suria

Pelajar tak teruja hadir konvo, tapi “Saya hadiahkan mereka Anugerah Naib Canselor”

Iqa menziarahi pusara kedua ibu bapanya sebelum majlis konvokesyen Rabu lalu.

"IQA konvo hari ni, maaf tak dapat pergi dengan mama dan ayah," luah seorang gadis sambil memegang batu nisan kubur bapanya sebelum menghadiri Majlis Konvokesyen Rabu lalu.

Menurut Nur Haziqah Shapie, 22, dia tidak berasa teruja untuk menghadiri majlis konvokesyennya walaupun berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan cemerlang.

Gadis kelahiran Johor dan membesar di Melaka ini berkata, sepanjang tiga tahun pengajiannya, dia terpaksa mengetepikan perasaan sunyi dan terasing menjalani kehidupan tanpa ibu bapanya.

Artikel berkaitan: Hampir putus asa, enggan hadir konvo, pemuda sado menangis di pusara bapa

Artikel berkaitan : Pentas Konvo Kecoh Gara-Gara Vida?

Artikel berkaitan : Hajat tengok anak konvo terkubur selepas kena strok di UK, anak mohon bantuan bawa bapa balik Malaysia!

"Seminggu sebelum keputusan semester satu keluar, mama saya pada tahun 2016. Tak sempat saya nak kongsi berita gembira keputusan baik ketika itu.

"Jadi ketika itu tinggallah kami bertiga (abang dan ayah).

"Selepas beberapa tahun dapat menerima kehilangan ibu tersayang, ayah saya pula dijemput Ilahi ketika saya berada di semester lima.

"Lebih menyedihkan ayah pergi ketika persiapan untuk majlis 'pra graduate' bagi penerima Anugerah Dekan," kongsinya kepada mStar.

Iqa (tengah) bersama nenek, datuk, abang dan kakak ipar yang hadir pada majlis konvokesyennya.

Menurut anak bongsu daripada dua orang adik beradik ini, selepas kematian kedua ibu bapanya, dia hanya menumpang kasih dan perhatian abangnya, Mohamad Hamizan Shapie.

"Saudara mara (sebelah mama dan ayah)  seperti nenek dan atuk berada jauh di Johor. Jadi hanya bergantung kepada abang dan kakak ipar sahaja.

"Memang rasa lain, tetapi saya cuba ketepikan  perasaan sunyi dan rindu terhadap mereka dengan fokus belajar.

"Sepanjang pengajian, saya bersyukur kerana rakan-rakan memahami dan banyak membantu saya melalui saat sedih itu.

"Mereka juga memahami situasi saya dan jarang bercerita mengenai ibu bapa masing-masing kerana risau saya akan sedih," katanya yang merancang untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah.

Iqa berjaya menamatkan pengajian dengan menerima Anugerah Naib Canselor.

Jelas Iqa, ikutkan hatinya dia tidak mahu menghadiri majlis konvokesyennya itu kerana sedih.

"Saya gagahkan juga pergi konvo memandangkan atuk dan nenek hadir pada majlis itu.

"Sebelum ke majlis, saya singgah di pusara mama dan ayah, bercakap dengan mereka bahawa saya sudah tamat belajar.

"Saya juga beritahu arwah mama dan ayah bahawa saya menghadiahkan mereka Anugerah Naib Canselor.

"Tetapi ketika itu saya tidak dapat menghabiskan kata-kata lain kerana sebak," jelasnya.Bagaimanapun Iqa bersyukur kerana dia berjaya menamatkan pengajiannya dan merancang untuk bekerja terlebih dahulu.

"Ketika diploma saya tidak memohon pinjaman PTPTN kerana ayah saya menanggung keseluruhannya.

"Memandangkan sekarang ayah sudah tiada, saya perlu mencari duit sendiri terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian.

"Saya tidak mahu menyusahkan abang dan keluarga lain," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Ibu bapa meninggal, konvokesyen, uitm

Artikel Lain