Suami sibuk berceramah cemas, isteri hantar mesej ketakutan bilik hotel diceroboh - “Tombol bergerak-gerak, kemudian pintu terbuka...” - Viral | mStar

Suami sibuk berceramah cemas, isteri hantar mesej ketakutan bilik hotel diceroboh - “Tombol bergerak-gerak, kemudian pintu terbuka...”

Aiman berkongsi pengalaman bilik hotel yang didiami bersama isteri dan anaknya hampir diceroboh individu tidak dikenali baru-baru ini.

30 minit yang mendebarkan!

Begitulah gambaran perasaan yang dihadapi seorang suami apabila menerima mesej demi mesej daripada isterinya memaklumkan mengenai situasi cemas yang sedang dihadapi.

Berkongsi cerita dengan mStar, Aiman Amri berkata, kejadian tersebut berlaku pada malam Ahad lalu ketika dia sedang memberikan ceramah di sebuah institusi pengajian tinggi awam di selatan tanah air.

ARTIKEL BERKAITAN: Dengar bunyi orang terlanggar baldi di luar rumah, ibu tunggal kongsi tempoh 15 minit yang sangat menakutkan... perompak ‘umpan’ buka pintu! 

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas lawan tarik beg dengan peragut sampai masuk wad kecemasan, wanita ini baru tahu dia sedang hamil... ini pesanannya buat lelaki berjaket hitam! 

Ketika itu, isteri dan seorang anaknya yang masih kecil sedang menginap di sebuah bilik hotel, yang terletak kira-kira 20 minit dari lokasi ceramahnya.

“Masa tu lagi setengah jam untuk program saya tamat, iaitu kira-kira pukul 10.30 malam. Mesej yang diterima daripada isteri hanya saya sedari 16 minit selepas dia hantar.

“Selepas melihat apa yang dihantar, terus saya beri penonton tempoh ‘break’ selama tiga minit untuk saya buat panggilan semula kepada isteri saya.

“Alhamdulillah, cubaan kedua ketika saya hubunginya, dia jawab dan menerangkan segala-segalanya. Saya sangat bimbang. Dipendekkan cerita, isteri meminta saya menghabiskan program yang berbaki kira-kira 30 minit itu dan kemudian pulang,” katanya.

Perkongsian Aiman di Twitter meraih melebihi 17,000 retweet.

Menurut Aiman yang juga Pengurus Akademi Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, sebaik tiba di bilik hotel, dia terus memeluk isterinya yang kemudian menerangkan situasi yang terjadi semasa ketiadaannya.

“Menurut isteri, ketika itu dia sedang bersantai selepas menidurkan anak kecil. Tiba-tiba dia terdengar bunyi seperti ada orang menyentuh kad akses di luar pintu. Dan kemudian kelihatan tombol pintu bergerak-gerak menandakan ada orang cuba untuk membuka pintu dari luar.

“Kemudian pintu terbuka namun mujur isteri kunci dengan selak yang memang ada di tepi pintu, jadi orang di luar tak boleh masuk. Pada masa itulah dia sempat mesej saya.

“Menurut isteri, orang tersebut merupakan seorang lelaki. Selepas mesej saya, dia terus menghubungi pihak hotel dan pihak hotel tiba untuk membuat pemeriksaan. Sebenarnya dia sudah dapat agak bahawa orang di luar itu bukan saya kerana kad hanya ada satu sahaja yang diletakkan untuk menghidupkan suis di bilik,” ujarnya.

Aiman memuatnaik gambar contoh kunci yang menghalang penceroboh daripada memasuki bilik hotel yang didiami bersama isteri dan anaknya.

Tambah Aiman, menerusi pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV), jelas kelihatan seorang lelaki cuba untuk menceroboh bilik yang didiami mereka tiga beranak.

Namun ujarnya, perkara itu sudah diselesaikan dengan pihak hotel.

Terdahulu, perkongsian Aiman di Twitter mengenai peristiwa itu mengundang perhatian netizen apabila ia meraih lebih 17,000 retweet selain dihujani komen netizen.

Menerusi perkongsian itu juga, Aiman menekankan betapa pentingnya untuk setiap orang melatih diri untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan peka untuk memastikan keselamatan diri masing-masing.

“Saya memang terbiasa dari dahulu lagi untuk sentiasa memastikan pintu dikunci untuk tujuan keselamatan. Sama ada pintu kereta, pintu rumah atau pintu bilik hotel. Walaupun tinggal sekejap, jangan lupa untuk kunci.

“Jangan ingat jika kita tinggal di bilik hotel, ia selamat sepenuhnya. Di hotel, pasti akan ada master key yang boleh akses ke semua bilik. Sebab itu, pentingnya kita kunci bilik dengan menggunakan selak di pintu. Kita tak tahu apa yang akan jadi kemudian,” ujarnya mengakiri bicara. 

ceroboh , hotel , kad akses

Klik

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

Artikel Lain