suria

Bekas pelajar dakwa pensyarah sebuah IPT paksa student berniaga, gagal tolong jual perfume, tak lulus exam... ini jawab universiti!

Dekan Fakulti Pengurusan Industri UMP, Dr Fazeeda Mohammad menjawab dakwaan seorang bekas pelajarnya mengenai paksaan menjual produk untuk lulus.

SEORANG alumni berkongsi pengalamannya, mendakwa terpaksa menjual produk yang diberikan pensyarahnya semata-mata untuk lulus subjek yang diambil.

Menurut pelayar Twitter itu, seorang pensyarah bagi subjek Keusahawanan (Technopreneurship) di Universiti Malaysia Pahang (UMP) menetapkan syarat 'wajib menjual produk' bagi membolehkan pelajar terus mengikuti pengajian di universiti tersebut. 

Menurut bekas pelajar institusi itu lagi, disebabkan dia gagal menjual produk berupa minyak wangi itu, dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membelinya kerana mahu lulus dan dapat meneruskan pengajian.

ARTIKEL BERKAITAN: “Buat jamuan pun tak sampailah jumlah camtu” - Nyaris tidur lokap, cikgu jawab dakwaan ‘perisik tak bertauliah’ skodeng rekod pembelian piza harga belasan ribu

Malah menerusi postingnya di Twitter, dia turut mendedahkan nama pensyarah dan nama universiti berkenaan.

Posting itu menerima lebih dari 4,600 ulang kicau dan 3,400 tanda suka dengan rata-rata netizen terkejut dengan dakwaan yang dibuat terhadap pusat pengajian dan pensyarah berkenaan yang disebut sebagai 'Datin'.

"May i know when this happened? Tahun bila? Sebab saya ambil 'techno' dengan Datin tu juga but tak pernah pula jadi macam tu hahaha.

Netizen turut berkongsi pengalaman yang sama menerusi ruangan komen.

"Padahal modal lecturer nak berniaga je tu, budak jadi mangsa," komen beberapa netizen.

Bagaimanapun, setelah pihak mStar mendapatkan penjelasan daripada Dekan Fakulti Pengurusan Industri UMP, Dr Fazeeda Mohammad, beliau berkata subjek Keusahawanan merupakan struktur keusahawanan berkredit yang perlu diambil oleh setiap mahasiswa untuk program Ijazah Sarjana Muda sebelum bergraduasi. 

Menurut beliau, ia sebagai usaha membina dan meningkatkan minda keusahawanan, bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam melahirkan graduan yang holistik bercirikan keusahawanan dan seimbang. 

Hasil semakan pihak fakulti mendapati lelaki yang mengeluarkan kenyataan di media sosial itu adalah lepasan graduan yang mengikuti subjek Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) bagi program diploma dan bukannya subjek Keusahawanan (Technopreneurship). 

Jelasnya, dakwaan tidak berasas yang menyatakan pelajar tidak akan lulus sekiranya tidak mencapai sasaran jualan adalah tidak benar memandangkan penilaian subjek ini berdasarkan komponen ujian, tugasan projek, pembentangan dan penglibatan kumpulan. 

Perkongsian seorang alumni yang mendakwa terpaksa menjual minyak wangi untuk lulus dalam subjek keusahawanan tular di laman sosial.

"Konteks subjek Keusahawanan itu bukan menjual semata-mata. Apa yang pensyarah pandang dan nilai adalah daripada effort pelajar tu sendiri, macam mana mereka tonjolkan strategi marketing, berdasarkan komponen ujian, tugasan projek, pembentangan dan penglibatan kumpulan. 

"Walhal, kalau produk tu tak terjual, kami tak paksa pun pelajar beli. Boleh saja pulangkan. Saya tekankan, banyak evaluation dan assesment perlu dilakukan bukannya subjek ini diperkenalkan untuk jual produk semata-mata. 

"Memandangkan kita nak lahirkan graduan yang holistik seimbang keusahawanan di luar sana, subjek ini diperkenalkan dan wajib ambil bagi syarat bergraduat. Namun, tidak bagi pelajar diploma, pelajar diploma cuma ambil subjek Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) sahaja. 

"Jadi bila tular isu sebegini di media sosial, saya pun dah selidik dan tidak berat sebelah akan mana-mana pihak. Dan pihak fakulti mendapati pelajar lelaki berkenaan yang keluarkan kenyataan di media sosial tersebut sebenarnya pelajar diploma. Jadi kenyataan itu tidak berasas apabila dia kata dia ambil subjek Technopreneurship," katanya. 

Bekas pelajar UMP mendakwa dia gagal menjual produk untuk subjek keusahawanan dan terpaksa membelinya untuk lulus.

Malah, Fazeeda menegaskan bahawa aktiviti jualan pula hanya melibatkan produk atau barang jualan daripada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berada di sekitar Kuantan dan kawasan setempat serta tidak melibatkan keuntungan kepada pensyarah seperti yang didakwa. 

Beliau menasihatkan mahasiswa untuk berhubung terus dengan fakulti berkaitan subjek pengajian dan lain-lain jika mempunyai sebarang keraguan. 

Pihak UMP juga meluahkan rasa kesal di atas sebarang maklumat tidak berasas ini sehingga menimbulkan kekeliruan yang boleh menjejaskan nama baik universiti. 

"Sebenarnya, terdapat salah faham apabila pelajar berkenaan dakwa dia terpaksa beli produk yang pensyarah jual untuk subjek keusahawanan. Mungkin dia anggap produk tersebut milik pensyarah dan libatkan keuntungan kepada pensyarah semata-mata, sedangkan tidak. 

"Kerana aktiviti dan barang jualan yang melibatkan produk daripada IKS itu sendiri yang terletak di sekitar Kuantan. Bila dakwaan sebegini tular di media sosial, saya rasa kecewa dan kesal atas apa yang berlaku sehingga timbul kekeliruan. 

"Tapi dengan zaman viral sekarang ni, apa yang kita boleh buat adalah tenang dan tidak melatah. Di samping itu, kita turut siasat atas apa yang terjadi," ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
minyak wangi, jual, pensyarah, IKS, lulus

Artikel Lain