suria

Ingatkan sampul ‘duit salam’, jurufoto imbau saat isinya dikeluarkan... tak sangka tular lagi! - “Bercerai kasih talak tiada, kau pergi sebelum aku sedia melepaskan”

Kisah menyentuh hati yang dikongsi oleh seorang jurufoto, Hafizan Ilias menunjukkan betapa mendalamnya kasih seorang suami terhadap arwah isterinya. Foto: FB Hafizan Ilias

“BERCERAI kasih talak tiada… kau pergi sebelum aku bersedia melepaskannya”

Itulah bait-bait penuh meruntun hati ditulis oleh seorang suami di belakang sekeping gambar isteri tercinta yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Malah dia juga memegang erat gambar arwah isterinya agar sama-sama dapat ‘merasai’ kegembiraan sempena hari bahagia anak perempuan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak kuat nak naik pentas” - Sayu, isteri dedah suami berahsia sambung master sebab ‘takut malu’, meninggal selepas 4 hari disahkan kanser

ARTIKEL BERKAITAN: Suami kongsi kisah tragis di sebalik pokok bentuk love di kubur ‘bidadari’, “Kalau dia dah tak ada tolong jangan beritahu saya”

Kisah penuh hiba itu dikongsi oleh seorang jurufoto, Mohd Hafizan Ilias di Facebook miliknya tiga tahun lalu.

Namun ia kembali tular di media sosial baru-baru ini selepas dikongsi oleh beberapa blog.

Ketika dihubungi mStar, Hafizan berkata sepanjang enam tahun menjadi jurufoto, pengalaman menyaksikan momen penuh hiba itu benar-benar memberikan kesan mendalam kepada dirinya.

Posting yang dikongsi oleh Hafizan beberapa tahun lalu yang kembali tular baru-baru ini.

“Sebenarnya saya membuat perkongsian mengenai kisah pakcik Omar Hashim di Facebook pada 2017 ketika menjadi jurufoto majlis pernikahan anak perempuannya di Kampung Gajah, Perak.

“Ketika nak rakam gambar upacara akad nikah yang berlangsung pada Jumaat, saya minta ibu bapa pengantin untuk turut serta sebab nak shoot family photo. Tapi pengantin perempuan kata ibu telah tiada.

Hafizan berkata kisah Pakcik Omar meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya sejak menjadi jurufoto enam tahun lalu.

“Tiba-tiba ayahnya keluarkan sekeping gambar arwah isterinya. Selesai merakam gambar pada upacara akad nikah, saya tergerak nak kongsi kisah itu di Facebook.

“Esoknya majlis persandingan, saya nampak pakcik bawa sampul besar bersamanya. Ingatkan sampul isi ‘duit salam’. Semasa tengah nak shoot, pakcik itu kata ‘nanti dulu, belum cukup korum’ sambil dia keluarkan potret arwah isterinya dari sampul yang dikeleknya,” cerita lelaki berusia 34 tahun itu mengimbas semula peristiwa berkenaan.

Kisah itu menunjukkan betapa kasihnya seorang suami terhadap isterinya. Saya sendiri ada isteri dan anak-anak, kadang kala saya terfikir mampukah saya menjadi seperti dirinya.

HAFIZAN ILIAS

JURUFOTO

Ujarnya, saat menyaksikan gelagat warga emas itu, perasaannya bercampur baur.

“Saya rasa sedih, terharu dan macam-macam lagi. Melalui apa yang diberitahu anaknya, ayah mereka sanggup patah balik ke rumah yang terletak di Ipoh pada pagi majlis persandingan semata-mata nak ambil gambar arwah ibu mereka.

“Mungkin Pakcik Omar mahu gambar arwah kelihatan lebih jelas. Sebab itu dia sanggup pulang dan ambil potret yang lebih besar,” ujarnya lagi.

Pakcik Omar membawa sampul berisi potret arwah isterinya sewaktu majlis perkahwinan anak perempuannya.

Hafizan berkata, dia kemudian memutuskan untuk membuat perkongsian yang kedua kerana tersentuh menyaksikan momen indah itu sekali lagi, di mana posting itu meraih sehingga 17,000 shares.

Sewaktu majlis bertandang sebelah pihak pengantin lelaki sehari kemudian, Hafizan berkata, dia dihampiri bapa pengantin perempuan yang bertanyakan mengenai kisahnya yang tular di Facebook, gara-gara posting yang dikongsikan sebelum itu.

“Pakcik Omar beritahu saya, isterinya sudah lama meninggal dunia. Dia izinkan saya kongsi jika ia boleh memberi inspirasi kepada orang lain. Ketika itu, dia tuliskan sesuatu pada kertas kecil dan beri kepada saya.

Foto sewaktu majlis bertandang, di mana Pakcik Omar tidak pernah lupa membawa gambar arwah isterinya bersama-sama.

“Dia tulis ‘bercerai kasih talak tiada… kau pergi sebelum aku bersedia melepaskannya’. Bait itulah yang ditulis di belakang gambar arwah, sebab sebelum ini saya ada bertanya kepadanya apa tulisan di belakang gambar.

“Saya tak sangka pula ia kembali viral baru-baru ini sebab kisah itu dikongsi di Facebook dah tiga tahun. Walaupun dah lama, ia pengalaman yang sangat tak dapat dilupakan.

“Kisah itu menunjukkan betapa kasihnya seorang suami terhadap isterinya. Saya sendiri ada isteri dan anak-anak, kadang kala saya terfikir mampukah saya menjadi seperti dirinya. Disebabkan itu saya sangat kagum dengan Pakcik Omar,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain