suria

Tak tahan rindu selepas terpisah 8 bulan, siswa ukir nama ibu ayah atas salji “Macam pegang ABC je”

Fathur berkongsi pengalaman pertama memegang salji pada Januari lalu.

KEPULANGAN secara mengejut seorang pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di United Kingdom (UK) ke tanah air ternyata mengundang air mata ibu bapanya.

Kisah kepulangan Muhammad Fathurrahman Abdul Rahim, dipaparkan menerusi video yang dimuat naik ke laman Twitter miliknya yang mana ia turut mencetuskan perasaan sebak netizen.

Bercerita kepada mStar, siswa berusia 21 tahun yang mesra disapa Fathur mengakui sudah merancang kejutan itu dengan adiknya, Fathul Aiman sebelum dia tiba di Malayia pada Selasa lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Selagi ayah ada, saya boleh jaga dia” - Bapa 'cool' menangis nikahkan anak, adik pengantin mula rasa tak nak kahwin

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Berliku’ jalan nak balik beraya dari Amerika ke P.Pinang, sampai depan pintu.... “mak macam marah saya”

"Ibu bapa saya menetap di Simpang Renggam, Johor, tapi mereka datang ke Kuala Lumpur (KL) sebab adik saya daftar kolej pada Rabu lalu.

"Jadi saya berpakat dengan adik untuk buat suprise di KL. Tiket kapal terbang pula saya dah beli sejak Mac lagi," ujarnya sewaktu dihubungi pada Sabtu.

Keluarga Fathur.

Menurut penuntut bidang Perakaunan dan Kewangan di Universiti Lancaster itu, dia begitu gembira untuk bersua dengan keluarganya setelah terpisah selama lapan bulan.

Malah, dia juga turut beremosi tatkala menyaksikan ibu bapanya menitiskan air mata kerana terkejut, memandangkan mereka tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama pada Jun lalu.

Memang nak sangat-sangat mereka datang dan rasai suasana di UK sebelum saya tamat belajar. Susah nak cerita rasa pegang salji tu, saya cakap macam pegang air batu campur (ABC) je.

MUHAMMAD FATHURRAHMAN ABDUL RAHIM

"Saya rasa agak sedih, sebab hari tu tak dapat raya bersama, kat sana kami sambut raya sehari lebih awal berbanding Malaysia.

"Sebelum ni buat panggilan video je, kali ni betul-betul dapat jumpa selepas sekian lama, rasa macam tak percaya.

"Saya paling tak sabar nak makan nasi lemak air tangan emak. Memang itu makanan yang saya paling rindu," katanya lagi.

Pada Januari lalu, Fathur turut mengukir perkataan 'ibu' dan 'ayah' pada salji yang didedikasikan buat kedua orang tuanya, Abdul Rahim Yusof dan Fahriza Ahmad.

Kata anak sulung daripada tujuh beradik itu, ia merupakan pengalaman pertamanya bermain salji.

Fathur bersama sebahagian keluarga dan sanak saudaranya sebelum dia berangkat ke UK pada tahun lalu.


"Itu kali pertama pegang salji. Terus saya video call dengan mereka, masa tu pukul 5 kat Malaysia.

"Bila nampak salji, semua macam nak kumpul duit pergi main salji kat UK. Yang paling semangat, adik saya yang umur empat tahun.

"Memang nak sangat-sangat mereka datang dan rasai suasana di UK sebelum saya tamat belajar. Susah nak cerita rasa pegang salji tu, saya cakap macam pegang air batu campur (ABC) je," ujarnya dalam nada berseloroh.

Fathur tiba di Malaysia pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, video perkongsian Fathur di Twitter sehingga kini menerima lebih 20,000 ulang kicau (Retweet).

Malah, rata-rata netizen turut mengakui sebak tatkala menyaksikan detik penuh emosi itu.

"Siapa kawasan rumah dia ada masalah air? Meh amik air mata aku ni haaaaa," tulis @danialzainnn.

"That moment bila dia cium mak dia tu. Terbaik bro, kau dah buat air mata jantan aku keluar ni," tulis @iirrfann_.

"Dengan aku-aku menangis sebab dapat merasai perasaan seorang mak dan ayah bila dapat jumpa anak setelah sekian lama," tulis seorang lagi pelayar Twitter.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain