suria

Walau penat kuliah tetap nak temankan BFF ke masjid, dah tu tertidur pula di bahu... comelnya!

SELAIN ahli keluarga, sahabat merupakan individu yang paling penting dalam kehidupan setiap insan.

Kehadiran mereka yang tidak jemu bersama sewaktu kita susah dan senang juga tidak harus dipersiakan.

Terbaharu, kisah persahabatan dua anak muda yang disifatkan 'sangat comel' oleh netizen tular di laman Twitter.

Foto Mohd Nadzreen Zain, 22, yang tertidur di bahu sahabatnya, Emir Haqim Azahari, 17, sewaktu tazkirah Maghrib menarik perhatian ramai sehingga menerima lebih 13,000 ulang kicau (Retweet).

Mengulas hal itu, Emir yang mempunyai hampir 150,000 pengikut di Instagram mengakui ia merupakan perkongsian secara suka-suka sahaja.

Paparan skrin perkongsian Emir yang tular di Twitter.

"Bila tengok dia tertidur, saya rasa tersentuh. Saya dapat tengok keikhlasan dia dalam berkawan.

"Pada hari tu, dia ada kelas seharian, tapi dia tetap datang ke masjid untuk solat dan dengar tazkirah dengan saya walaupun kepenatan.

"Sebelum ini dia tinggal di Johor, saya di Kuala Lumpur. Kami jarang berjumpa. Sekarang dia sambung belajar di sini, jadi dia nak luangkan masa dengan saya," ujar Emir sewaktu dihubungi mStar Online pada Khamis.

Menurut Emir, mereka mula berkenalan menerusi laman Instagram sekitar 2017.

Emir menyifatkan Nadzreen sebagai individu yang baik dan berdoa agar persahabatan mereka berkekalan.

Tambahnya lagi, sikap Nadzreen yang suka mengambil berat juga membuatkan dia selesa dan menyifatkan sahabatnya itu sebagai individu yang cukup baik dan menyenangkan hati.

Susulan posting gambar itu di laman Twitter, wujud juga segelintir individu yang cuba mengaitkan mereka dengan aktiviti songsang LGBT.

Mengulas dakwaan itu, Emir mengakui sedih dengan sikap negatif individu tersebut dan ia bukanlah kali pertama mereka terpalit dengan isu tersebut.

"Bagi saya masyarakat tak faham kalau mereka sendiri tak lalui perkara itu.

"Ini bukan kali pertama orang kaitkan kami dengan LGBT. Sedih saya baca tapi saya abaikan sahaja.

"Pada saya biasa sahaja dia tidur di bahu, saya letak tangan di paha. Yang betul-betul ada kawan tak akan cakap macam ni," katanya lagi.

Emir masih bersekolah Gombak, Selangor manakala Nadzreen kini melanjutkan pelajaran di sebuah IPTA di ibu negara.

Dalam pada itu, Emir turut berterima kasih terhadap netizen yang memberi reaksi positif terhadap penularan foto-foto tersebut.

"Saya bersyukur sebab mereka faham ada kawan yang macam ni. Saya rasa tersentuh, tak semua orang faham benda ini.

"Saya juga berharap agar persahabatan kami kekal selamanya. Nak berkawan, carilah kawan yang boleh memberi manfaat kepada kita di akhirat kelak," katanya lagi.

Selain itu, beberapa individu turut tampil menyokong Emir dan Nadzreen di laman Twitter susulan wujudnya dakwaan negatif melibatkan mereka.

"Kepada yang comment negative, that means awak belum jumpa sahabat yg sebetulnya. Sahabat yang baik, dia sentiasa mengingatkan kita kepada Allah, tulis @izza_tyy.

"Dia pegang peha kawan lelaki dia pun jadi isu. Artis kat dalam tv peluk peluk laki pompuan kau tak bising pun. Hahaha. Tak paham tak paham," tulis seorang lagi individu.

 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain