suria

Dr Maza beri gambaran PM lantik individu bebas rasuah barisi Kabinet - “Sedia kritik kerajaan jika hal sebaliknya berlaku”

Mohd Asri (kanan) memuat naik gambar ketika berkunjung ke kediaman Muhyiddin di laman Instagram miliknya pada Ahad. Foto: Instagram drmaza_official

TANDA tanya mengenai calon perdana menteri sudah terjawab selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisi jawatan berkenaan, pada 29 Februari lalu.

Kini, rakyat tertunggu-tunggu pula calon yang akan menganggotai barisan Kabinet kerajaan yang akan dikepalai Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu.

Rata-ratanya meletakkan harapan yang tinggi agar calon barisan menteri dipilih Muhyiddin kelak adalah dalam kalangan mereka yang ‘bersih’ dan berintegriti.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tawarkan jiwa dan raga untuk negara, beri saya masa” - PM ke-8

ARTIKEL BERKAITAN: Terjawab sudah... Agong pilih Muhyiddin sebagai PM ke-8, angkat sumpah esok

Sebagaimana yang diikrarkan Muhyiddin sendiri ketika menyampaikan ucapan julung kali sebagai perdana menteri yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen beberapa hari lalu, harapan rakyat Malaysia berkemungkinan besar akan menjadi kenyataan.

Gambaran itu diberikan oleh Mutfti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi satu hantaran di Instagram beliau, pada Ahad.

Menurut Mohd Asri, perkara itu dimaklumkan Muhyiddin kepada beliau sewaktu dijemput ke kediamannya, pada Sabtu.

Muhyiddin ketika menyampaikan ucapannya berjanji akan melantik anggota jemaah menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber.

“Apa yang menggembirakan saya, beliau memaklumkan kepada saya, InsyaAllah senarai anggota Kabinet beliau nanti mereka yang melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya juga dimaklumkan oleh mereka yang terlibat menguruskan semalam bahawa beliau meminta setiap yang akan menganggotai Kabinet beliau tidak membuat dakwaan palsu tentang sijil yang dimiliki.

“Setiap orang hendaklah menyatakan sijil pendidikan sebenar yang diperolehi. Saya memberitahu beliau, saya percaya jika anggota Kabinet dalam kalangan mereka yang bersih dari korupsi dan berkualiti, insyaAllah itu adalah hujah yang kuat untuk beliau,” tulis Mohd Asri.

Bagaimanapun Mohd Asri juga menambah, dalam menyatakan sokongannya kepada kerajaan, beliau juga bersedia memberikan kritikan jika hal yang sebaliknya berlaku.

Muhyiddin ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lalu. 

“Saya menyokong kerajaan yang baik demi kepentingan agama dan negara. Saya bersama rakyat marhaen yang lain, bersedia menyokong, mendokong dan membantu.

“Juga saya bersedia untuk mengkritik kerajaan jika hal sebaliknya berlaku,” tulisnya.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan selepas tercetus krisis politik susulan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pagoh berusia 72 tahun itu mengangkat sumpah pada 1 Mac di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sehari selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pelantikannya.

Muhyiddin dijangka akan mengumumkan senarai menteri Kabinet beliau pada minggu hadapan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain