suria

“Buat jamuan pun tak sampailah jumlah camtu” - Nyaris tidur lokap, cikgu jawab dakwaan ‘perisik tak bertauliah’ skodeng rekod pembelian piza harga belasan ribu

Cikgu Zacky Khairudean terkilan dengan dakwaan seorang pelayar Twitter berhubung kiraan perbelanjaannya terhadap makanan segera itu.

KISAH seorang pemuda disiasat polis gara-gara membeli 10 set piza di sebuah restoran makanan segera terkemuka menggunakan kupon diskaun yang dibelinya di platform e-dagang terus menjadi bualan hangat netizen.

Terbaharu seorang pelayar di Twitter mendakwa pemuda tersebut, Zacky Khairudean Mohd Khalid membelanjakan belasan ribu ringgit berdasarkan rekod pembeliannya selama setahun sejak tahun lepas.

"Tengah bosan-bosan dekat office ni aku dan member lagi seorang saja cari detail brother yang order Dominos sampai kena panggil polis tu. Cari-cari jumpa detail dia dan rekod pembelian dia dekat Dominos.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mudah terima sedekah, Tok Bibah jual botol kosong, barang lusuh cari rezeki... mampu hantar anak angkat masuk universiti!

ARTIKEL BERKAITAN: “Rezeki dia datang seorang, ingatkan nak buat kejutan sudahnya jadi sampah”... Kerana syiling dalam sampul, budak ‘melepas’ duit raya RM10

"Bila belek-belek rekod boleh katakan dia antara orang yang power dan tahu trick dan taktik order untuk dapatkan harga murah. Aku yakin ramai orang yang minta tolong dia kalau nak order piza dekat Dominos sebab nak dapatkan harga murah.

"Kenapa aku cakap camtu? Bila tengok rekod pembelian dia dari 2018 hingga 2019, jumlah keseluruhan cecah belasan ribu ringgit untuk akaun dia sahaja. Dalam masa setahun pula tu. Kalau buat jamuan makan-makan pun tak sampailah jumlah camtu.

Posting seorang netizen mendapat perhatian Cikgu Zacky.

"Ada juga dalam sehari hampir 10 kali order, dua tiga kali order tu normal lagi," tulis pemuda itu di Twitternya.

Tweet itu turut mendapat perhatian Zacky Khairudean yang terpanggil untuk menjelaskan situasi sebenar.

"Saya tak kenal dia tapi katanya dia check rekod pembelian saya. Ikut kiraan, rasanya tak adalah sampai belasan ribu ringgit.

"Dalam salinan saya cuma dalam RM3,900++, campur belian peribadi mungkin RM800++. Itu saja.

"Saya terkejut jugalah dengan kiraan tersebut. Tapi saya rasa jumlah tu melibatkan harga penuh sebelum diskaun," katanya ketika dihubungi mStar.

Jelas guru di sebuah sekolah di Tangkak, Johor itu, pembelian tersebut bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga kawan-kawan.

"Hujung tahun banyak jamuan akhir tahun kelab-kelab. Selain tu saya juga order untuk majlis solat hajat sekolah anak saya sendiri, jamuan hari guru, hari jadi rakan-rakan dan jamuan kelas.

Cikgu Zacky bersama isterinya.

"Bukan itu sahaja, rakan-rakan terdekat saya dan isteri turut minta saya orderkan. Saya nak cuba tunjukkan mereka offer Dominos memang murah, mana tahu lepas ni lebih ramai beli sendiri.

"Tapi selalunya mereka suruh saya saja orderkan sebab saya buat cepat. Dah order mereka sendiri yang akan ambil atau bayar cash di kaunter," katanya yang biasa melakukan pembelian menggunakan kod-kod murah yang ditawarkan dalam sistem Dominos.

Sebelum ini, guru berusia 39 tahun itu meluahkan rasa terkilan disoal siasat polis selepas dituduh menggodam sistem pesanan Dominos untuk mendapatkan harga piza murah.

Saya terkejut jugalah dengan kiraan tersebut. Tapi saya rasa jumlah tu melibatkan harga penuh sebelum diskaun.

ZACKY KHAIRUDEAN MOHD KHALID

"Memang saya terkilan sebab mereka (kakitangan Dominos) kata sepatutnya sistem tak akan proceed order tanpa minima pembelian personal piza. Jadi mereka kata saya hack untuk membolehkan order saya diproses.

"Selama ini saya order kaedah sama, tak pernah pun ada sekatan syarat macam tu. Rasanya kali pertama saya order Dominos pun memang begitu. Sebab itu ramai berminat nak dapatkan baucar tu," katanya.

Jelas Zacky Khairudean, dia membuat tempahan 10 set piza untuk jamuan kelab Petanque rakannya menggunakan baucar yang dibeli di Shopee.

Baucar murah yang dibeli Cikgu Zacky di Shopee.

"Saya beli baucar Dominos dekat Shopee. Mereka ada official store, jual satu regular piza RM9.90. Kemudian saya jumpa seller jual baucar RM5, jadi memanglah cari yang murah lagi berbaloi.

"Dah nak dekat hujung tahun ni banyak kelab dan persatuan sekolah nak buat jamuan akhir tahun. Jadi saya beli bulk (baucar) bulan lepas," katanya.

Namun guru subjek bahasa Inggeris itu dikejutkan dengan panggilan sarjan polis yang meminta dia bertemu mereka sama ada di balai polis mahupun di restoran tersebut di Tangkak.

"Masa tu saya terkejut dan gementar juga sebab kalau dah melibatkan polis memang kes ini agak serius. Tapi saya cuba tenangkan diri dan pilih untuk jumpa mereka di Dominos.

"Saya pun terkilan sebab pihak Dominos tidak pernah cuba hubungi saya terlebih dahulu sedangkan nombor telefon, alamat rumah dan tempat kerja saya sudah daftar pada akaun.

Tempahan piza yang pernah dibuat Cikgu Zacky sejak tahun lalu.

"Sebaliknya mereka pilih untuk bawa kes kepada pihak polis. Bila saya tanya kenapa tak call? Mereka cakap kalau call saya tak nak jawab," katanya yang turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran kupon murah yang dijual secara online.

Dalam pada itu, Zacky Khairudean turut menarik nafas lega apabila kebenaran berpihak kepadanya semasa pertemuan itu.

"Saya dah jelaskan semua yang saya tahu, dan siap bagi banyak contoh-contoh untuk buktikan saya tak bersalah. Akhirnya, mereka tak jadi report, jadi tak ada kes untuk difailkan.

"Mereka kata nak buat siasatan dalaman pula. Mereka pun dah minta maaf kepada saya. Tapi perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan nama saya. Andai saya disabitkan dengan kesalahan itu, saya boleh diangkut ke balai atau tidur lokap hari tu juga," katanya yang masih tidak dapat melupakan pengalaman ngeri itu sehingga hari ini.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
piza murah, Dominos, baucar, soal siasat, polis

Artikel Berkaitan

Artikel Lain