suria

Wartawan kena sondol, netizen kata “lain kali jangan halang lembu nak masuk TV”

Rakaman sewaktu Juliana disondol lembu disiarkan pada Selasa lalu sebelum ia menjadi tular di media sosial.

SETIAP pekerjaan pasti mempunyai cabarannya yang tersendiri tak kira walau bertugas di pejabat atau di lapangan.

Namun ada kalanya berlaku insiden tidak disangka-sangka ketika menjalankan tugas yang digalas.

Begitulah yang berlaku ke atas seorang wartawan TV3 apabila disondol lembu sewaktu membuat liputan di Bukit Tinggi, Klang, Selangor baru-baru ini.

Rakaman untuk siaran Aduan Rakyat itu pantas menjadi bualan di media sosial dan rata-rata netizen menyifatkan ia sebagai sesuatu yang menghiburkan.

Bercerita kepada mStar Online, Juliana Sharin berkata, dia sama sekali tidak menyangka video berkenaan akan menerima perhatian meluas masyarakat di negara ini.

Juliana mengakui tidak sangka video berkenaan akan menjadi tular.

"Selepas kejadian, kami ada buat rakaman semula. Tapi saya minta dengan penerbit untuk pakai video yang kena sondol tu.

"Bukan niat untuk viral tapi untuk tunjukkan yang isu lembu berkeliaran ni memang bahaya.

"Sebenarnya tu idea jurukamera yang mahu saya berjalan di hadapan lembu, untuk tunjukkan situasi di situ," katanya wartawan penyiaran berusia 32 tahun itu sewaktu dihubungi pada Rabu.

Melihat kejadian itu dari sudut positif, Juliana berkata, ia menjadi faktor penarik untuk orang ramai menonton berita yang disiarkan itu.

Ikutkan isu lembu berkeliaran ni, berita normal sahaja. Tapi bila ada X-Factor, ia jadi perhatian orang ramai.

JULIANA SHARIN

Wartawan TV3

Malah, ia turut memberi semangat untuk dirinya menghasilkan laporan-laporan berita yang lebih kreatif dan dekat di hati masyarakat pada masa akan datang.

"Ikutkan isu lembu berkeliaran ni, berita normal sahaja. Tapi bila ada X-Factor, ia jadi perhatian orang ramai.

"Tak sangka pula ia tersebar di media sosial, ada juga yang kata saya halang lembu tu nak masuk tv, sebab tu kena sondol," ujarnya berseloroh.

Untuk rekod, laporan itu disiarkan menerusi segmen Aduan Rakyat dalam Buletin Utama TV3, Selasa lalu.

Mengulas detik kejadian, Juliana yang berpengalaman sembilan tahun sebagai wartawan mengakui agak terkejut sewaktu dia disondol haiwan berkenaan.

Juliana komited dalam menyampaikan laporan berita yang bermanfaat untuk masyarakat.

"Saya ni tak biasa dengan lembu, tapi nak bagi nampak bersama dengan mereka, nak tunjuk yang lembu tu berkeliaran sesuka hati di jalan raya, saya berjalan sekali lah.

"Jurukamera pun tak perasan, bila dah kena sondol tu, terus keluar suara 'jantan'. Agak terkejut, masa mula-mula kena memang rasa sakit," katanya lagi.

Dalam pada itu, netizen turut meninggalkan komen di sosial media berhubung video berkenaan.

Malah, ada juga yang memuji sikap profesional Juliana yang meneruskan tugasnya biarpun terkejut disondol lembu.

"Salute gila kat wartawan ni. Sumpah win!!," tulis #beeyyyy.

"Kau tengok... Lembu pun tahu mereka nak masuk tv. Lain kali jangan halang mereka nak menyinar di kaca tv," tulis @aiman_kimmy.

"Haritu Abe aziz jatuh bot. Ni akak disodok lombu. TV3, love your journalists," tulis seorang lagi individu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain