suria

Syed Saddiq perjelas dakwaan mungkir janji bantu usahawan, hanya bantu kroni

Syed Saddiq menafikan pihaknya memungkiri janji yang dibuat kepada usahawan terbabit.

SEORANG pengusaha produk minuman tempatan memilih media sosial sebagai saluran untuk meluahkan kekesalannya terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Azri Zahier Azmi mendakwa Syed Saddiq memungkiri janji untuk membaca profil perniagaannya di hadapan jemaah menteri ketika mesyuarat Kabinet diadakan.

Usahawan itu turut mendakwa Syed Saddiq berjanji akan mempromosikan produk keluaran syarikatnya menerusi akaun Instagram peribadi menteri berkenaan.

"Pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang hubungi saya untuk beritahu tentang program ni... Katanya minta saya taja produk untuk mesyuarat Kabinet.

"Masa tu menteri (Syed Saddiq) akan baca profil usahawan dan akan promosi dekat Instagram peribadi dia," tulisnya di Facebook pada Selasa.

Tambah Azri Zahier Azmi, dia berpegang kepada kedua-dua janji itu sebelum bersetuju untuk menaja minuman pada mesyuarat tersebut.

Namun, harapannya lebur selepas mendakwa janji tersebut tidak ditepati oleh ahli Parlimen Muar berkenaan.

SEMPENA TAHUN BABI, INI CERITA PASAL KE-BABI-AN. Berkali-kali aku tegur usahawan-usahawan muda agar tidak langsung...

Posted by Azri Zahier Azmi on Monday, February 4, 2019

Posting yang dimuat naik oleh usahawan tersebut pada Selasa.

"Kalau manifesto pun ahli politik boleh k******, takkanlah janji yang ini dia akan tunaikan pula?

"Produk saya diletakkan atas meja mesyuarat kabinet. Profil saya tidak dibaca, produk saya tidak dimuat naik di Instagram beliau. Tidak seperti dijanjikan," tulisnya sambil menulis kata-kata kesat terhadap Syed Saddiq.

Susulan posting tersebut yang tular di beberapa platform media sosial termasuk Twitter, Syed Saddiq tampil meluahkan kekecewaannya terhadap dakwaan yang dilemparkan.

"Hari ini saya 'dib***kan' oleh seorang usahawan. Saya kecewa selepas semua yang #TeamKBS telah lakukan untuk menghulurkan bantuan.

"Ini kisah saya," tulisnya di Twitter sambil menyertakan penjelasan penuh berhubung isu tersebut.

Menurut Syed Saddiq, pihaknya dimaklumkan bahawa terdapat produk anak muda yang ingin memasuki rangkaian kedai serbaneka, namun masih belum berjaya.

Baca bebenang penuh di sini.

Beliau dan pasukannya cuba mempromosikan perniagaan usahawan muda kepada semua jemaah menteri dan mengadakan perjumpaan dengan pengendali utama rangkaian serbaneka, termasuk jenama minuman tempatan tersebut dalam usaha untuk memasarkannya.

"Saya dah lakukan segalanya dengan niat ingin membantu. Pagi tadi (Selasa), saya dimaklumkan salah seorang usahawan yang produknya masuk ke jemaah menteri, produknya yang saya promosikan kepada perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri termasuk dengan profil bisnesnya, produknya yang saya ketengahkan untuk masuk rangkaian 7E dan yang lain, mencaci saya kerana tidak bantu dia,” ujarnya.

Syed Saddiq turut menjelaskan bahawa beliau bukan jenis orang yang suka 'meroyan' (rant out) seperti itu, namun menteri berkenaan benar-benar kecewa.

Video 'kroni' yang dimaksudkan oleh Azri Zahier Azmi.

Usahawan tersebut dipercayai memuat naik posting tersebut kerana berang melihat Syed Saddiq membuat promosi berbentuk video terhadap produk bumiputera yang didakwa merupakan kroni menteri terbabit.

Azri Zahier Azmi dalam posting tersebut turut 'mengharamkan' minuman yang ditaja pihaknya untuk mesyuarat Kabinet itu.

Bagaimanapun, satu salinan invois yang tersebar di media sosial menunjukkan pihak KBS telah membayar minuman tersebut yang bernilai RM192 untuk 48 botol minuman.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Syed Saddiq

Artikel Lain