suria

Sikap utamakan keluarga berbaloi, bapa sebak terima hadiah motor baharu sempena birthday ke-60 - “Motor lama tu ayah guna dari saya sekolah rendah”

Faez bersama kedua ibu bapanya selepas selesai membuat kejutan motor tempoh hari.

MENJADI harapan setiap anak untuk memberi kebahagiaan dan membalas segala jasa serta pengorbanan ibu bapa mereka.

Di Twitter misalnya, tular video seorang anak yang menghadiahkan sebuah motosikal sempena ulang tahun kelahiran yang ke-60 bapanya, Razali Abdul Ramhan.

Bercerita kepada mStar, Muhammad Faez Razali, 28, mengakui sebak tatkala melakukan kejutan itu bersama keluarganya pada Sabtu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya dah selalu menangis di Jepun” - Diam-diam ‘anak bertuah’ ini rancang bukan satu, tapi dua kejutan di kampungnya

ARTIKEL BERKAITAN: Tak tahan rindu selepas terpisah 8 bulan, siswa ukir nama ibu ayah atas salji “Macam pegang ABC je”

"Sebenarnya birthday ayah pada 20 Oktober, dah sambut pergi makan-makan steamboat.

"Kejutan ni pada Sabtu lalu sebab motor baru keluar. Dia agak terkejut, dia kata tak perlu membazir. Saya tengok ayah tahan air mata masa tu.

Posting tular Faez di Twitter.

"Ayah memang ada motor, tapi motor lama tu dari saya sekolah rendah lagi sampai sekarang dia guna.

"Saya pun dah lama niat nak beli motor untuk ayah, sekarang baru ada rezeki," ujarnya sewaktu dihubungi.

Faez sekeluarga menyambut ulang tahun kelahiran bapanya baru-baru ini.

Menurut pendandan rambut yang menetap di Kampung Pandan, Klang, Selangor itu, bapanya sebelum ini bertugas di Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebelum bersara pada tahun lalu.

Tambah Faez lagi, tidak banyak yang diminta sebaliknya dia mahu bapanya terus sihat dan dipanjangkan umur.

Ayah memang ada motor, tapi motor tu dari saya sekolah rendah lagi sampai sekarang dia guna.

MUHAMMAD FAEZ RAZALI

"Ayah tak pernah nak beli motor baharu, saya perasan dia jarang pakai motor dia.

"Kadang-kadang dia hantar mak pergi kerja pun dengan motor saya.

"Walaupun dah dapat duit pencen, dia tetap dahulukan anak-anak, jadi saya buat keputusan untuk beli motor sebagai hadiah," kata Faez yang juga anak keempat daripada lima beradik itu.

Faez yang masih bujang kini bekerja sepenuh masa sebagai pendandan rambut.

Faez bersama bapanya.

Selepas waktu kerja, dia menjalankan khidmat house call barber yang mana dia akan berkunjung ke rumah pelanggan yang mahu menggunting rambut dengannya.

Kata Faez, dia menerima tempahan di sekitar Klang, Shah Alam dan lain-lain kawasan, bergantung kepada kelapangannya.

Dalam pada itu, video kejutan Faez buat ayahnya sehingga kini menerima lebih 133,000 tontonan di Twitter.

Malah, posting itu turut dihujani komen netizen yang mengakui sebak menonton detik manis keluarga berkenaan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain