suria

“Proses tu amat menyakitkan, baby tak dibius” - Bayi derita kanser otak akan dibedah kali keempat... dada dicucuk, tukar jarum 5 hari sekali

Nishka akan menjalani pembedahan keempatnya pada

SELEPAS pembedahan ketiga bulan lalu, bayi berusia tiga bulan yang menderita kanser otak tahap 4 dan baru-baru ini disahkan mempunyai ketumbuhan di buah pinggang kirinya akan menjalani pembedahan terbaharu bulan depan.

Menurut Khairiah Kamarudin, ibu kepada Kyfa Nishka Al-Kautsar Mohd Farham, pembedahan itu perlu dilakukan segera bagi memasang kimo pod baharu pada badan anaknya itu.

"Kimo pod last pasang pada 22 Julai lalu. Sepatutnya alat tu boleh tahan sampai dua atau tiga tahun sekiranya tak ada masalah tapi sekarang kena ganti yang baharu sebab dah tersumbat.

ARTIKEL BERKAITAN: Derita bayi 3 bulan hidap kanser otak, tiada suara, tak boleh melihat, “Luluh hati mummy, satu lagi ketumbuhan di buah pinggang”

ARTIKEL BERKAITAN: Pembedahan keluarkan bayi berjaya, suami hampir rebah doktor beritahu lidah isteri perlu dipotong ‘semua’ dan segera, “Sayang dah nak mati ke?”

"Jadi pembedahan segera perlu dilakukan untuk buang dan pasang kimo pod baharu pada 4 September depan. Kalau tak buat, rawatan kemoterapi tak boleh dilakukan. Tempoh hari kimo pod tu dipasang pada dada kiri.

Baby Nishka disahkan menghidap kanser otak ketika berusia 21 hari.

"Untuk yang baharu ni saya tak pasti sebab belah kanan dada dah ada shunt. Kemungkinan akan pasang di paha tapi doktor masih lagi dalam proses perbincangan," katanya.

Jelas Khairiah atau lebih mesra disapa Kheriy, dia membelanjakan lebih RM1,000 untuk membeli dua alat tersebut.

"Kimo pod berharga RM850 manakala jarum RM240 sekotak (12 batang). Kedua-dua alat tu kena beli sendiri.

Sekarang ni hospital dah jadi rumah No 1 saya. Jarak hospital ke sekolah dalam 50 minit. Jadi saya harap boleh tukar sekolah dekat dengan hospital memandangkan saya memang ulang alik dari sana.

KHAIRIAH KAMARUDIN

"Kimo pod tu akan bersambung dengan urat-urat dalam badan. Jadi doktor akan masukkan ubat kimo melalui jarum kimo pod," katanya.

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, jarum tersebut akan ditukar setiap lima hari sekali bagi memasukkan ubat untuk rawatan kemoterapi.

"Jarum tu akan dicucuk pada dada. Jadi tak bolehlah selalu sangat baby kena tukar dan cucuk (jarum).

Bayi comel ini terpaksa minum susu menerusi tiub khas.

"Proses tu amat menyakitkan sebab baby tak dibius. Saya sendiri pun nangis tak sampai hati tengok kaki tangan dia semua lebam. Tapi apa kan daya... kita niat nak berubat," katanya.

Kheriy yang juga guru di sebuah sekolah rendah di Machang, Kelantan berkata dia berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas habis mengajar.

"Setiap kali habis mengajar saya akan terus ke hospital. Saya memang tak balik rumah. Kiranya dari hospital ke sekolah, kemudian dari sekolah pergi ke hospital semula.

"Sekarang ni hospital dah jadi rumah No 1 saya. Jarak hospital ke sekolah dalam 50 minit. Jadi saya harap boleh tukar sekolah dekat dengan hospital memandangkan saya memang ulang alik dari sana," katanya.

Kisah bayi comel ini mendapat perhatian netizen selepas nasibnya yang terpaksa bertarung nyawa melawan dua penyakit kanser berlainan seperti dilaporkan mStar pada Rabu lalu.

Kheriy dan suaminya reda dengan ujian hebat ini.

Anak bongsu tiga beradik itu disahkan menghidap kanser otak (Medullablastoma) tahap 4 selepas 21 hari dilahirkan dan mempunyai ketumbuhan di buah pinggang kiri sepanjang dua sentimeter (sm) ketika berusia tiga bulan.

Bayi tersebut sudah menjalani tiga pembedahan termasuk sekali pembedahan utama bagi membuang tumor di kepalanya.

"Menerusi pembedahan itu hanya 30 peratus sahaja tumor berjaya dikeluarkan. Doktor buat saluran keluarkan air daripada tiub ke tabung. Waktu tu berlaku pendarahan teruk.

"Masa tu doktor cakap peluang baby 50-50. Selepas pembedahan tu baby dalam keadaan kritikal selama tiga minggu. Dia incubate dan terpaksa guna oksigen sebulan," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain