suria

Pengantin lama seronok ‘kahwin’ lagi, cikgu bujang ‘sporting’... “Tak pening kepala masa nak kahwin nanti”

Sebahagian guru yang menjadi 'pengantin' bagi meriahkan sambutan Hari Guru di SK (LKTP) Chini 2, baru-baru ini. Foto FB SK Chini 2/BS Picture Photography A.K.A Badrol Husaini

“PAK, pak, bung bung…” bunyi paluan kompang mengiringi perarakan masuk ke dewan sebuah sekolah rendah di Pahang.

Lebih mengejutkan murid-murid, ‘pengantin-pengantin’ diiringi oleh sekumpulan si cilik yang menjadi ‘flower girl’ membawa dulang berisi hantaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut prank hadiah RM50, guru pening cari minyak angin, sebak fikirkan murid jual lukisan kumpul duit “Terima kasih Farhana”

ARTIKEL BERKAITAN: Persembahan ‘Over’, Cikgu Kan Serba Boleh!


'Pengantin-pengantin' diiringi sekumpulan 'flower girl'.

Bukan kenduri kahwin, tapi ia sebenarnya adalah suasana meriah sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan (LKTP) Chini 2 di Chini, Pahang, baru-baru ini.

Gambar-gambar guru-guru dalam persalinan baju pengantin menjadi tular selepas ia dikongsikan di halaman Facebook sekolah berkenaan.

Guru Besar SK (LKTP) Chini 2, Jamilah Ripin, 52, berkata, keriuhan pengantin masuk dewan itu adalah hasil kerjasama guru-guru memenuhi tema sambutan Hari Guru yang dibuat lebih awal di sekolah itu pada Rabu lalu.

'Hantaran' sekadar simbolik sambutan Hari Guru bertemakan Raja Sehari.

Menurutnya, setiap tahun menjelang Hari Guru, pelbagai tema akan dicadangkan dalam mesyuarat guru seperti tema Bollywood, Back to School (Kembali ke Sekolah) dan Kalau Aku Bukan Guru yang dibuat sebelum ini.

“Jadi, tahun ini kami bersepakat untuk menjadikan Raja Sehari sebagai tema, kerana mahukan kelainan dan pemakaian baju pengantin itu merupakan simbolik kepada tema berkenaan.

“Walaupun kebanyakan kami sudah berkahwin, termasuk yang veteran dan ada yang berusia lebih separuh abad seperti saya, tapi kami mahu menunjukkan kepada murid-murid bahawa guru-guru juga ‘sporting’ dan serba boleh,” katanya kepada mStar.

Dua pasangan guru yang merupakan suami isteri mengajar di sekolah yang sama.

Jamilah yang menjadi guru besar di sekolah itu sejak 2016 tidak menyangka tema tersebut dapat direalisasikan kerana ia memerlukan persiapan rapi, tetapi ia berhasil dengan kerjasama guru-guru dan kakitangan sekolah.

Walaupun kebanyakan kami sudah berkahwin, termasuk yang veteran dan ada yang berusia lebih separuh abad seperti saya, tapi kami mahu menunjukkan kepada murid-murid bahawa guru-guru juga ‘sporting’ dan serba boleh.

JAMILAH RIPIN

GURU BESAR SK (LKTP) Chini 2

“Antara acara yang diadakan adalah perarakan dua pasangan guru yang merupakan suami isteri di sekolah ini ‘bersanding semula’ di pelamin.

“Kita bukan saja mahu menjelaskan kepada murid-murid bahawa pengantin itu adalah suami isteri agar tidak salah faham pada masa akan datang, bahkan mahu menunjukkan adat resam Melayu yang perlu dikekalkan,” katanya sambil menambah ia melibatkan kira-kira 370 murid dan 32 guru-guru termasuk pentabir di SK (Felda) Chini 2.

Sebahagian guru yang 'sporting' memakai busana pengantin.

Sementara itu, pengurus acara majlis sambutan Hari Guru tersebut, Farah Wahidah Abd Rani, 27, berkata, hanya dua daripada 32 guru masih bujang termasuk dirinya.

Biarpun pada mulanya keberatan untuk memakai baju pengantin kerana belum berkahwin, tetapi guru bahasa Inggeris dan bahasa Arab ini mahu memberikan kerjasama bagi memeriahkan suasana dan mengikut tema.

“Kebanyakan guru-guru di sini dah kahwin. Bila pakai baju pengantin, mereka seronok mengimbas semula kenangan manis menjadi Raja Sehari.

“Saya yang bujang ni sudah tentu segan sebab tak pernah melalui pengalaman seperti mereka. Tapi, mereka banyak menyokong saya, sampai saya turut ikut guru-guru pergi ke butik untuk sewa baju pengantin, sampai tiga kali sepanjang proses pemilihan dan persiapan baju,” tambahnya.

Farah (kiri) bersama Guru Besar SK (LKTP) Chini 2, Jamilah Ripin.

Farah yang menjadi guru di sekolah itu sejak dua tahun lalu melihat pengalaman tersebut amat berharga kerana dapat memahami persiapan untuk ke jenjang pelamin.

“Kalau ditakdirkan suatu hari nanti saya bertemu jodoh, taklah pening kepala fikir nak cari baju pengantin untuk persiapan kahwin nanti,” katanya secara berseloroh.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain