suria

“Nasib baik saya ni ringan, dapat juga berpaut...” – Bro ‘gigi besi’ tersangkut baju pengantin

Muhammad Izlan menjadi perhatian selepas insiden pendakap giginya tersangkut pada baju pengantin menjadi tular.

BUKAN pelamin anganku musnah, tapi majlis perkahwinan gamat dengan gelak ketawa kerana insiden busana pengantin lelaki tersangkut pada pendakap gigi seorang tetamu.

Mana-mana pemakai alat untuk membaiki struktur gigi itu pasti melihat kejadian itu sebagai satu igauan mimpi ngeri.

Dek kerana ia kejadian yang rare, kisah anak muda itu menjadi tular dan bahan jenaka di media sosial sehingga dikatakan ‘berejam’ untuk mengeluarkannya daripada baju pengantin.

“Memang betul rindu ni sampai salam peluk member (kawan) tapi entah macam mana boleh sangkut. Hati-hati yang pakai braces (pendakap gigi). Member boleh tanya ada pemetik api tak? (untuk putuskan benang),” demikian perkongsian di akaun Instagram @aimanazizii pada Sabtu lalu.

Kisah pendakap gigi tersangkut menjadi bahan jenaka di media sosial.

Pemilik akaun Instagram atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Azizi berkata, insiden tersebut berlaku semasa menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di Seksyen 23, Shah Alam pada Sabtu lalu.

Ketika kejadian pada kira-kira pukul 3 petang itu kata pemuda berusia 24 tahun itu, mereka bersama rakan-rakan lain baru tiba lima minit di majlis perkahwinan, malahan belum sempat untuk menikmati hidangan.

Masa dia peluk sampai terangkat tu kebetulan saya ternganga mulut. Tu yang mungkin braces tersangkut pada benang songket.

Muhammad Izlan Iskhan

“Bila dah lama tak jumpa, tu yang pengantin peluk sampai terangkat rakan kami, Izlan. Tak sangka pula braces yang dia pakai tu tersangkut pada benang songket baju pengantin.

“Tapi taklah sampai ‘berejam’ nak alihkan yang tersangkut tu. Insiden tu cuma lebih seminit saja. Memang kelakar, sebab sebelum dan selepas rakaman video tu, kami tak berhenti gelak,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Insiden berlaku seawal lima minit tiba di majlis perkahwinan.

Sementara itu, pemuda malang yang pendakap giginya tersangkut pada baju pengantin, Muhammad Izlan Iskhan ketika dihubungi berkata, dia memakai alat berkenaan hampir dua tahun. 

Menurut pemuda berusia yang juga berusia 24 tahun dan berasal dari Selangor itu, pendakap giginya tersangkut bukanlah kejadian pertama sepanjang memakainya tetapi ia pertama kali berlaku pada baju.

“Sebelum ini pernah juga (pendakap gigi) tersangkut, tapi kat tuala saja. Tersangkut pada baju inilah yang pertama. 

“Memang malulah sebab berlaku kat majlis kahwin, terkena pada baju pengantin pula tu. Rasa bersalah pun ada sebab majlis orang jadi kecoh,” katanya secara berseloroh.

Aiman dan Izlan bersama rakan-rakan menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di Shah Alam, Sabtu lalu. Foto Aiman Azizi

Namun anak keempat daripada lima beradik ini memberitahu, dia tidak panik ketika kejadian itu sebaliknya cuba menahan diri daripada turut ketawa kerana lucu.

“Masa dia peluk sampai terangkat tu kebetulan saya ternganga mulut. Tu yang mungkin braces tersangkut pada benang songket.

“Nasib baiklah juga saya ni ringan, lebih kecil daripada pengantin. Dapat juga saya berpaut sementara nak keluarkan yang tersangkut daripada baju tu,” katanya sambil menambah pengantin lelaki dikenali Nami dalam kalangan rakan-rakan mereka.

Muhammad Izlan pertama kali merasai pengalaman pendakap gigi tersangkut pada baju sejak memakai alat itu hampir dua tahun. Foto Instagram semalamvampire

Muhammad Izlan yang merupakan graduan Politeknik Sabak Bernam dalam bidang kejuruteraan awam berkata, dia dikenali sebagai seorang yang suka bergurau dan menyakat rakan-rakan.

“Saya masa zaman sekolah memang suka menyakat. Kalau ada mulut kawan nganga pun boleh bergurau. Pengantin ni pun antara kawan yang saya suka sakat.

“Sudahnya, mulut saya yang ternganga dan lebih lucu sebab braces saya tersangkut. Kali ni saya pula yang terkena. Risau juga takut gigi patah, tapi lepas tu ok dah,” katanya yang akan menanggalkan pendakap gigi itu pada Mac depan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain