'Kroni' Syed Saddiq dakwa menteri tak tahu pengusaha kek, exco Armada Bersatu individu sama - Viral | mStar

'Kroni' Syed Saddiq dakwa menteri tak tahu pengusaha kek, exco Armada Bersatu individu sama

Ben Ali dan Syed Saddiq ketika keluar menunggang basikal bersama di sekitar Kuala Lumpur. - Instagram @bena1i

SUSULAN kontroversi membabitkan seorang pengusaha produk minuman tempatan bersama Menteri Belia dan Sukan hangat diperkatakan sejak Selasa, usahawan yang didakwa menjadi 'kroni' Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil untuk membersihkan namanya.

Usahawan dan selebriti Ben Ali berkata, dia perlu menjelaskan isu tersebut selepas 'dicuit' oleh pengusaha produk minuman terkenal itu menerusi postingnya yang tular di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq perjelas dakwaan mungkir janji bantu usahawan, hanya bantu kroni

"Pertama sekali , adalah tidak adil tuan melabel saya kroni kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hanya kerana beliau mempromosi produk saya dan membawanya ke mesyuarat Kabinet.

"Saya difahamkan melalui staff (kakitangan) di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), produk saya adalah produk usahawan muda yang kelima seumpamanya diketengahkan ke mesyuarat Kabinet," ujarnya sebagai maklum balas kepada dakwaan tersebut.

Dakwa Ben Ali, statusnya sebagai Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan pemilik jenama kek coklat langsung tidak diketahui Syed Saddiq.

Promosi terhadap produk keluaran syarikat Ben Ali di Instagram Syed Saddiq.

Kata suami kepada pelakon Nadiyah Shahab itu, dia melalui proses yang sama seperti usahawan lain termasuk menghantar borang permohonan dan profil syarikat melalui KBS, bukannya urusan secara terus dengan menteri terbabit seperti yang disangka.

"Apa yang saya nak tekankan di sini, saya juga melalui proses yang sama seperti usahawan lain.

"Janganlah disebabkan saya berjawatan di dalam parti, terus tidak melayakkan saya untuk mengambil peluang seperti orang lain.

"Saya juga gunakan saluran yang betul dan bukannya 'back door' (pintu belakang).

"Ada jawatan di dalam parti pun bukannya bergaji, tuan," jelas Ben Ali menerusi posting yang dimuat naik di Facebook pada Selasa.

mStar Online pada Selasa melaporkan, seorang pengusaha produk minuman tempatan memilih media sosial sebagai saluran untuk meluahkan kekesalannya terhadap Syed Saddiq.

Syed Saddiq menafikan pihaknya memungkiri janji yang dibuat kepada usahawan produk minuman tersebut.

Azri Zahier Azmi mendakwa Syed Saddiq memungkiri janji untuk membaca profil perniagaannya di hadapan jemaah menteri ketika berlangsungnya mesyuarat Kabinet.

Usahawan itu turut mendakwa Syed Saddiq berjanji akan mempromosi produk keluaran syarikatnya menerusi akaun Instagram peribadi menteri berkenaan.

Susulan posting tersebut yang tular di beberapa platform media sosial termasuk Twitter, Syed Saddiq tampil meluahkan kekecewaannya terhadap dakwaan yang dilemparkan.

"Hari ini saya 'dib***kan' oleh seorang usahawan. Saya kecewa selepas semua yang #TeamKBS telah lakukan untuk menghulurkan bantuan.

"Ini kisah saya," tulisnya di Twitter sambil menyertakan penjelasan penuh berhubung isu tersebut.

Salam Tuan Azri Zahier Azmi aka John Lemon , Memandangkan tuan dah mencuit saya dalam posting di FB tuan , saya rasa...

Posted by Ben Ali on Tuesday, February 5, 2019
Syed Saddiq , Ben Ali

Artikel Lain

Luiz dedah punca pindah ke Arsenal