suria

“Terima kasih kutuk saya” - Pelajar muka ‘pokok getah’ dah tak malu nak selfie, dedah rahsia hilang jerawat

Muhammad Amirul mengalami masalah kulit muka yang teruk selama setahun lebih. Foto ihsan Muhammad Amirul.

"EH ko bila nak flawless, muka dah macam pokok getah". Itu antara ejekan yang diterima seorang pemuda gara-gara kulit mukanya berjerawat teruk.

Malah, gara-gara keadaan kulit mukanya yang agak teruk, pemuda berusia 20 tahun ini turut ditegur oleh saudara-mara setiap kali dia pulang ke kampungnya di Melaka.

Ejekan dan teguran itu menyebabkan Muhammad Amirul Syamil Ahmad Nizar tertekan dan hilang keyakinan diri apabila berdepan dengan orang ramai.

"Saya tak ambil hati kawan-kawan cakap macam tu tapi bila dah lama-lama, saya jadi stress. Saya sampaikan tak post gambar di Instagram hampir setengah tahun.

"Lepas tu setiap kali nak post saya kena buat (gambar) hitam putih. Jadi orang lain tak nampaklah bintik-bintik kat muka saya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut anak sulung daripada enam adik-beradik ini, dia mula mengalami masalah jerawat yang teruk selepas tamat peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

"Kulit muka saya memang teruk.... tumbuh jerawat bernanah, merah-merah dan bila nak pulih tinggalkan lubang.

"Saya rasa mungkin masalah itu disebabkan perubahan hormon. Masalah ini berlarutan sampailah semester kedua saya di kolej," katanya.

Posting Muhammad Amirul mendapat perhatian netizen.

Malu dengan keadaannya itu, Muhammad Amirul berkata dia mencuba pelbagai produk pembersih muka untuk merawat masalah kulitnya tetapi tidak berkesan.

"Saya cuba macam-macam produk termasuklah jenama terkemuka tetapi bila pakai makin teruk.

"Saya pun pernah letak ubat gigi macam kawan saya suruh sebab dia kata boleh hilangkan jerawat. Tengok-tengok tak jalan juga, bila letak makin bengkak," katanya.

Namun pemuda yang menuntut di sebuah kolej swasta di Bangi itu enggan berputus-asa dan mengamalkan beberapa tip untuk mengatasi masalah kulit berjerawat.

"Saya ubah dengan minum air masak 5 liter, tapi memang kerap pergi tandas lepas tu. Saya pun cuci muka sekerap yang mungkin. Kalau saya lepak dengan kawan-kawan bila kulit muka berminyak sedikit saya terus pergi tandas cuci muka.

"Saya juga elakkan makan makanan segera, berminyak dan kekacang. Saya tukar cadar sekerap yang mungkin. Saya amalkan tiga bulan dan nampak perubahannya... kulit muka saya semakin OK," katanya yang turut mencuba sejenis produk untuk muka berlubang.

Keadaan terkini kulit wajah Muhammad Amirul. Foto ihsan Muhammad Amirul.

Sejak itu, masalah kulitnya semakin pulih dan Muhammad Amirul kini semakin yakin dengan penampilannya.

"Saya dah tak malu nak post gambar selfie. Kawan-kawan saya pun terkejut tengok perubahan wajah saya yang semakin bersih.

"Alhamdulillah, muka saya dah tak berjerawat cuma masih berlubang tapi taklah seteruk macam sebelum ini," katanya.

Muhammad Amirul berkata sebaik sahaja kulit mukanya pulih, dia tidak lagi menggunakan sebarang produk, sebaliknya hanya mencuci mukanya dengan lebih kerap.

"Saya dah lama tak pakai apa-apa produk. Setiap kali mandi saya hanya bilas muka dengan air sahaja," katanya.

Posting Muhammad Amirul dengan kapsyen "Terima kasih atas kutukan anda selama ini" menjadi tular di Twitter dan mendapat kira-kira 2,470 tanda suka.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
jerawat, selfie

Artikel Lain