suria

Mangsa gosip di sekolah kini suami isteri, tak sangka cikgu Geografi jadi mak mentua – “Pakai purdah sebab tak mahu mereka cam”

Bermula daripada gosip, Mas Amirah akhirnya disatukan bersama suami (gambar kiri) yang merupakan anak kepada guru (gambar kanan) yang mengajarnya subjek Geografi.

SIAPA yang sangka, bermula daripada usikan, akhirnya wanita ini sah menjadi isteri kepada senior di sekolahnya.

Itulah kisah wanita yang dikenali sebagai Mas Amirah Mohamed Shah Budin.

Apa yang lebih menarik, wanita ini juga merupakan menantu kepada guru yang pernah mengajarnya subjek Geografi sewaktu di Tingkatan Tiga.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita kongsi kisah ibu mentua dibuli pelajar tak ada adab, siap minta dilucutkan jawatan - “Sepanjang 20 tahun lebih bergelar pendidik, inilah peristiwa yang menyedihkan”

ARTIKEL BERKAITAN: Bantuan terbantut! Tayar kereta cikgu terbenam ketika jemput calon UPSR ke sekolah... tindakan guru besar tak disangka-sangka!

Berkongsi kisah bersama mStar, Mas Amirah berkata, kisah perkenalannya bersama suami, Mohamad Aidee Amr Nazri, 23, bermula apabila mereka menjadi bahan usikan pelajar lain di sekolah.

“Saya daftar masuk di sebuah sekolah menengah di Kuala Lipis ketika Tingkatan Satu tapi agak lambat iaitu pada Februari kerana berpindah dari sekolah lain. Biasalah, mula-mula masuk memang tak ada kawan lagi.

Perkongsian Mas Amirah di Twitter mengenai kisahnya berkenalan dengan suami yang merupakan seniornya di sekolah menengah.

“Dipendekkkan cerita, ketika itu sekolah sedang anjurkan sukan tahunan. Saya yang sedang duduk berseorangan ketika itu dihampiri oleh beberapa pelajar perempuan senior bertanyakan sama ada saya ini sedang bercinta dengan seorang pelajar bernama Am.

“Padahal saya memang tak kenal langsung dengan orang yang mereka katakan itu. Saya tertanya-tanya juga siapa yang dimaksudkan. Ketika gosip itu tersebar, suami saya yang ketika itu di Tingkatan Tiga juga tidak mengenali saya,” ujar Mas Amirah.

Wanita berusia 21 tahun ini berkata, rupa-rupanya gosip tersebut tercetus gara-gara nama yang digunakan pada biodatanya seakan-akan kombinasi namanya bersama suami.

Mas Amira dan suaminya disatukan pada 27 Disember lalu selepas enam tahun mengenali hati budi masing-masing.

“Rakan sekelas minta buat biodata, dan saya letak pengenalan nama pada biodata itu Mas Am yang bermaksud Mas Amirah. Tapi pelajar lain ingat Am itu adalah nama pelajar lelaki tersebut sedangkan tak ada kena mengena pun.

“Disebabkan gosip itu, kami yang saling tak mengenali satu sama lain dalam diam mencari identiti masing-masing. Ketika itu saya langsung tak tahu dia adalah anak salah seorang guru di sekolah itu. Setahun kemudian, barulah dia tegur saya menerusi mesej di Facebook. Bermula dari situ, kami berkawan dan berkenalan.

“Tak sangka ibunya, Cikgu Siti Asiah Mohd Zuldin kemudian mengajar mata pelajaran Geografi ketika saya di Tingkatan Tiga dan kakaknya pula guru kelas ketika saya di Tingakatan Lima serta mengajar subjek Sejarah, ” cerita Mas Amirah.

Dulu saya agak nakal, selalu datang sekolah lewat. Pintu pagar hampir nak tutup, barulah sampai sekolah. Tapi selalu ‘terlepas’ disebabkan suami saya seorang pengawas.

MAS AMIRAH MOHAMED SHAH BUDIN 

Mas Amirah diijabkabulkan dengan suaminya pada 27 Disember lalu selepas enam tahun mengenali hati budi masing-masing.

Bercerita lebih lanjut, Mas Amirah yang kini menjalankan perniagaan berasaskan makanan bersama suaminya turut berkongsi beberapa peristiwa lucu sepanjang perkenalannya bersama lelaki berkenaan.

“Dulu saya agak nakal, selalu datang sekolah lewat. Pintu pagar hampir nak tutup, barulah sampai sekolah. Tapi selalu ‘terlepas’ disebabkan suami saya seorang pengawas.

Gambar Mas Amirah bersama ibu mentuanya sewaktu dia menyamar memakai purdah yang disimpan sebagai kenangan.

“Ada satu peristiwa, saya siap menyamar pakai purdah ketika ikut rakan ke rumah mak mentua saya. Ketika itu ada jamuan, di mana mak mentua merupakan guru kelas kepada rakan saya.

“Saya pakai purdah sebab tak mahu mereka cam wajah, rakan saya pula perkenalkan saya sebagai sepupunya. Rasanya sampai sekarang mak mentua saya tak tahu gadis berpurdah itu menantunya,” ceritanya ketawa kecil.

Dalam pada itu, suami Mas Amirah, Aidee Amr berkata, sungguhpun isterinya sedikit nakal namun wanita itu tetap menghormati guru dan orang yang lebih tua daripadanya.

“Nakal macam mana pun, wajib hormat kepada guru dan orang yang lebih tua. Malah isteri saya sangat disayangi dan disenangi guru-guru. Sikapnya itu yang membuatkan saya terpikat kepadanya,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Guru Geografi, ibu mentua, purdah, nakal, gosip

Artikel Lain