suria

43 tahun jadi pakar bidan... Dr Hamid Arshat terkilan pejabat diserbu, staf muda bertindak kasar - “Datang mengejut seolah-olah saya penjenayah”

Dr Hamid membuat perkongsian mengenai serbuan di pejabatnya menerusi Facebook pada Khamis.

PAKAR perbidanan dan sakit puan, Dr Hamid Arshat meluahkan rasa kesal apabila pejabatnya diserbu sekumpulan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu.

Menurut Dr Hamid, serbuan tanpa notis dan tujuan yang jelas itu seolah-olah memperlihatkan dirinya seperti seorang penjenayah.

Dia berkongsi mengenai hal itu menerusi laman Facebook Dr Hamid Arshat miliknya. Menerusi posting yang dimuat naik pada Khamis, dia mengakui terkilan dengan tindakan mengejut itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jual Bayi: Dua Klinik Swasta Di Klang Diserbu Polis

ARTIKEL BERKAITAN: Pakar Kongsi Rawatan Kehamilan Isteri Fizo Omar

"Tanpa notis dan tanpa jelas apa tujuan, mereka datang dengan mengejut seolah-olah saya seorang penjenayah.

"Padahal saya telah berkhidmat sebagai doktor hampir 50 tahun dan sebagai pakar bidan selama 43 tahun.

Dr Hamid Arshat membuat perkongsian mengenai serbuan itu menerusi Facebook.

"Saya rasa amat terkilan dengan layanan dan tindakan kasar kakitangan-kakitangan muda yang semacam gila kuasa.

"Ketika serbuan pejabat, saya berada di klinik di Taman Desa Medical Centre melayan berpuluh-puluh pesakit," tulisnya.

Kakitangan yang bertindak belum lahir ke dunia lagi, saya telah berkhidmat dengan KKM.

DR HAMID ARSHAT

DOKTOR/PAKAR BIDAN

Tambah Dr Hamid, apa salahnya jika pihak berkuasa menghubunginya terlebih dahulu dan menyatakan kesalahan yang dibuat sebelum menyerbu premis berkenaan yang terletak di Plaza 75m Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

"Akhirnya mereka pergi dengan keadaan pejabat kucar kacir dan tidak mendapat apa-apa bukti kesalahan saya.

"Sungguh menyedihkan dengan tindakan kasar ke atas pejabat dan pekerja saya.

Sebahagian posting Dr Hamid di Facebook.

"Kakitangan yang bertindak belum lahir ke dunia lagi, saya telah berkhidmat dengan KKM," ujar Dr Hamid lagi.

Posting di Facebook itu sehingga kini menerima lebih 9,400 tanda suka dan dikongsi lebih 1,200 kali.

Malah, ramai pelayar Facebook turut meninggalkan komen mereka menerusi ruang balas posting tersebut.

"Dugaan datang dalam pelbagai bentuk. Moga Dr tabah dan reda. Didoakan moga Dr sihat selalu dan dalam lindungan Allah. Amin.

"Allahuakbar. Dr adalah seorang yang sangat disegani dan satu nama besar dalam bidang perubatan. Dah ramai yang Dr bantu. Moga dipermudahkan untuk Dr," tulis beberapa netizen.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p
Dr Hamid Arshat, pakar bidan, KKM, serbuan

Artikel Berkaitan

Artikel Lain