Wow! Lelaki ini kacak bergaya dengan baju RM1, termasuk ke KLFW, “Pengalaman banyak mengajar saya”

Naim kelihatan cukup bergaya mengenakan pakaian-pakaian terpakai yang dibeli di kedai bundle pada harga murah, serendah RM1.

SIAPA sangka baju yang kebanyakannya berharga RM1 sehelai boleh kelihatan mahal dan cukup bergaya?

Menurut seorang 'kaki bundle' yang juga usahawan tempatan, cara pembawakan diri seseorang menjadi elemen penting untuk menterjemahkan ekspresi mewah dalam pakaian walaupun ia sebenarnya dibeli pada harga murah.

Naim Azhar, 26, berkata, dia tidak kisah memakai pakaian murah kerana sudah terbiasa dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan suatu ketika dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bergaya guna barang jenama mahal tapi 'preloved'... Memalukan atau pilihan bijak?

ARTIKEL BERKAITAN: Untung Selipar Terpakai

Menetap di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, jejaka yang mesra disapa Naim ini juga tidak kisah akan tanggapan orang terhadap pakaian terpakai.

Naim kelihatan cukup yakin dalam menggayakan fesyen kegemarannya.

"Dulu keluarga saya susah, dah biasa pakai pakaian murah. Jadi pengalaman yang banyak mengajar saya.

"Ia lebih kepada pembawakan sebenarnya. Saya juga ada pandangan tersendiri dalam fesyen. Jadi saya tak kisah untuk pakai biarpun ia agak pelik di mata orang.

"Saya juga teruja untuk meneroka kedai-kedai bundle dan cari koleksi-koleksi vintaj dengan harga murah," ujarnya sewaktu dihubungi mStar.

Saya juga pernah pakai pakaian bundle untuk menghadiri banyak acara termasuklah Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW).

NAIM AZHAR

'KAKI BUNDLE'

Hasil 'menyelam' di kedai-kedai bundle, Naim juga berupaya mendapatkan pakaian berjenama mewah antarabangsa pada harga yang cukup murah.

Malah, dia pernah membeli trench coat berjenama Yves Saint Laurent (YSL), Burberry dan Dolce & Gabbana pada harga RM1 sahaja.

Naim berkata 'menyelam' di kedai bundle memerlukan kesabaran tinggi.

"Pada saya, tak perlu berbelanja banyak pun untuk bergaya. Malah kebanyakan barang bundle adalah branded dan ia dibawa dari negara luar.

"Ada satu jaket Burberry yang saya beli RM1, bila saya periksa, harga untuk yang baharu sekitar RM5,000.

"Saya juga pernah pakai pakaian bundle untuk menghadiri banyak acara termasuklah Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW)," dedahnya lagi.

Posting Naim mengenai pemakaian baju bundle tular di laman Twitter.

Namun kata Naim, kesabaran menjadi kunci utama sewaktu mencari pakaian terpakai dan dia kadang-kala menghabiskan sekitar dua hingga tiga jam setiap kali berkunjung ke kedai bundle.

Pada kebiasaannya, pengusaha beg getah custom made Legasi Studio itu akan mencari pakaian bundle di sekitar Chow Kit, Sentul, dan Setapak.

Dalam pada itu, posting Naim mengenai pakaian bundle di laman Twitter menjadi tular sehingga menerima lebih 2,400 ulang kicau (Retweet).

Malah, ramai netizen memuji pemakaian Naim yang disifatkan cukup bergaya dan berani.

"Ini bukti orang kalau dah helok, pakai baju singgit (seringgit) pun menjadi," tulis @AzamLambert.

"Betul tu bro. Ada orang pakai Gucci original tetap nampak macam Gucci fufu," tulis seorang lagi pelayar Twitter.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Memulakan langkah pemulihan ekonomi