Kalau duduk kita tak layan! Datin yang 'hangin' dengan staf kedai nasi ayam disuruh minta maaf satu Malaysia, “Pelik betul, mereka tak matang” - Viral | mStar

Kalau duduk kita tak layan! Datin yang 'hangin' dengan staf kedai nasi ayam disuruh minta maaf satu Malaysia, “Pelik betul, mereka tak matang”

Video yang dimuat naik Datin Nona menjadi tular di media sosial.

RATA-rata pelayar media sosial menggesa supaya seorang wanita yang mengamuk di sebuah restoran nasi ayam popular agar membuat permohonan maaf di atas perbuatannya itu.

Disifatkan biadab, dia juga didakwa memalukan kakitangan wanita premis itu susulan penularan video yang dimuat naik menerusi laman Twitternya pada 10 Jun lalu.

Bercakap kepada mStar, wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Datin Nona tetap mempertahankan tindakannya tempoh hari.

Ujar wanita berusia 60 tahun itu yang aktif bersama badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan warga emas, Orang Kelainan Upaya(OKU)dan golongan asnaf berkata, dia ada sebab tersendiri untuk bertindak sedemikian.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kaulah bodoh, kaulah gila" punca wanita makan penumbuk? Isteri kongsi versi penuh kisah suami tumbuk pemandu tak bagi 'signal'

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh video tular lelaki tumbuk, tampar wanita di tengah jalan

"Kalau kamu tengok Twitter saya, kali terakhir saya tweet pada 2012 dan sekarang dah 2019. Saya tak aktif pun tapi saya perlu bersuara sebab ini bukan kali pertama, sebaliknya berlaku berulang kali sebelum ini. Mereka masih tak perbaiki sistem dan perkhidmatan di kaunter memang di bawah par.

"Saya pelanggan tetap kedai nasi ayam ini dan pernah berdepan situasi sama sebelum ini. Kadang-kadang saya panggil atau angkat tangan, mereka buat-buat tak nampak seolah-olah saya ni tak wujud di situ.

Posting Datin Nona menjadi bualan hangat netizen.

"Jadi kali ini saya fikir perlu lakukan sesuatu. Saya hanya nak kedai itu serta kedai-kedai makanan lain untuk menghormati pelanggan warga emas, OKU, keluarga yang ada anak kecil dan ibu mengandung.

“Saya tengok budaya macam ni dah tak ada dalam kalangan anak muda hari ini," katanya.

Datin Nona mengakui sebagai pelanggan, dia berang selepas kakitangan wanita itu didakwa bersikap kurang ajar kepadanya.

"Waktu tu saya pergi bukan peak hour, kira-kira pukul 5.30 petang macam tu tambahan pula ada lagi empat meja kosong, cukup-cukup untuk yang datang waktu tu. Saya kata dik tu ada lagi meja kosong biar kami masuk bawa mak saya duduk di situ.

Ada yang sampai cari suami saya di Facebook suruh saya minta maaf pada kedai tersebut dan rakyat Malaysia. Apakah saya buat salah dekat rakyat Malaysia?

DATIN NONA

"Sementara saya panggil mak saya jalan masuk, dia boleh kata kalau duduk kita tak layan. Saya ingatkan pekerja wanita itu tak maksudkan apa dia cakap. Kami tunggu lama jugalah dekat 10 minit sampai mak saya tanya mana orang nak ambil order ni.

"Sebab itu saya tinggi suara dekat dia. Perkataan macam tu saya tak boleh terima kerana saya ada pengalaman dalam industri makanan dan perkhidmatan. Saya sendiri tak pernah bercakap dengan klien atau pelanggan saya seperti itu. Tidak pernah.... dia memang kurang ajar," katanya yang pergi ke kedai itu bersama ibunya.

Bagaimanapun isteri kepada komposer terkenal itu berkata, dia tidak peduli dengan kecaman netizen kerana mereka tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

Antara komen netizen yang tidak berpuas hati dengan tindakan Datin Nona.

"Saya tak kisah orang nak kutuk, nak sumpah saya ke, bagi saya itu karakter biasa manusia. Ada sifat dendam. Mereka manipulasi video saya cut and paste supaya ia kelihatan seperti berpihak kepada mereka.

"Kita tak boleh harapkan mereka untuk bersikap matang... guna bahasa baik. Mereka lebih suka guna kata-kata kesat, suka ugut orang. Ada yang ugut nak bunuh saya, cari saya. Sampai macam tu sekali. Dahsyat sungguh.

"Bagi saya itu bukan satu isu. Buatlah apa sahaja yang anda suka. Bagi saya video tu semua fakta. Mungkin pendapat orang berbeza tapi saya dah jelaskan situasi sebenar. Saya hanya mahu kedai itu perbaiki perkhidmatan mereka. Itu sahaja," katanya.

Pada masa sama, Datin Nona berkata, tiada keperluan untuk dia meminta maaf kepada rakyat Malaysia seperti yang digesa sesetengah netizen.

"Ada yang sampai cari suami saya di Facebook suruh saya minta maaf pada kedai tersebut dan rakyat Malaysia. Apakah saya buat salah pada rakyat Malaysia?

"Pelik betul. Bagi saya mereka tak matang. Saya hanya kata kepada seorang individu sahaja yang kerja tak ikhlas. Saya tak kata kat semua orang. Kalau saya cakap kat semua orang lainlah, jadi barulah saya akan minta maaf kepada semua.

Paparan skrin rakaman video yang tular.

"Nak suruh saya minta maaf satu Malaysia tu agak melampaulah. Patutnya ia sesuatu yang anda tak payah ambil serius atau simpan dalam hati. Sebab anda tak jumpa pun orang tu depan anda," katanya.

Sementara itu, Datin Nona berkata pihak pengurusan kedai nasi ayam itu ada menghubunginya baru-baru ini.

"Pengurus kedai itu ada hubungi saya Rabu lalu minta maaf di atas apa yang berlaku. Saya pun minta maaf di atas kekasaran saya disebabkan sikap pekerja wanita itu.

“Dalam video tu saya nampak tegas tapi tak guna kata-kata kesat. Memang saya geram sebab mak saya bangun dan balik tak dapat makan nasi ayam kegemaran dia.

"Biarlah video ni jadi pengajaran kepada kedai nasi ayam ini dan kedai makan yang lain. Mereka sepatutnya hormat orang tua-tua. Jika boleh jangan guna cara lama semasa melayan pelanggan. Bagi saya cara yang diamalkan kedai itu terlalu konservatif. Kita bukan di gerai beratur nak ambil sepinggan nasi. Cuba ubah cara itu untuk keselesaan ramai," katanya yang serik untuk pergi ke kedai itu selepas insiden tersebut.

Datin Nona , kedai nasi ayam , amuk

Artikel Lain