suria

Suruh tengok tangan kotor, ‘lawan’ mata dalam LRT... wanita dakwa nyaris dipukau uncle!

Perkongsian kisah ini menjadi tular di Facebook.

APABILA menaiki kenderaan awam, kita pastinya akan berdepan dengan pelbagai jenis dan ragam manusia.

Saling tidak mengenali, namun semuanya duduk di bawah satu bumbung menuju ke destinasi masing-masing.

Pada Isnin lalu, seorang gadis mengalami pengalaman luar biasa apabila dia dihampiri seorang lelaki pertengahan usia sewaktu menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah dikata berhantu, warga emas dipukau, rugi RM10,000

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita Dakwa Lesap RM117,000 Akibat Pukau

Kisah itu kemudiannya dikongsikan rakannya menerusi laman Facebook sehingga menerima lebih 14,000 perkongsian.

Berlaku sekitar jam 3 petang, wanita itu dihampiri seorang lelaki yang bercakap dalam dialek Kantones sewaktu sedang menunggu ketibaan tren di Stesen Sentul Timur.

"Dia tiba-tiba tunjukkan tangannya. Dia tanya, tangan uncle kotor ke? Saya tak dengar dengan jelas, dia tanya lagi sekali.

"Selepas tengok tangannya, saya jadi sukar bernafas. Mata dan kepala mula rasa pening," ujar wanita itu sebagaimana ditulis rakannya di Facebook.

Posting tular berkenaan.

Selepas memasuki gerabak kereta api, lelaki berkenaan sekali lagi menghampiri wanita itu.

Bimbang diapa-apakan, dia memilih untuk duduk bersebelahan seorang lelaki Melayu.

"Boleh kamu tolong saya? Saya telah bercakap dengan lelaki itu, sekarang saya jadi mabuk (pening).

"Saya tak boleh tengok mata dia, kalau tak saya jadi mabuk. Kamu tahu kalau kita tengok sesuatu atau bercakap dengan seseorang, kita jadi tak sedar?" kata wanita itu kepada lelaki Melayu berkenaan.

Selepas tengok tangannya, saya jadi sukar bernafas. Mata dan kepala mula rasa pening.

MANGSA

"Saya mahu kamu tolong saya. Kalau saya tengok mata dia, saya akan jadi khayal," ujarnya lagi sebelum diarahkan untuk tidak berganjak dari tempat duduk oleh lelaki Melayu berkenaan.

Lelaki itu bersama seorang lagi rakannya cuba membantu dengan menghalang pandangan lelaki tua berkenaan terhadap wanita itu.

Malah, lelaki Melayu itu juga sempat merakam foto pemangsa berkenaan yang didakwa memiliki ilmu pukau.

Meluahkan rasa lega, wanita itu berkata lelaki berkenaan tidak turun di stesen LRT yang sama dengannya.

Dalam pada itu, ramai netizen turut membanjiri ruangan komen posting berkenaan.

Malah, ada yang memberi nasihat kepada semua individu agar lebih berhati-hati sewaktu berhadapan dengan orang yang tidak dikenali khususnya di tempat awam. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
pukau, LRT, pening, mabuk

Artikel Lain