka.

"Waktu tu memang risau sangat-sangat. Masa tu saya hanya fikir esok Math, macam mana ni? Tapi apa pun memang saya kena jawab jugalah.

"Saya teruskan jawab exam dalam keadaan tengah sakit. Tapi saya berterima kasih kepada cikgu yang banyak membantu urusan exam saya dekat hospital tempoh hari," katanya.

Ditanya mengenai rahsia kejayaannya, Maizatul berkata dia rajin bertanya di dalam kelas jika tidak tahu mengenai sesuatu perkara.

"Sebenarnya saya banyak bertanya dalam kelas sampaikan student lain pun marah sebab mereka tak ada peluang.

Antara reaksi netizen terhadap posting mengenai kisah hidup Maizatul.

"Saya juga selalu ikuti kelas tambahan di sekolah dan kelas tambahan percuma yang disediakan Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

"Sebelah malam saya akan buat homework, siang saya fully focus dekat kelas. Selalunya sehari sebelum exam tu cikgu-cikgu pun akan buat ulang kaji pelajaran," katanya.

Jelas Maizatul yang kini tinggal bersama bapa saudaranya di Kuantan, Pahang, dia berazam untuk mengubah nasib dirinya selepas melihat riyak wajah arwah bapanya setiap kali pulang bekerja.

Abah harap adik dapat sara diri sendiri sebab kalau abah tak ada nanti memang adik tak ada siapa-siapa dah. Kata-kata itu akan saya ingat sampai bila-bila.

MAIZATUL AKMAL MAHAT

Bekas pelajar SMK Tanjung Lumpur

"Masa mak dengan abang dah tak ada, saya tinggal dengan ayah. Saya selalu tengok ayah balik lewat malam dalam keadaan kotor.

"Itu membuatkan saya nak ubah nasib keluarga saya. Tapi ayah tak sempat nak lihat kejayaan saya. Memang waktu tu sedih sangat-sangat," katanya.

Meskipun ayahnya sudah tiada, Maizatul akan sentiasa teringat kata-kata terakhir insan kesayangannya itu.

Ahli Parlimen Kuatan Fuziah Salleh menawarkan diri untuk menjadi penjaga Maizatul bagi memudahkan urusan rasmi seperti kemasukan ke universiti.

"Belajar elok-elok hinggalah dapat tampung diri sendiri. Abah tak kisah kalau abah tak sempat merasa.

"Abah harap adik dapat sara diri sendiri sebab kalau abah tak ada nanti memang adik tak ada siapa-siapa dah. Kata-kata itu akan saya ingat sampai bila-bila," katanya yang masih mempertimbangkan kursus yang mahu diambilnya.

Sementara itu, Maizatul turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas keprihatian mereka terhadap nasibnya.

"Saya tak expect diri sendiri akan viral sebab saya memang tak ada Facebook. Kisah tu bermula di FB. Saya dapat tahu pun daripada kawan-kawan dan guru-guru saya. 

"Memang saya terkejut tapi saya berterima kepada rakyat Malaysia kerana anda semua memang baik hati," katanya.

Maizatul Akmal merangkul anugerah pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan, minggu lalu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Maizatul Akmal, SPM, 9A, cemerlang

Artikel Lain